WASHINGTON: Iran sedang menggunakan taktik baharu untuk menyasarkan kapal yang berlayar merentasi Selat Hormuz dalam usahanya mengekalkan harga minyak pada paras tinggi serta mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, menurut dua pegawai kanan Iran kepada Reuters.

Teheran telah berusaha mengukuhkan penguasaannya ke atas Selat Hormuz sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu pada 28 Februari.

Ia mengehadkan pergerakan kapal di laluan perairan tersebut – yang sebelum peperangan tercetus telah mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak sejagat – sebagai usaha untuk mendapatkan kelebihan rundingan ke atas Washington.

Ancaman dan serangan oleh Iran telah menjejaskan laluan perkapalan di selat berkenaan secara serius, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak, meskipun sesetengah kapal minyak masih dapat meneruskan pelayaran.

Kedua-dua pegawai berkenaan enggan memberikan butiran terperinci mengenai strategi baharu itu, namun salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa Iran telah mula menggunakan taktik serangan berbeza terhadap kapal yang dianggap melanggar sekatan negara itu sejak kira-kira 10 hari lalu.

Langkah ini telah menyebabkan peningkatan dalam jumlah serangan terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, tambahnya.

Strategi berkenaan merangkumi perubahan dari segi jenis serta kadar serangan, dengan salah satu matlamatnya adalah untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya Amerika, kata mereka.

“Tujuannya adalah untuk menggagalkan usaha Amerika dan sekutunya bagi menurunkan harga minyak global,” kata salah seorang daripada pegawai tersebut.

Keputusan untuk menggunakan strategi baharu itu dibuat di peringkat tertinggi kepimpinan Iran serta diselaraskan sepenuhnya merentasi sistem pentadbiran negara berkenaan, kata pegawai-pegawai itu.

Seorang pegawai tentera Amerika, yang enggan namanya didedahkan, mengesahkan bahawa Iran telah mengubah taktiknya menerusi satu aspek penting.

Selepas Amerika memusnahkan sebahagian besar keupayaan radar Iran, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mula menggunakan pengesan tanpa senjata dalam bot kecil bagi mengenal pasti sasaran berpotensi, termasuk kapal perang Amerika, kata pegawai berkenaan.

Dalam satu insiden pada minggu lalu, pihak tentera Amerika mendapati bahawa pengesan Iran sedang beroperasi dari sebuah kapal kecil bagi menyalurkan maklumat sasaran kepada IRGC. 

Pasukan Amerika telah memintas kapal berkenaan, mengarahkan penumpangnya meninggalkan kapal dan kemudian memusnahkannya.

Tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan, kata pegawai itu.

Tidak ingin mengambil risiko kehilangan baki bot lajunya, Iran gagal menghalang peningkatan eksport minyak menerusi selat berkenaan, terutamanya selepas serangan Amerika memusnahkan angkatan tentera lautnya, tambah pegawai itu.

Sementara itu, Amerika terus memperketat sekatan laut terhadap pelabuhan Iran serta meluaskan sekatan ekonomi dalam usahanya menambah tekanan ke atas Teheran bagi mencapai perjanjian untuk menamatkan konflik tersebut.

Peperangan itu – yang menelan kos bulanan sebanyak AS$3 bilion ($3.8 bilion) – telah menjadi isu utama dalam kempen pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada November, yang bakal menentukan penguasaan ke atas Kongres.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sedang mempertimbangkan langkah seterusnya terhadap Iran, namun beliau menyatakan tidak akan melancarkan serangan berikutan sebelum proses pengundian berlangsung.

Ketegangan di Hormuz telah menyebabkan pasaran tenaga global terus terdedah kepada gangguan lanjut. – Reuters

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti