BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pengantara Amerika Syarikat, Encik Jared Kushner, telah mencapai persetujuan untuk mengeluarkan kira-kira 200 anggota Hamas dari terowong di Rafah di selatan Gaza dan memindahkan mereka ke luar wilayah Palestin, kata media Israel pada 11 November.
Akhbar harian Yedioth Ahronoth, memetik seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan dari Kabinet Keselamatan, sebagai menyatakan bahawa terdapat penyelesaian mengenai anggota Hamas di Rafah itu.
“Satu penyelesaian telah dicapai antara Encik Netanyahu dengan Encik Kushner untuk mengusir kira-kira 200 anggota (Palestin) yang terperangkap di terowong Rafah. Di bawah penyelesaian itu, Israel mesti membenarkan pemindahan mereka yang selamat” keluar dari wilayah Palestin,” kata pegawai itu.
Pegawai Israel itu berkata tiada negara yang bersetuju untuk menerima mereka.
Tiada komen segera daripada Amerika, Israel, atau Hamas mengenai laporan itu.
Rafah terletak di kawasan timur yang dipanggil “garisan kuning” yang dikawal oleh tentera Israel, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian gencatan senjata yang bermula pada 10 Oktober.
Rakyat Palestin dibenarkan bergerak di kawasan barat garisan itu, tetapi zon tersebut menyaksikan pelanggaran harian Israel yang mengakibatkan ratusan orang mati dan cedera.
Penyiar awam KAN, memetik sumber yang rapat dengan Encik Netanyahu, berkata bahawa perdana menteri Israel menafikan bahawa beliau telah membuat sebarang komitmen kepada Washington mengenai pemindahan anggota Hamas di Rafah.
Pada 9 November, Hamas menganggap Israel bertanggungjawab atas sebarang pertempuran dengan anggotanya yang terperangkap di Rafah.
Kumpulan Hamas sebelum ini berkata anggotanya yang bersembunyi di kawasan Rafah yang dikuasai Israel tidak akan menyerah diri kepada Israel, dan menggesa pengantara agar mencari penyelesaian kepada krisis yang mengancam gencatan senjata yang berusia sebulan itu.
Seorang pegawai kanan Turkey berkata pada lewat 9 November bahawa negaranya sedang berusaha menjamin laluan selamat bagi kira-kira 200 anggota Hamas di Rafah itu slepas berjaya memainkan peranan penting memudahkan pemulangan mayat seorang askar Israel yang terkorban di wilayah itu lebih sedekad lalu.
“Kami telah berjaya memudahkan kepulangan mayat Hadar Goldin ke Israel selepas 11 tahun” dan ini adalah hasil usaha intensif yang mencerminkan komitmen jelas Hamas terhadap gencatan senjata.
“Pada masa yang sama, kami sedang berusaha memastikan laluan selamat kira-kira 200 orang awam Gaza yang kini terperangkap di dalam terowong,” kata pegawai itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg