BAITULMAKDIS: Pengantara Amerika Syarikat Jared Kushner dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mengadakan rundingan pada 10 November mengenai fasa kedua gencatan senjata Gaza ketika Washington meningkatkan usaha memastikan gencatan senjata yang rapuh itu terus berkekalan.
Dalam masa yang sama, Encik Netanyahu berkata Israel akan menguatkuasakan gencatan senjata di Gaza dan juga di Lebanon secara “kuku besi” bagi memastikan keamanan berkekalan.
Gencatan senjata di Gaza, yang kini genap sebulan berkuat kuasa, menyaksikan Israel menghentikan pertempuran yang tercetus selepas serangan mengejut Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Dalam fasa pertama yang sedang berlangsung, beberapa siri pertukaran tahanan dan tebusan terus dijalankan sepanjang beberapa minggu lalu.
Encik Kushner, menantu Presiden Amerika Encik Donald Trump yang membantu menjadi perantara gencatan senjata, bertemu Encik Netanyahu di Baitulmakdis pada 10 November sebagai sebahagian daripada usaha Amerika untuk menstabilkan gencatan senjata dan menyediakan asas untuk fasa seterusnya.
Kedua-dua pemimpin itu membincangkan beberapa aspek paling sensitif fasa kedua, kata jurucakap pemerintah Israel Cik Shosh Bedrosian kepada media.
“Bersama-sama mereka berdua membincangkan fasa pertama, yang masih kita lalui sekarang, untuk membawa pulang baki tebusan kita, dan masa depan fasa kedua rancangan ini, yang merangkumi pelucutan senjata Hamas, penghapusan tentera Gaza dan memastikan Hamas tidak akan memainkan peranan dalam masa depan di Gaza lagi.
“Fasa kedua juga merangkumi penubuhan pasukan pengaman antarabangsa dan butirannya yang sudah tentu sedang dibincangkan bersama.” kata Cik Bedrosian.
Hamas berulang kali menegaskan bahawa menyerahkan senjata adalah antara perkara yang mereka tidak akan bertolak ansur.
Israel dan Hamas terus menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata di Gaza.
Kementerian kesihatan Gaza menyatakan pasukan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 242 rakyat Palestin di wilayah itu sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober.
Pada 10 November, tentera Israel menyatakan bahawa mereka telah membunuh dua militan yang menghampiri apa yang disebut “Garis Kuning”, sempadan di tempat pasukan Israel menguasai kedudukan mereka di Gaza.
Sekatan media di Gaza dan kesukaran untuk mengakses banyak kawasan bermakna media tidak dapat mengesahkan butiran yang diberikan oleh kementerian atau tentera Israel secara bebas.
“Sesiapa yang cuba mencederakan kami, kami juga akan mencederakan mereka,” kata Encik Netanyahu di Parlimen pada 10 November.
“Kami bertekad untuk menguatkuasakan perjanjian gencatan senjata dengan kuku besi terhadap mereka yang ingin memusnahkan kami, dan anda boleh lihat apa yang berlaku setiap hari di Lebanon,” tambahnya.
Israel terus menyerang Lebanon dengan menyasarkan militan Hezbollah.
Ia bersetuju dengan gencatan senjata untuk menghentikan perang dengan kumpulan itu November lalu, tetapi kerap mengebom Lebanoan sejak itu.
Ia menyatakan bahawa ia telah membunuh 15 anggota Hezbollah pada November.
Mesir, Qatar dan Turkey adalah antara negara yang berpotensi dalam pasukan pengaman antarabangsa yang dicadangkan untuk Gaza, tetapi Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa ia tidak mungkin menyertai pasukan itu tanpa rangka kerja operasi yang jelas.
Turkey telah menyatakan kesediaan menyertai pasukan itu tetapi Encik Netanyahu berulang kali menyatakan Israel tidak akan membenarkannya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg