BAITULMAKDIS: Israel memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 Januari bahawa agensi bantuannya, yang menyediakan talian hayat kritikal kepada dua juta rakyat Palestin sepanjang 15 bulan perang di Jaluran Gaza, mempunyai enam hari untuk menghentikan semua operasi di timur Baitulmakdis.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Encik António Guterres, Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata:
“Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dikehendaki menghentikan operasi dan mengosongkan premisnya di Baitulmakdis, tidak lewat dari 30 Januari 2025.”
Dalam surat itu, Israel meminta UNRWA keluar dari dua premisnya di Maalot Dafna dan Kfar Aqueb di timur Baitulmakdis, yang dianggap oleh undang-undang antarabangsa sebagai sebahagian daripada Tebing Barat yang diduduki Israel.
Surat itu adalah notis rasmi pertama Israel kepada PBB tentang bagaimana ia merancang menguatkuasakan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen Israel pada Oktober, yang melarang UNRWA beroperasi di wilayah Israel.
Tindakan itu dibuat selepas ketegangan berbulan-bulan antara pemerintah Israel dan agensi PBB itu, yang menyediakan makanan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan, latihan vokasional dan pendidikan kepada rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza, terutamanya selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
UNRWA juga membantu rakyat Palestin yang tinggal di Jordan, Syria dan Lebanon.
Israel menuduh UNRWA disusupi anggota Hamas tetapi dua siasatan PBB mendapati kurang 10 daripada hampir 13,000 pekerja agensi itu bergabung dengan Hamas dan mereka telah dipecat.
Menurut pegawai tempatan, seramai 269 kakitangan UNRWA terbunuh di Gaza, jumlah kehilangan nyawa terbesar dalam kalangan pekerja PBB dalam sebarang konflik sejauh ini.
Encik Danon juga berkata dalam suratnya itu bahawa Israel akan terus bekerjasama dengan PBB dan “mana-mana agensinya yang tidak disusupi pertubuhan pengganas”.
Diminta mengulas, jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, merujuk kepada kenyataan Encik Guterres sebelum ini yang mempertahan kerja-kerja UNRWA, menyifatkannya sebagai tidak boleh diganti dan penting, terutamanya di Gaza.
Ini kerana pengeboman Israel untuk memusnahkan Hamas telah menyebabkan kebanyakan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan membunuh kira-kira 47,000 rakyat Palestin, menurut pegawai tempatan di Gaza.
Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, telah meminta Majlis Keselamatan PBB supaya campur tangan bagi menghalang Israel menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan agensinya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg