Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran, Oman mahu kendali Selat Hormuz bersama ikut undang-undang antarabangsa
Iran, Oman mahu kendali Selat Hormuz bersama ikut undang-undang antarabangsa
Iran, Oman mahu kendali Selat Hormuz bersama ikut undang-undang antarabangsa
TEHERAN: Iran pada 4 Jun mengumumkan bahawa Teheran dan Oman akan menguruskan Selat Hormuz secara bersama mengikut undang-undang antarabangsa, ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus memuncak susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi berkata kedua-dua negara yang berkongsi sempadan dengan laluan strategik itu mempunyai “hak semula jadi” untuk menyelaras dan membuat keputusan berkaitan pengurusan Selat Hormuz.
Dalam wawancara yang disiarkan televisyen negara Iran, IRIB, Encik Araghchi berkata Iran akan berbincang dengan negara-negara Teluk mengenai perkembangan di selat berkenaan, namun keputusan akhir tetap akan dibuat oleh Teheran dan Muscat.
“Iran dan Oman sebagai dua negara yang mengawal laluan ini mempunyai hak semula jadi untuk menyelaras pengurusannya,” katanya.
Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan semua kapal dapat melalui Selat Hormuz dengan selamat selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat ketika Selat Hormuz menjadi tumpuan dunia selepas konflik antara Iran dengan Amerika dan Israel menjejaskan aliran perdagangan minyak global.
Sebelum perang tercetus, hampir satu perlima bekalan minyak dunia melalui laluan strategik itu, namun operasi perkapalan kini terganggu akibat ketegangan ketenteraan di rantau berkenaan.
Pada masa sama, Oman yang sekian lama dikenali sebagai pengantara diplomatik di Asia Barat dilihat cuba mengekalkan hubungan seimbang dengan Iran dan Amerika Syarikat walaupun berdepan tekanan hebat daripada Washington.
Menurut laporan, Oman menolak tekanan Amerika supaya memutuskan hubungan dengan Teheran dan menegaskan rundingannya dengan Iran hanya bertujuan membentuk sistem pengurusan masa depan Selat Hormuz yang mematuhi undang-undang antarabangsa.
Cadangan itu juga dijangka dirujuk kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak sekian lama, Oman memainkan peranan sebagai saluran diplomasi belakang tabir antara kuasa-kuasa yang bertelagah di rantau Teluk, membolehkan negara itu mengekalkan pendirian berkecuali ketika negara lain terjebak dalam konflik geopolitik.
Namun, pendirian berkecuali Oman kini semakin diuji.
Presiden Donald Trump sebelum minggu lalu mencetuskan kontroversi apabila mengugut untuk mengebom Oman dalam kenyataan spontan beliau.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio pula memberitahu Jawatankuasa Hubungan Luar Senat bahawa Washington curiga terhadap hubungan rapat Oman dengan Iran.
“Tiada negara lain di dunia selain Iran, dan mungkin Oman yang kelihatan cenderung menyokong apa yang dilakukan Iran di selat itu,” katanya.
Bagaimanapun, Oman cuba meredakan kebimbangan Washington.
Duta Oman ke Amerika, Encik Talal bin Suleiman al-Rahbi dilaporkan mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai Amerika bagi memberi jaminan bahawa Muscat menolak sistem tol di Selat Hormuz dan akan terus mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran.
Iran sebelum ini menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian membuka semula Selat Hormuz, Teheran bersedia memastikan pergerakan kapal kembali ke tahap sebelum perang dalam tempoh sebulan.
Namun pada masa sama, Iran turut menubuhkan badan baharu dikenali sebagai, Penguasa Selat Teluk Parsi (PGSA) yang kini dikenakan sekatan oleh Perbendaharaan Amerika.
Melalui sistem itu, kapal-kapal perlu mendapatkan permit untuk melalui Selat Hormuz.
Dalam usaha menjadikan sistem itu lebih diterima masyarakat antarabangsa dan Oman, Iran mencadangkan bayaran bukan diskriminasi dikenakan kepada kapal yang melalui selat berkenaan.
Ketua Pusat Hal Ehwal Antarabangsa dan Konvensyen Alam Sekitar Iran, Encik Arman Khorsand berkata bayaran itu bukan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.
“Matlamatnya adalah mendapatkan sumber kewangan bagi menangani kerosakan alam sekitar dan kesan terhadap prinsip laluan aman,” katanya.
Beliau mendakwa operasi ketenteraan Amerika di rantau itu menyebabkan kesan keselamatan, kemanusiaan dan kerosakan alam sekitar yang besar.
“Pihak yang menyebabkan kerosakan perlu menanggung kos pemulihan,” katanya lagi.
Namun cadangan Iran itu menerima kritikan daripada pakar antarabangsa.
Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Dominguez sebelum ini memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa tiada asas undang-undang untuk mana-mana negara mengenakan bayaran atau syarat diskriminasi di laluan perairan antarabangsa.
“Tiada asas undang-undang bagi sesebuah negara mengenakan tol atau bayaran ke atas laluan antarabangsa,” katanya.
Di Iran sendiri, terdapat suara yang menggesa pemerintah berhati-hati.
Penganalisis Iran, Encik Saeed Laylaz memberi amaran bahawa usaha menjadikan Selat Hormuz sebagai sumber pendapatan langsung boleh menyebabkan pembentukan gabungan antarabangsa menentang Teheran.
Beliau berkata Iran sebaliknya akan memperoleh lebih banyak manfaat jika laluan itu dijadikan zon keamanan dan perdagangan bebas.
Timbalan Speaker Parlimen Iran, Ali Nikzad berkata usaha sedang dilakukan untuk menggabungkan tiga rang undang-undang berbeza bagi menentukan secara rasmi bagaimana sistem maritim baharu di Selat Hormuz akan dilaksanakan.
Walaupun ketegangan terus meningkat, Oman masih berusaha memainkan peranan sebagai jambatan diplomatik antara Iran dan Amerika.
Namun dengan Washington terus mencurigai Muscat dan Teheran mahu memperkukuh pengaruhnya di Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia itu dijangka terus menjadi titik panas geopolitik global dalam tempoh terdekat. - Agensi berita
