Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liverpool kalah buat kali kedua dalam seminggu

Kekalahan 0-1 di tangan Galatasaray di Liga Juara-Juara Eropah zahirkan kelemahan ‘The Reds’ musim ini
Oct 1, 2025 | 4:31 PM
Pemain Galatasaray (dari kiri) Lucas Torreira dan Ismail Jakobs meraikan kemenangan 1-0 mereka ke atas Liverpool di Liga Juara-Juara Eropah pada 30 September.
Pemain Galatasaray (dari kiri) Lucas Torreira dan Ismail Jakobs meraikan kemenangan 1-0 mereka ke atas Liverpool di Liga Juara-Juara Eropah pada 30 September. - Foto AFP

Pemain Liverpool menjadi sasaran bunga api yang dinyalakan di luar hotel mereka di Istanbul, dengan tujuan mengganggu tidur mereka.

Namun, kekalahan kedua berturut-turut itu sepatutnya menjadi amaran sebenar untuk mereka.

Juara Liga Perdana England (EPL) itu tidak perlu panik kerana mereka masih berada di puncak liga, tetapi tanda-tanda kelemahan yang sedang menghantui permulaan musim mereka sekali lagi terserlah apabila mereka tewas 0-1 kepada Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Eropah pada 30 September.

Setelah peralihan yang lancar sejurus selepas menggantikan Jurgen Klopp – dengan meraih kejuaraan EPL dalam musim pertamanya sebagai pengurus Liverpool – Arne Slot kini berdepan dengan cabaran sebenar dalam kerjayanya.

Berbeza dengan musim pertamanya apabila beliau tidak melakukan pembelian besar apabila tiba dari Feyenoord, musim ini berkemungkinan menjadi musim transisi untuk Slot selepas berbelanja hampir 450 juta paun ($774 juta) pada musim panas lalu.

Tahap kecergasan penyerang Alexander Isak masih lagi di bawah tahap yang diperlukan, berikutan rekod perpindahan bernilai 125 juta paun dari Newcastle United.

Florian Wirtz, yang dibawa masuk dengan harga yang lebih murah – 116 juta paun dari Bayer Leverkusen – kini kelihatan hilang arah, sedang beliau berusaha menyesuaikan diri dengan rentak permainan di Liverpool.

Selain itu, ia juga merupakan malam yang ingin dilupakan Slot.

Sentuhan emas pengurus dari Belanda itu tidak dapat dilihat apabila strateginya untuk tidak memulakan Mohamed Salah di Istanbul ternyata tidak berkesan.

Apabila pemain Mesir itu dimasukkan selepas sejam permainan, Galatasaray sudah mendahului dan menguasai permainan, manakala Liverpool masih bergelut untuk mencipta peluang.

Kali terakhir Salah diletakkan di bangku simpanan untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah adalah ketika menentang Rangers pada Oktober 2022.

Liverpool, seperti kekalahan mereka di Crystal Palace dan di perlawanan sepanjang musim ini, sekali lagi terdedah oleh Galatasaray yang jelas telah melakukan persediaan dengan baik di bawah kendalian pengurus, Okan Buruk.

Tanda amaran sudah dilihat sejak awal permainan apabila penyerang Galatasaray, Baris Alper Yilmaz, berlari ke arah gol tanpa dicabar.

Namun, penjaga gawang, Alisson, sekali lagi menyelamatkan Liverpool.

Slot meletakkan pemain pertahanan kanan terbaru, Jeremie Frimpong, sebagai pemain sayap kanan, sekali gus menunjukkan beliau tidak begitu yakin dengan kebolehan pertahanan Frimpong.

Mengisi posisi bek kanan ialah pemain tengah, Dominik Szoboszlai, namun kesilapannya ketika mengasari Yilmaz pada minit ke-16 memberikan penalti pada pasukan dari Turkey itu.

Victor Osimhen menyempurnakan penalti itu, dengan peminat bersorak penuh gembira di stadium itu

Penyerang Galatasaray, Victor Osimhen, meraikan gol tunggal pasukannya ketika mengatasi Liverpool di Liga Juara-Juara Eropah.
Penyerang Galatasaray, Victor Osimhen, meraikan gol tunggal pasukannya ketika mengatasi Liverpool di Liga Juara-Juara Eropah. - Foto REUTERS

Seperti yang dikatakan bekas pemain sayap Scotland, Pat Nevin, di BBC Radio 5 Live: “Ini bukan Liverpool.”

Setelah kekalahan di Selhurst Park, perjalanan ke Istanbul mungkin perkara terakhir yang diperlukan Liverpool, dek suasana tegang yang menanti mereka.

Kemeriahan di dalam stadium bermula berjam-jam sebelum permainan dimulakan dan, apabila perlawanan bermula, setiap sentuhan Liverpool disambut dengan sorakan dan bunyi wisel yang sangat kuat.

Untuk menambah lagi penderitaan Liverpool di Turkey, penjaga gawang utama, Alisson, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-56 selepas menyelamatkan percubaan Osimhen, manakala penyerang yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Hugo Ekitike, turut tercedera dan dikeluarkan.

Slot mengesahkan bahawa Alisson tidak dapat diturunkan ketika menentang Chelsea pada 5 Oktober ini.

Kecederaan yang menimpa penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker, ketika menentang Galatasaray bermakna beliau tidak akan beraksi menentang Chelsea pada 5 Oktober ini.
Kecederaan yang menimpa penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker, ketika menentang Galatasaray bermakna beliau tidak akan beraksi menentang Chelsea pada 5 Oktober ini. - Foto REUTERS

Salah satu kebimbangan utama Liverpool setakat ini ialah impak pemain tengah, Wirtz.

Selepas berkembang di bawah Xabi Alonso di Bayer Leverkusen, bintang muda itu masih lagi mencari rentak permainannya.

Di Istanbul, Wirtz bermain dalam peranan yang lebih bebas di belakang penyerang utama Liverpool, Ekitike.

Namun, selain daripada satu percubaan pada separuh masa pertama yang diselamatkan penjaga gawang Galatasaray, Ugurcan Cakir, beliau sekali lagi kelihatan tidak terlibat dalam permainan, sekaligus meneruskan tempoh pencarian gol pertamanya untuk Liverpool.

Walau pemain terbaik kadang kala memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, Liverpool pasti mengharapkan sentuhan luar biasa daripadanya dalam masa terdekat.

Florian Wirtz sekali lagi mempamerkan persembahan yang mengecewakan di Istanbul.
Florian Wirtz sekali lagi mempamerkan persembahan yang mengecewakan di Istanbul. - Foto REUTERS

Mengulas mengenai peranan Wirtz, Nevin menambah:

“Anda fikir kepada diri sendiri ‘apa perancangan mereka? Apa rancangan untuk mengubahnya secara ketara?

“Sebenarnya tidak banyak yang perlu diubah, kerana beliau sudah hebat sebelum ini.”

Daripada sebuah pasukan yang hampir tidak berubah apabila Slot menjadi pengurus dan memenangi EPL dengan mudah, Liverpool kini sedang terkial-kial mencari rentak dalam menggabungkan ramai pemain baru.

Penggandingan Wirtz dilihat telah menyebabkan Liverpool terdedah dengan lebih banyak, walaupun tanggungjawab itu tidak hanya terletak padanya.

Mereka tidak kelihatan sekuat musim lalu dan bentuk pasukan kelihatan terjejas.

“Saya tidak nampak di mana Wirtz boleh masuk ke dalam pasukan.

“Saya rasa ia adalah banyak wang. Saya rasa Wirtz sebenarnya merosakkan keseimbangan pasukan Liverpool dan cara mereka bermain,” kata bekas kapten England, Wayne Rooney, di The Wayne Rooney Show.

Rooney akur beliau seorang pemain yang hebat dan akan menjadi lebih baik, tetapi beliau tidak menafikan Wirtz memulakan musim dengan perlahan.

Masalah yang dihadapi Wirtz bukanlah disebabkan oleh kekurangan usaha. Beliau mencuba lebih banyak penggelecekan atau percubaan ke arah gol berbanding pemain Liverpool yang lain di Istanbul.

Statistik Liverpool juga menyokong teori bahawa mereka kini lebih mudah ditembusi, dengan terpaksa menjaringkan gol lewat untuk mengalahkan Bournemouth, Newcastle, Arsenal, Burnley, dan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah serta Southampton dalam Piala Carabao.

Mereka juga dibolosi dua gol dalam perlawanan menentang Bournemouth, Newcastle dan Atletico.

Pada 10 perlawanan pertama musim ini, mereka hanya mencatatkan hanya dua clean sheet (gawang tidak dibolosi), berbanding enam clean sheet pada jumlah perlawanan yang sama.

“Pada masa ini, mereka belum sampai ke tahap itu.

“Apabila anda melihat cara mereka bermain sekarang, mereka bukan pasukan yang sama seperti musim lalu. Anda boleh lihat persefahaman antara pemain tidak tepat pada masa ini – tetapi mereka masih ada masa untuk memperbaikinya. Tidak perlu panik,” kata bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, di Amazon Prime.

Dengan keadaan tenang, Slot memberikan perspektif yang seimbang dengan berkata anak didiknya tidak terlalu jauh daripada tahap yang ditunjukkan musim lalu.

“Kadangkala, ini yang dibawa jadual perlawanan, Galatasaray bukan satu permainan yang mudah. Sekarang kami akan menentang Chelsea di tempat lawan, satu lagi perlawanan yang sukar.

“Perbezaannya kecil dan ini juga berlaku pada musim lalu. Untuk kali kedua berturut-turut, kami berada di pihak yang salah,” katanya.

Walau demikian, penguasaan tenang yang menjadi ciri utama kejuaraan Liverpool telah hilang – dan sekali lagi hilang di tengah suasana tegang di Istanbul. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg