TEHERAN/WASHINGTON: Iran menutup sementara sebahagian besar ruang udaranya lewat 14 Januari, langkah yang mencetuskan pembatalan, pengalihan laluan serta kelewatan penerbangan antarabangsa, ketika kebimbangan meningkat mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Teheran.
Penutupan itu dimaklumkan melalui satu notis yang disiarkan di laman Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), yang menyatakan bahawa ruang udara Iran ditutup kepada semua penerbangan kecuali penerbangan antarabangsa masuk dan keluar dari Iran yang mendapat kebenaran rasmi.
Menurut notis tersebut, sekatan bermula pada jam 5.15 petang waktu Timur Amerika Syarikat pada 14 Januari, bersamaan 6.15 pagi 15 Januari waktu Singapura. Larangan itu dijadualkan berlangsung lebih dua jam sehingga 7.30 malam waktu Timur Amerika, namun FAA menegaskan tempoh itu hanyalah anggaran dan boleh dilanjutkan bergantung kepada keadaan keselamatan.
Notis itu masih dipaparkan di laman FAA kira-kira 30 minit selepas waktu tamat anggaran, mencerminkan ketidakpastian yang menyelubungi situasi keselamatan di rantau berkenaan.
Data penjejakan penerbangan daripada FlightRadar24 menunjukkan bahawa ruang udara Iran hampir kosong sepenuhnya pada jam 7.15 malam waktu Timur Amerika, dengan hanya dua pesawat awam dilihat beroperasi, kedua-duanya milik Mahan Air yang dalam penerbangan antara Iran dan China.
Langkah penutupan ruang udara ini berlaku ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump sedang mempertimbangkan tindak balas Washington terhadap situasi di Iran, yang kini menyaksikan gelombang protes anti-kerajaan terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai Amerika berkata pada 14 Januari bahawa Washington telah mula menarik keluar sebahagian anggota dari pangkalan tenteranya di Asia Barat. Kenyataan itu dibuat selepas seorang pegawai kanan Iran mendakwa Tehran telah memberi amaran kepada negara jiran bahawa pangkalan tentera AS akan diserang sekiranya Washington melancarkan serangan.
Pakar penerbangan memberi amaran bahawa peningkatan penggunaan peluru berpandu dan dron di beberapa zon konflik serantau meningkatkan risiko terhadap keselamatan penerbangan awam. “Serangan peluru berpandu dan dron yang semakin kerap di pelbagai zon konflik mewujudkan risiko tinggi terhadap lalu lintas udara awam,” kata seorang pemerhati industri penerbangan.
Kesan penutupan ruang udara Iran segera dirasai oleh syarikat penerbangan antarabangsa. Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, memaklumkan bahawa beberapa penerbangan antarabangsa mereka terjejas akibat penutupan mendadak itu. Air India pula berkata pesawatnya terpaksa menggunakan laluan alternatif, yang boleh mengakibatkan kelewatan atau pembatalan penerbangan.
Satu penerbangan Aeroflot dari Russia yang dalam perjalanan ke Teheran terpaksa berpatah balik ke Moscow selepas penutupan ruang udara dikuatkuasakan, menurut data penjejakan penerbangan.
Di Eropah, pemerintah Jerman pada awal 14 Januari mengeluarkan arahan baru yang menasihatkan syarikat penerbangan negara itu supaya tidak memasuki ruang udara Iran. Arahan itu dikeluarkan sejurus selepas Lufthansa menyusun semula operasi penerbangannya di Asia Barat susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.
Amerika Syarikat sebelum ini telah melarang sepenuhnya semua penerbangan komersial Amerika daripada melalui ruang udara Iran, dan tiada penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Beberapa syarikat penerbangan lain seperti Flydubai dan Turkish Airlines juga dilaporkan telah membatalkan sejumlah penerbangan ke Iran sejak seminggu lalu, mencerminkan kebimbangan yang meluas dalam kalangan pengendali penerbangan antarabangsa.
“Beberapa syarikat penerbangan telah mengurangkan atau menggantung perkhidmatan mereka, dan kebanyakan pengendali kini mengelakkan ruang udara Iran,” kata Safe Airspace, sebuah laman web yang dikendalikan oleh OPSGROUP, organisasi berasaskan keahlian yang berkongsi maklumat risiko penerbangan.
Menurutnya, “situasi ini mungkin menandakan peningkatan aktiviti keselamatan atau ketenteraan, termasuk risiko pelancaran peluru berpandu atau pengaktifan pertahanan udara yang lebih agresif, sekali gus meningkatkan risiko salah pengecaman terhadap pesawat awam.”
Insiden tragis pada tahun 2020 terus menghantui industri penerbangan, apabila sebuah pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh oleh tentera Iran sejurus berlepas dari Teheran, mengorbankan kesemua 176 penumpang dan anak kapal.
Dalam perkembangan terkini, Lufthansa berkata pada 14 Januari bahawa ia akan terus mengelakkan ruang udara Iran dan Iraq sehingga dimaklumkan kelak. Syarikat itu turut memaklumkan hanya penerbangan siang hari ke Tel Aviv dan Amman akan dikendalikan dari 14 hingga 19 Januari, bagi mengelakkan kru terpaksa bermalam di destinasi berisiko.
“Beberapa penerbangan mungkin dibatalkan berikutan langkah-langkah ini,” kata Lufthansa dalam satu kenyataan.
Sementara itu, ITA Airways dari Italy, di mana Kumpulan Lufthansa kini merupakan pemegang saham utama, turut mengumumkan penggantungan penerbangan malam ke Tel Aviv sehingga 20 Januari, selaras dengan penilaian risiko keselamatan yang berterusan di rantau Asia Barat. - Agensi barat


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg