TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mempamer kemegahan dengan hasil serangan peluru berpandu balistiknya ke atas Israel pada 1 Oktober walaupun Angkatan Tentera Israel (IDF) berkata kebanyakan peluru itu berjaya dipintas.
Bagi rejim Iran dan penyokongnya, serangan peluru berpandu balistik ke arah Israel itu merupakan detik yang jarang berlaku untuk diraikan.
Ini selepas beberapa minggu ia dan proksinya mengalami beberapa kemunduran apabila serangan telah membunuh hampir semua pemimpin kanan Hezbollah.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam mesejnya berkata: “Kemenangan datang daripada Allah dan ia semakin hampir.”
IRGC mendakwa 90 peratus daripada 180 peluru berpandu balistik yang diluncurkan ke arah Israel mengenai sasaran mereka, yang dikatakannya adalah tiga pangkalan tentera di sekitar Tel Aviv.
Bagaimanapun, IDF berkata ia telah memintas “sebilangan besar” peluru berpandu dan hanya terdapat “kesan terpencil” di tengah Israel dan di selatan Israel.
Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Encik Jake Sullivan, menyifatkan serangan itu sebagai “telah dikalahkan dan tidak berkesan” dan mengulangi kata-kata Israel bahawa Iran akan menghadapi akibatnya.
Iron Dome, sistem pertahanan Israel yang melancarkan roket pemintas dari darat ke udara dilapor gagal menangkis serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh tentera Iran.
Menurut laporan portal, Turkiye Today, kegagalan Iron Dome menangkis serangan peluru berpandu itu memaksa Israel mengarahkan penduduknya agar mendapatkan tempat perlindungan daripada bom, selepas siren amaran serangan udara dibunyikan di seluruh negara.
Iran berkata pemimpin tertingginya membuat keputusan melancarkan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ke atas Lebanon dan pembunuhan pemimpin sekutunya, Hezbollah dan Hamas.
IRGC berkata keputusan itu telah dibuat oleh Ayatollah Khamenei dengan sokongan Majlis Tertinggi Keselamatan Negara (SNSC) dan Kementerian Pertahanan Iran.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, memuji serangan itu sebagai “tindak balas tegas terhadap pencerobohan rejim Zionis”, sambil menambah:
“Beritahu Netanyahu bahawa Iran tidak mahu berperang, tetapi ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman... Jangan masuk ke dalam konflik dengan Iran.”
Kedutaan Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata serangan berkenaan adalah “tindak balas yang sah, rasional dan wajar terhadap rejim Zionis, yang menyasarkan warga dan kepentingan Iran serta melanggar kedaulatan negara Iran”.
Iran dilapor menggunakan peluru berpandu hipersonik, Fattah 1 yang dikatakan pertama kali digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Israel.
Memetik laporan media separuh pemerintah, Mehr News, Fattah 1 adalah peluru berpandu hipersonik pertama buatan Iran yang dilancarkan pada 2023.
Tidak jelas sama ada negara Timur Tengah seperti Jordan atau Arab Saudi memainkan peranan dalam melindungi pertahanan Israel seperti yang didakwa dilakukan ketika Iran menyerang Israel pada April sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pegawai konsulat Iran di Damsyik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg