NEW YORK: Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain, termasuk negara Arab, telah mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 25 September, menggesa agar satu gencatan senjata sementara selama 21 hari dilaksanakan di sempadan Lebanon-Israel.
Kenyataan bersama tersebut menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk mencari penyelesaian diplomatik bagi menghentikan konflik dan memastikan orang awam di kedua-dua belah sempadan dapat pulang ke rumah dengan selamat.
Menurut kenyataan itu, diplomasi tidak akan berjaya selagi ketegangan terus meningkat.
Oleh itu, mereka menggesa agar gencatan senjata selama 21 hari dilaksanakan segera di sempadan Lebanon-Israel bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi dan penyelesaian konflik melalui rundingan.
Kenyataan itu disokong oleh beberapa negara termasuk Amerika, Australia, Canada, EU, Perancis, Jerman, Italy, Jepun, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Tindakan itu berikutan serangan berterusan oleh Israel terhadap Hezbollah yang menyebabkan ketegangan semakin memuncak.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan Asia Barat mungkin diheret ke dalam peperangan yang lebih serius.
Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon, ratusan mangsa telah terkorban dan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.
Israel meluaskan serangan udaranya di Lebanon pada 25 September, membunuh sekurang-kurangnya 72 orang dan 223 orang tercedera, kata Kementerian Kesihatan Lebanon.
Pada 25 September, barisan pemimpin dunia yang menghadiri mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) padat dengan kegiatan diplomatik berhubung isu berkenaan.
Pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan terhadap konflik – berjalan selari dengan perang Israel di Gaza menentang Hamas yang juga disokong oleh Iran.
Perancis berkata pada 25 September bahawa usaha kini giat diteruskan bagi mencapai perjanjian gencatan senjata selama 21 hari dalam konflik antara Lebanon dan Hezbollah dengan Israel.
“Kami telah mencapai kemajuan penting dalam beberapa jam terakhir dan kami akan meneruskan usaha kami dalam beberapa jam akan datang,” kata Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, kepada pemberita di luar mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di New York.
Beliau yang dijadual berkunjung ke Lebanon memberitahu majlis 15 anggota.
“Kami harap kedua-dua pihak akan menerimanya tanpa berlengah-lengah, untuk melindungi penduduk awam dan membenarkan rundingan diplomatik dimulakan,” tambahnya.
Ketua tentera Israel berkata serangan darat mungkin dilancarkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan konflik itu boleh mencetuskan perang Timur Tengah yang lebih meluas.
Amerika sedang bekerjasama dengan negara lain untuk mengelakkan permusuhan yang semakin meningkat, membolehkan rakyat kedua-dua negara yang melarikan diri pulang ke rumah masing-masing.
Ini sekali gus akan membolehkan perbincangan mengenai penyelesaian diplomatik yang lebih luas, kata Timbalan Duta Besar Amerika ke PBB, Encik Robert Wood, kepada Majlis Keselamatan.
Duta Besar Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata pihaknya mengalu-alukan gencatan senjata dan lebih suka penyelesaian secara diplomatik.
Menurutnya, Iran adalah dalang keganasan di rantau itu dan keamanan memerlukan ancaman itu dihapuskan.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, berkata negaranya menyokong Hezbollah dan tidak akan mengambil sikap acuh tidak acuh jika konflik di Lebanon semakin berlarutan.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, menyeru Majlis Keselamatan supaya memberi tekanan kepada Israel agar mencapai “gencatan senjata segera”.
Terdahulu pada 25 September, Israel menembak jatuh peluru berpandu yang dikatakan Hezbollah disasarkan ke ibu pejabat agensi perisikan Mossad berhampiran Tel Aviv. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg