NEW YORK: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menegaskan negaranya akan mempertahankan diri sehingga ke “nafas terakhir” dan tidak akan melepaskan program nuklear awamnya, tetapi pada masa sama membuka ruang bagi rundingan dengan Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik.

Berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 September, Encik Pezeshkian berkata Teheran bersedia memilih jalan diplomasi, tetapi tidak akan berunding di bawah ancaman atau tekanan ketenteraan.

Kenyataan itu disampaikan sehari selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menggunakan pentas sama untuk mengancam akan “memusnahkan” Iran sekiranya persetujuan bagi menamatkan konflik gagal dicapai.

“Ia perlu difahami oleh Encik Trump dan mereka yang cuba membuli kami bahawa kami bersedia untuk berdialog, berdiplomasi dan berunding, tetapi bukan dengan bahasa kekerasan,” kata Encik Pezeshkian.

Beliau menegaskan Iran tidak akan meminta kebenaran daripada mana-mana negara untuk mempertahankan wilayahnya dan akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya.

“Kami memerlukan kekuatan kerana rakyat yang tidak mempunyai kekuatan akan dihancurkan dalam peperangan ini.

“Kami tidak akan meminta kebenaran sesiapa untuk mempertahankan negara kami,” katanya.

Encik Pezeshkian turut mempamerkan gambar pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan Israel pada hari pertama perang, selain gambar kanak-kanak sekolah dan mangsa lain yang menurut Teheran terbunuh dalam serangan Amerika.

Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari ketika Washington dan Teheran sedang berunding mengenai program nuklear Iran.

Antara pertikaian utama dalam rundingan itu ialah tuntutan Washington supaya Iran menghentikan pengayaan uranium, sedangkan Teheran menegaskan ia berhak menjalankan program nuklear bagi tujuan awam.

Encik Pezeshkian menegaskan pendirian itu tidak berubah.

“Bagi negara kami, teknologi nuklear untuk tujuan aman adalah sebahagian daripada kemajuan yang menjadi hak kami,” katanya.

Beliau turut menuduh Israel menerima layanan berbeza, dengan mendakwa negara itu memiliki senjata nuklear dan melancarkan serangan merentasi sempadan, tetapi tidak dikenakan tekanan yang sama seperti Iran.

“Israel membunuh dan Iran dikenakan sekatan,” katanya sambil menolak tuduhan bahawa Teheran menjadi punca utama ketidakstabilan serantau.

Ucapan Encik Pezeshkian dibuat ketika perang dengan Amerika memberi kesan semakin luas kepada rantau itu dan ekonomi dunia, khususnya menerusi gangguan di Selat Hormuz.

Laluan strategik itu merupakan antara saluran terpenting bagi perdagangan minyak dan gas dunia, dan gangguan terhadap perkapalan sejak perang tercetus telah meningkatkan harga tenaga serta menjejaskan rantaian bekalan global.

Walaupun retorik kedua-dua pihak kekal tegar, usaha diplomatik berlangsung serentak di luar persidangan PBB.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dan utusan Amerika, Encik Steve Witkoff serta Encik Jared Kushner, mengadakan hubungan melalui pengantara di New York bagi membincangkan kemungkinan menyambung rundingan dan meredakan konflik.

Qatar memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha tersebut.

Encik Trump menyifatkan perbincangan itu sebagai produktif dan berkata terdapat momentum ke arah mencapai persetujuan, meskipun jurang antara tuntutan kedua-dua pihak masih besar.

Teheran antara lain menuntut sekatan terhadap perkapalan Iran ditamatkan, aset negara itu yang dibekukan dibebaskan dan permusuhan dihentikan sebelum proses diplomatik dapat bergerak lebih jauh.

Pertikaian mengenai program nuklear pula kekal menjadi halangan utama.

Encik Trump mahu Iran menghentikan pengayaan uranium, sedangkan Tehran menegaskan ia tidak akan menyerahkan haknya untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi kegunaan aman.

Ketegangan itu menjadikan kemunculan Encik Pezeshkian di New York luar biasa kerana beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB di Amerika ketika kedua-dua negara sedang berperang.

Lawatan itu juga berlangsung ketika terdapat tekanan daripada kelompok berhaluan tegar di Iran yang menentang kompromi dengan Washington.

Sebelum lawatan tersebut, beberapa tokoh konservatif mendesak Encik Pezeshkian supaya menggunakan pentas PBB untuk mengecam tindakan Amerika, walaupun sebahagian tokoh dalam institusi keselamatan Iran kini mengakui rundingan tidak semestinya bercanggah dengan usaha mempertahankan negara.

Encik Pezeshkian cuba membawa kedua-dua mesej itu dalam ucapannya – Iran tidak akan tunduk kepada ancaman ketenteraan, tetapi pintu diplomasi masih terbuka.

“Rakyat Iran akan mempertahankan tanah air mereka sehingga nafas terakhir,” katanya.

Pertukaran kenyataan keras antara Encik Trump dengan Encik Pezeshkian memperlihatkan jurang besar yang masih memisahkan kedua-dua negara.

Namun, hubungan diplomatik yang berlangsung di luar Perhimpunan Agung PBB menunjukkan Washington dan Tehran masih mencari jalan keluar daripada konflik, walaupun belum ada tanda bahawa kedua-duanya bersedia berkompromi mengenai isu paling sukar – program nuklear Iran, keselamatan serantau dan syarat bagi menamatkan perang. – Agensi berita.