WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pengenaan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua barangan dari negara-negara yang menjalankan urusan perdagangan dengan Iran, satu langkah yang serta-merta meningkatkan tekanan terhadap pemerintah Teheran ketika negara itu berdepan gelombang protes terbesar sejak Revolusi Islam 1979 dan memperhebat tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Pengumuman tersebut dibuat melalui media sosial pada 12 Januari, dengan Encik Trump menegaskan bahawa tarif itu berkuat kuasa serta-merta, walaupun tanpa penjelasan terperinci mengenai skop atau mekanisme pelaksanaannya. “Mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan dikenakan tarif 25 peratus ke atas sebarang urusan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Perintah ini muktamad dan berkuat kuasa sepenuhnya,” kata Encik Trump.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York enggan mengulas pengumuman tarif Trump itu. Antara destinasi eksport utama Iran ialah China, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turkey dan India
Langkah ini berpotensi mengganggu hubungan perdagangan utama Amerika Syarikat di peringkat global. Iran bukan sahaja mempunyai rakan dagang serantau, malah turut berurusan dengan ekonomi besar dunia seperti India, Turkey dan China. China khususnya merupakan pembeli terbesar minyak mentah Iran, dengan kilang penapisan bebasnya dilaporkan meningkatkan import minyak Iran sejak Disember lalu.
Tarif dibayar oleh pengimport Amerika bagi barangan yang diimport dari negara-negara tersebut. Iran telah lama dikenakan sekatan berat oleh Washington selama bertahun-tahun. Tiada dokumentasi rasmi daripada Rumah Putih mengenai dasar itu dipaparkan di laman webnya, mahupun maklumat tentang asas perundangan yang akan digunakan Encik Trump untuk mengenakan tarif tersebut, atau sama ada ia akan disasarkan kepada semua rakan dagang Iran.
Menurut Reuters, Rumah Putih sehingga ini tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.
Keputusan Washington dibuat ketika Iran bergelut dengan protes besar-besaran yang telah meragut ratusan nyawa. Pertubuhan bukan pemerintah yang berpangkalan di Norway, Hak Asasi Iran (IHR), melaporkan sekurang-kurangnya 648 orang terbunuh, termasuk sembilan kanak-kanak, manakala ribuan lagi cedera.
Pengarah IHR, Encik Mahmood Amiry-Moghaddam, berkata angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
“Menurut beberapa anggaran, jumlah korban mungkin melebihi 6,000 orang. Sekatan Internet menyukarkan pengesahan bebas,” katanya sambil menambah kira-kira 10,000 individu telah ditahan.
Beliau menegaskan masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab moral untuk melindungi penunjuk perasaan awam daripada pembunuhan beramai-ramai. Sekatan internet yang berlarutan selama empat hari, menurut NetBlocks, dilihat sebagai usaha menutup skala sebenar tindakan keras pihak berkuasa.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa Iran menganjurkan perhimpunan besar-besaran menyokong pemerintah di seluruh negara. Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan perhimpunan itu sebagai bukti bahawa protes telah ditewaskan. “Perhimpunan besar ini telah menggagalkan rancangan musuh asing yang menggunakan ejen domestik,” katanya dalam kenyataan disiarkan televisyen negara, sambil menyifatkannya sebagai amaran kepada Amerika Syarikat.
Di Dataran Enghelab di Teheran, Speaker Parlimen Encik Mohammad Bagher Ghalibaf menyatakan Iran kini berdepan “perang empat penjuru”, merangkumi perang ekonomi, psikologi, ketenteraan, dan perang menentang “pengganas”, merujuk kepada penunjuk perasaan.
Iran, yang berperang selama 12 hari dengan sekutu Amerika, Israel pada 2025 dan kemudahan nuklearnya dibom oleh tentera Amerika pada Jun, kini menyaksikan demonstrasi anti-kerajaan terbesar dalam beberapa tahun.
Encik Trump berkata Amerika mungkin bertemu pegawai Iran dan bahawa beliau berhubung dengan pembangkang Iran, sambil meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan negara itu, termasuk mengancam tindakan ketenteraan.
Encik Trump sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa Amerika Syarikat tidak akan berdiam diri jika Iran terus menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya. Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, mengesahkan bahawa pilihan ketenteraan, termasuk serangan udara, masih dipertimbangkan.
“Diplomasi sentiasa menjadi pilihan pertama presiden, tetapi semua pilihan lain kekal di atas meja,” katanya.
Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News menyatakan bahawa Iran akan “dipukul dengan sangat keras” jika keganasan terhadap penunjuk perasaan berterusan. Beliau turut memaklumkan bahawa kepimpinan Iran telah menghubunginya untuk membuka rundingan, walaupun butiran lanjut tidak didedahkan.
“Kami sedang menilai perkara ini dengan sangat serius. Tentera sedang menilainya, dan kami mempertimbangkan beberapa pilihan yang sangat tegas,” katanya kepada wartawan. Teheran berkata bahawa ia mengekalkan saluran komunikasi dengan Washington ketika Encik Trump mempertimbangkan langkah seterusnya.
Langkah tarif baru ini menambah tekanan ke atas hubungan perdagangan Amerika Syarikat dengan India dan China. Sebelum ini, Washington telah mengenakan tarif sehingga 50 peratus ke atas barangan India yang dikaitkan dengan pembelian minyak Russia, walaupun kedua-dua pihak sedang berusaha memuktamadkan perjanjian perdagangan.
Tambahan tarif ke atas China pula berisiko menjejaskan gencatan perdagangan yang dirundingkan Encik Trump dengan Presiden Xi Jinping pada penghujung 2025.
Situasi ini turut dibayangi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang dijangka pada 14 Januari berhubung kesahan tarif global Encik Trump. Keputusan yang tidak memihak kepada presiden boleh mengehadkan keupayaannya mengenakan sekatan secara pantas terhadap rakan dagang Iran.
Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap penunjuk perasaan Iran dan sedang meneliti kemungkinan mengenakan sekatan tambahan terhadap Teheran. Parlimen Eropah turut melarang semua diplomat Iran daripada memasuki premisnya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengutuk keganasan negara terhadap rakyat Iran. “Kami mengecam keganasan negara yang secara membuta tuli menyasarkan wanita dan lelaki Iran yang berani menuntut hak mereka,” katanya.
Sebaliknya, Russia mempertahankan Teheran dan mengecam campur tangan kuasa asing, menyifatkannya sebagai usaha mencetuskan ketidakstabilan.
Sepanjang penggal kedua pentadbirannya, Encik Trump kerap mengancam dan mengenakan tarif ke atas negara lain berhubung hubungan mereka dengan musuh Amerika serta dasar perdagangan yang disifatkannya tidak adil kepada Washington.
Dasar perdagangan Encik Trump kini berdepan tekanan perundangan apabila Mahkamah Agung Amerika sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sebahagian besar tarif sedia ada yang dikenakannya. Iran, anggota kumpulan pengeluar minyak OPEC, mengeksport produk ke 147 rakan dagang pada 2022, menurut data terkini Bank Dunia.
Ancaman Encik Trump terhadap Iran berlaku tidak lama selepas serangan Amerika Syarikat di Venezuela yang membawa kepada penahanan Encik Nicolas Maduro, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa Washington bersedia menggunakan kuasa ketenteraan terhadap negara pengeluar minyak yang dianggap bermusuhan. Selain itu, Encik Trump turut mengugut mahukan Greenland, milik Denmark atas alasan keselamatan daripada ‘ancaman’ China dan Rusia.
Sebarang campur tangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat atau Israel berisiko menyeret negara jiran ke dalam konflik dan menjejaskan keselamatan Selat Hormuz, laluan penting eksport tenaga dunia.
Walaupun media negara Iran cuba menggambarkan keadaan kembali terkawal, perkembangan semasa menunjukkan krisis ini masih jauh daripada reda, dengan tekanan ekonomi, kemarahan rakyat dan ancaman luar terus bersilang dalam satu fasa paling genting bagi Republik Islam Iran sejak 1979. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg