TEHERAN: Perang antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel bukan sahaja meletus di medan tempur Selat Hormuz atau ruang udara.

Di jalan-jalan utama Teheran, satu lagi pertempuran sedang berlaku – perang untuk menguasai persepsi rakyat.

Papan iklan raksasa yang memenuhi lokasi strategik di ibu kota Iran kini menjadi antara senjata utama pemerintah dalam perang maklumat itu.

Ada yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dengan bibir dijahit.

Ada pula menunjukkan seorang askar Iran memijak dron bawah air Amerika, manakala satu lagi menggambarkan kapal perang Amerika terbakar di tengah laut.

Mesejnya Iran jelas. Ia mahu menunjukkan kepada rakyatnya bahawa negara itu bukan mangsa yang lemah, sebaliknya mampu melawan dan mencabar kuasa ketenteraan terbesar dunia.

Kempen visual itu semakin menonjol ketika perang yang bermula dengan serangan Amerika-Israel terhadap Iran pada akhir Februari berlarutan, dengan Selat Hormuz muncul sebagai salah satu medan utama persaingan.

Iran menyekat perkapalan komersial melalui laluan strategik itu, manakala tentera Amerika mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.

Dalam keadaan sedemikian, papan iklan di Teheran bukan lagi sekadar propaganda tradisional.

Ia menjadi sebahagian daripada strategi komunikasi perang yang bergerak hampir sepantas perkembangan di medan tempur.

Agensi berita, AFP, diberi akses luar biasa kepada Khaneh-ye Tarrahan – sebuah studio yang menghasilkan papan iklan berunsur anti-Amerika untuk dipamerkan di lokasi tumpuan seperti Dataran Valiasr.

Studio itu menghasilkan satu imej gergasi Encik Trump dengan bibir dijahit dan mulutnya seolah-olah dikunci oleh Selat Hormuz, seiring ungkapan, “Di titik genting”.

Pengurus studio itu, Encik Mostafa Kafaei, 32 tahun, berkata pasukannya sentiasa memantau perkembangan semasa sebelum menghasilkan idea yang kemudian diterjemahkan kepada karya grafik.

“Apabila berita tercetus, pasukan akan digerakkan: idea dihasilkan, pereka grafik diberikan taklimat dan kami bekerjasama,” katanya.

Studio berkenaan beroperasi di bawah salah sebuah konglomerat media terbesar milik pemerintah Iran, sementara papan iklan itu ditaja kerajaan untuk menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara meluas.

Trump sebagai wajah musuh

Penggunaan wajah Encik Trump secara berulang menjadi antara ciri paling menonjol dalam kempen propaganda visual Iran.

Dalam satu papan iklan di Dataran Jomhouri, Encik Trump digambarkan terperangkap dalam kotak ahli silap mata sambil memegang Coca-Cola dan hamburger, dengan mesej: “Berkelip, anda lenyap!”

Ia merujuk kepada kejadian di Turkey pada Julai apabila Encik Trump dilaporkan dipindahkan secara rahsia dari Air Force One ke pesawat lain menggunakan trak katering susulan ancaman keselamatan.

Satu lagi karya mengambil inspirasi daripada kulit album terkenal kumpulan rok Amerika Nirvana, Nevermind, dengan Encik Trump digambarkan berada di bawah air dan cuba mencapai wang dolar. Di sisinya tertera ungkapan, “KEMENANGAN BESAR! Selat Hormuz”.

Encik Kafaei menyifatkan Presiden Amerika itu sebagai “personaliti media” dan berkata Iran perlu bertindak dalam ruang komunikasi yang sama.

“Kami bertindak balas dengan cara yang sama setiap kali beliau mengambil tindakan dalam ruang itu,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan itu seperti berada di medan perang dengan musuh yang “sentiasa melepaskan tembakan”.

“Kami sentiasa memerhatikan pihak lawan dan bertindak balas sewajarnya,” kata beliau.

Pendekatan itu memperlihatkan bagaimana perang moden bukan lagi semata-mata mengenai siapa memiliki peluru berpandu, dron atau pesawat tempur paling canggih.

Ia turut melibatkan usaha setiap pihak membentuk persepsi masyarakat tentang siapakah yang mempunyai kelebihan dan siapakah yang semakin tertekan dalam konflik itu.

Dalam konteks tersebut, Encik Trump merupakan sasaran yang sesuai kerana beliau sendiri sangat bergantung pada imej, media dan mesej politik yang ringkas tetapi kuat.

Iran pada dasarnya menggunakan kaedah komunikasi Encik Trump untuk menyerang Encik Trump sendiri.

Selat Hormuz sebagai simbol, propaganda era AI

Selat Hormuz turut menjadi tema utama kempen propaganda itu kerana laluan tersebut kini bukan sahaja mempunyai kepentingan ketenteraan dan ekonomi, bahkan juga nilai simbolik.

Satu papan iklan menunjukkan seorang askar Iran memijak dron bawah air Amerika yang didakwa dirampas Pengawal Revolusi Iran di Selat Hormuz.

Papan iklan itu turut memaparkan ungkapan, “Perniagaan berjalan lancar”, bagi menggambarkan kejayaan Iran merampas dron tersebut.

Satu lagi menggambarkan seorang pahlawan mitos berdiri di tengah laut bergelora ketika kapal perang Amerika terbakar, seiring mesej bahawa “tentera syaitan akan tenggelam”.

Gambaran sedemikian cuba mengubah ketidakseimbangan kuasa ketenteraan antara Iran dengan Amerika menjadi naratif keberanian dan penentangan.

Mesej utamanya ialah Teheran tetap mampu memberi tamparan hebat kepada kepentingan strategik Washington, tanpa perlu menandingi kekuatan ketenteraan Amerika secara keseluruhan.

Ini amat penting bagi pemerintah Iran ketika rakyat berdepan tekanan perang dan kesukaran ekonomi.

Menariknya, operasi propaganda itu juga menunjukkan bagaimana teknologi mengubah perang maklumat.

Encik Kafaei berkata kepantasan kini menjadi keutamaan dan poster mendesak boleh disiapkan dalam beberapa hari oleh pasukan sehingga lapan orang.

Walaupun kebanyakan kerja dilakukan menggunakan aplikasi Photoshop, beliau berkata pasukannya juga “sangat mahir dalam AI” dan menggunakan beberapa enjin kecerdasan buatan (AI), termasuk ChatGPT dan Nano Banana, dalam proses penghasilan.

Ini bermakna propaganda yang suatu ketika dahulu memerlukan proses panjang kini boleh dihasilkan dengan cepat sebagai tindak balas kepada sesuatu perkembangan.

Pertempuran naratif boleh bermula hanya beberapa jam atau hari selepas sesuatu serangan berlaku.

Papan iklan itu turut digunakan untuk membina naratif lebih luas mengenai pengorbanan Iran.

Imej bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang terbunuh pada awal perang, serta sekutu Teheran seperti bekas pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, turut dipaparkan.

Dengan cara itu, pemerintah menghubungkan konflik semasa dengan naratif perjuangan, pengorbanan dan penentangan terhadap Amerka serta Israel.

Mesej lebih tersirat

Pesara, Encik Mahmoudreza Rezaei, 53 tahun, berkata beliau pernah melihat papan iklan dengan ungkapan “hadiah perkahwinan syaitan”.

Menurutnya, mesej itu ditujukan kepada Encik Trump susulan serangan Amerika yang didakwa mengenai sebuah majlis perkahwinan di selatan Iran bulan lalu dan mengorbankan beberapa orang.

“Ia membuatkan saya berfikir selama beberapa minit, cuba memahami maksudnya,” kata beliau.

Kesan seperti itulah yang dikehendaki oleh kempen tersebut: bukan sekadar memastikan orang ramai melihat sesuatu imej, tetapi membuat mereka berfikir dan mengaitkannya dengan perkembangan perang.

Encik Sahar Jahedi, 24 tahun, yang bekerja di sebuah farmasi, berkata ramai rakyat kini terlalu sibuk berusaha meneruskan kehidupan sehingga tidak mempunyai masa mengikuti berita secara terperinci.

Menurutnya, papan iklan seperti itu boleh memainkan peranan penting dalam memastikan orang ramai mengetahui perkembangan semasa.

Sebab itulah tembok dan papan iklan Teheran kini menjadi sebahagian daripada medan perang.

Di situ, Iran sedang berusaha memastikan bahawa apa sahaja yang berlaku di medan tempur, naratif yang dilihat rakyat setiap hari tetap membawa satu mesej utama: negara itu masih menentang dan belum tunduk. – Agensi berita.