Memang tidak dapat dinafikan bahawa Mesir merupakan negara popular dalam kalangan pelancong.
Negara ini mengandungi banyak tarikan wisata yang bersejarah dengan kisah turun temurun dari ribuan tahun lalu.
Pelancongan merupakan salah satu tonggak paling penting dalam ekonomi Mesir.
Menurut laporan awal, Mesir menyaksikan kedatangan seramai 17 juta pengunjung pada 2024, peningkatan tahunan sebanyak 17 peratus.
Pemimpin Pasukan dan Pakar Afrika di agensi pelancongan Scott Dunn, Cik Gwen Ho, telah berkunjung ke sana baru-baru ini dan menyarankan lima tip berikut bagi pengunjung kali pertama.
1. Kemas barang yang ingin dibawa dengan betul, pilih waktu terbaik untuk ke sana
Tempoh musim panas di Mesir adalah dari Jun hingga Ogos, dengan Julai merupakan bulan terpanas – suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius di beberapa kawasan, dan orang ramai disarankan agar elak daripada berdepan dengan keadaan tersebut.
Bagaimanapun, walaupun tempoh lebih panas bukan waktu paling popular untuk berkunjung ke sana, ia selalunya lebih dimampui dari segi kewangan.
Lagipun, bilangan orang lebih sedikit, menjadikan lebih mudah untuk meneroka tapak popular.
“Mac hingga April dianggap musim kurang sibuk di Mesir – sejurus sebelum bahang semakin memuncak, menjadikan ia waktu baik untuk ke sana bagi mereka yang ingin elak orang ramai dan menikmati kadar (harga) lebih menarik.
“Sementara ia bukan tempoh paling sejuk, suhunya masih berada pada tahap selesa 14 darjah Celsius hingga terpanas dalam 30 darjah Celsius. Namun, suhu pada waktu malam boleh menjadi sejuk, jadi diingatkan agar memakai beberapa lapisan baju,” ujar Cik Ho.
Walau pada bulan lebih sejuk di Mesir, matahari masih terik dan suhu waktu siang boleh mencecah 20 darjah Celsius dan ke atas.
Disebabkan itulah, waktu ideal untuk berkunjung ke sana ialah antara Oktober dengan April, apabila panasnya lebih mudah ditangani dan kegiatan bersiar-siar di padang pasir lebih selesa.
September dan Mei juga boleh menjadi pilihan, namun suhu mula meningkat.
2. Cuba makanan tempatan, berhati-hati dengan makanan di gerai tepi jalan
Tiada kunjungan ke Mesir yang lengkap tanpa menikmati hidangannya yang unik.
Hidangan kegemaran Cik Ho merupakan koshary – hidangan kebangsaan Mesir mengandungi campuran pasta, nasi, kacang dal dan kacang kuda, disertai minyak bawang putih dan sos tomato pedas.
Walaupun ia makanan jalanan yang sangat popular, orang ramai digesa menjamu selera di restoran berbanding makanan dijual di gerai tepi jalan, terutama bagi yang perut sensitif.
Meminum air botol juga disarankan kerana air paip negara tersebut banyak klorin.
Cik Ho gemar ke Naguib Mahfouz Cafe, tempat bersejarah yang tercorok di Khan el Khalili Bazaar.
Teh bunga raya juga minuman menyegarkan untuk mengatasi cuaca panas, terutama jika ia mengandungi asam jawa.
Pastikan anda juga cuba buah tempatan seperti jambu batu.
“Saya sangat terkejut apabila menggigit buah tersebut. Ia sangat lembut dan manis sehingga bijinya boleh dimakan sekali!” kata Cik Ho.
3. Bersiar-siar dengan jurupandu privet, yang boleh beri bimbingan
Banyak yang telah diperkatakan tentang pelancong yang sering didekati warga di sana apabila berada di Mesir.
Mempunyai jurupandu sendiri bantu anda elak dihampiri, dan Cik Ho berkongsi bahawa dirinya rasa sangat selamat apabila bersama jurupandu peribadi.
Sementara banyak wisata di Mesir menyarankan berkunjung ke mercu tanda ikonik – seperti Muzium Agung Mesir, Piramid Giza, atau Unfinished Obelisk (tapak zaman purba) – Cik Ho berkata beliau lebih memahami apa yang berbaloi untuk diutamakan apabila ke sana sendiri.
Sementara ada tarikan yang membuatnya terpukau, tapak seperti Unfinished Obelisk dan Empangan Aswan tidak begitu memuaskan lebih-lebih lagi setelah perjalanan lama dalam kereta.
Apabila ke Piramid Giza juga, kebanyakan pengunjung perlu turun dari kereta atau bas di tempat meletak kereta, dan menaiki kenderaan berasingan untuk membawa mereka masuk ke perkarangan tersebut.
Justeru, jika tetamu dambakan keselesaan, mereka boleh memilih untuk menggunakan khidmat pengendali pelancongan lain yang tawar nilai tambah.
Contohnya, Cik Ho sendiri menggunakan khidmat Scott Dunn yang menawarkan khidmat bugi peribadi tanpa perlu berasak-asak dengan pengunjung lain.
4. Ambil kapal persiaran di Sungai Nil, teroka luar Kahirah
Terdapat banyak permata di Mesir dan di luar kota Kahirah.
Salah satu cara terbaik menemuinya ialah dengan mengambil kapal persiaran di Sungai Nil.
Cik Ho menyarankan menaiki Oberoi, yang menawarkan dua kapal pelesiran mewah.
Salah satu tempat kegemaran untuk berhenti seketika berdekatan Sungai Nil ialah Nubian Village di Aswan, bandar meriah di mana pengunjung boleh belajar tentang cara kehidupan suku kaum Nubian.
“Mereka bangga dengan kraf mereka, jadi pastikan anda bawa pulang barang yang dibuat tangan – saya membeli beg tenunan cantik dengan banyak sulaman berwarna-warni dan corak berjalin-jalin dan kompleks yang sangat unik,” kata Cik Ho.
5. Hormati budaya dan adat tempatan
Sebagai negara yang kebanyakannya orang Islam, Mesir menekankan kepentingan berpakaian sopan, terutamanya apabila berkunjung ke tapak keagamaan.
Cik Ho mencadangkan memilih pakaian lebih konservatif seperti baju lengan panjang dan seluar yang diperbuat daripada fabrik lut udara seperti linen, yang membuat pengunjung rasa lebih selesa.
Walaupun banyak tapak, seperti makam ikonik Valley of the Kings, adalah destinasi pelancongan popular, pelawat juga harus mengambil kira peraturan pemeliharaan.
Fotografi menggunakan pancaran cahaya, misalnya, tidak digalakkan untuk membantu melindungi lukisan kuno halus yang melapisi dinding makam.
Bersikap hormat-menghormati juga meliputi interaksi seharian.
Pemberian tip adalah sebahagian penting budaya Mesir, dan dirujuk sebagai baksheesh secara tempatan.
Untuk restoran dan kafe, tip sebanyak 10 peratus daripada bil biasanya diharapkan untuk perkhidmatan yang baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg