Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran, Oman teruskan rancangan caj kapal guna Selat Hormuz walau dibantah AS
Iran, Oman teruskan rancangan caj kapal guna Selat Hormuz walau dibantah AS
Iran, Oman teruskan rancangan caj kapal guna Selat Hormuz walau dibantah AS
TEHERAN/MUSCAT: Iran dan Oman dilaporkan meneruskan rancangan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz walaupun mendapat bantahan terbuka daripada Amerika Syarikat, dalam perkembangan yang dijangka mengubah landskap perdagangan dan keselamatan maritim di Timur Tengah.
Menurut seorang pegawai Iran dan beberapa diplomat yang mengetahui rundingan itu, Oman telah menyerahkan cadangan rasmi kepada Amerika dan sekutu Barat mengenai pelan mengenakan bayaran perkhidmatan kepada syarikat perkapalan yang menggunakan laluan strategik berkenaan.
Sebelum perang Iran-Israel tercetus pada 28 Februari lalu, Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan antarabangsa bebas antara Iran dan Oman yang digunakan untuk penghantaran minyak dan gas dari Teluk ke seluruh dunia tanpa sebarang caj.
Namun ketika konflik memuncak, Iran melaksanakan sekatan de facto ke atas laluan itu sehingga menjejaskan perdagangan global dan melonjakkan harga tenaga dunia.
Sejak itu, pegawai Iran berulang kali menyatakan hasrat untuk mengenakan bayaran terhadap penggunaan laluan strategik berkenaan.
Diplomat serantau berkata cadangan Oman itu mengambil contoh daripada beberapa model antarabangsa, di mana sumbangan sukarela digunakan bagi menampung kos keselamatan pelayaran, pemantauan laluan maritim dan tindak balas terhadap kecemasan di laut.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada bayaran itu akan bersifat sukarela atau wajib.
Seorang diplomat berkata cadangan Oman menyebut “bayaran sukarela”, manakala pegawai Iran menegaskan bayaran itu akan diwajibkan.
Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, berkata Teheran mahu mencapai persetujuan bersama Oman mengenai pengurusan Selat Hormuz.
“Keutamaan kami ialah mencapai persefahaman dengan Oman. Tetapi jika tiada rangka kerja bersama dapat diwujudkan, Iran akan bergerak sendiri,” katanya seperti dipetik televisyen negara Iran.
Selat Hormuz kekal menjadi isu utama dalam rundingan damai antara Iran dan Amerika selepas perang yang mengubah keseimbangan geopolitik di rantau itu.
Perjanjian damai sementara yang ditandatangani Iran dan Amerika pada Jun menetapkan laluan kapal perdagangan akan dibuka tanpa caj selama 60 hari sementara rundingan lanjut dijalankan.
Perjanjian itu juga mengarahkan Iran dan Oman memulakan “dialog” mengenai masa depan pengurusan laluan berkenaan selepas tempoh itu tamat.
Walaupun Oman sekian lama dikenali sebagai negara berkecuali dan menjadi pengantara antara Teheran dan Washington, perang Iran-Israel meletakkan Muscat dalam kedudukan sukar untuk mengimbangi hubungan dengan kedua-dua pihak.
Presiden Amerika Encik Donald Trump, sebelum ini pernah mengancam akan “mengebom Oman” jika negara itu tidak “berkelakuan seperti negara lain” selepas timbul laporan mengenai kerjasama Oman-Iran berhubung caj laluan di Selat Hormuz.
Encik Trump turut menyifatkan idea mengenakan bayaran atau tol terhadap kapal sebagai “tidak boleh diterima.”
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut menegaskan Washington menolak sebarang usaha mengenakan bayaran terhadap penggunaan Selat Hormuz.
“Kita perlu kembali kepada keadaan sebelum konflik ini berlaku,” katanya ketika berucap di Bahrain.
Namun, penganalisis berkata Iran kini menyedari kuasa besar yang dimilikinya melalui kawalan terhadap laluan strategik itu dan tidak mahu kehilangan pengaruh tersebut.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang apabila laluan itu bebas digunakan tanpa sebarang bayaran.
“Tiada perkhidmatan percuma di mana-mana di dunia,” kata Encik Mehdi Mohammadi, penasihat kanan kepada ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Beliau berkata istilah yang digunakan tidak penting sama ada ia dipanggil “tol”, “bayaran keselamatan” atau “bayaran perkhidmatan pelayaran”.
Penganalisis keselamatan di Institut Kajian Perkhidmatan Diraja Bersatu (RUSI), H.A. Hellyer, berkata perang yang dicetuskan Amerika dan Israel membuka ruang kepada perubahan besar terhadap status Selat Hormuz.
“Selat Hormuz sebelum perang terbuka sepenuhnya, tetapi kini tidak lagi. Semua kekecohan ini adalah harga yang perlu dibayar Washington akibat perang yang tidak dirancang dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Oman dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menetapkan laluan selamat baharu yang hanya melalui perairan Oman.
Iran bagaimanapun bertindak menyerang sebuah kapal kargo di selat itu, menyebabkan IMO menghentikan operasi pemindahan ratusan kapal yang terkandas di kawasan berkenaan.
Ketegangan itu mengancam pemulihan perdagangan maritim yang baru sahaja mula stabil selepas gencatan senjata dicapai.
Menteri Luar Oman, Encik Badr al-Busaidi, cuba membezakan antara “bayaran transit” yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa dengan bayaran bagi perkhidmatan keselamatan dan pengurusan laluan laut.
“Menjamin keselamatan perairan, mengawal pencemaran dan bertindak balas terhadap kecemasan pelayaran sememangnya memerlukan kos,” katanya dalam wawancara dengan stesen radio Monte Carlo Doualiya.
Beliau berkata Oman hanya mahu memanfaatkan model antarabangsa sedia ada pembayaran secara sukarela.
Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Domínguez, pula berkata sebarang sistem tol yang mengganggu prinsip kebebasan pelayaran bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Namun beliau mengakui dana sukarela mungkin boleh dilaksanakan jika dipersetujui bersama.
Arab Saudi juga menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan itu.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, berkata Selat Hormuz perlu kembali kepada status asal sebelum perang.
“Mengapa kita perlu menerima aturan baharu hanya kerana konflik berlaku?” soalnya dalam satu forum anjuran Majlis Hubungan Luar Eropah sebelum ini. - Agensi berita
