GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing apabila Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan pemberhentian penghantaran bantuan melalui lintasan Kerem Shalom.
Pengarah UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, menyatakan keputusan itu terpaksa diambil atas faktor keselamatan, susulan beberapa kejadian yang mengancam nyawa pekerja kemanusiaan dan membahayakan operasi bantuan.
“Laluan dari lintasan ini telah lama tidak selamat. Pada 16 November lalu, konvoi besar trak bantuan telah dirampas oleh kumpulan bersenjata,” kata Encik Lazzarini dalam kenyataannya di platform X.
Beliau turut mendedahkan bahawa usaha membawa masuk trak makanan sehari sebelumnya juga berakhir dengan kesemua trak dirampas.
“Kelaparan semakin memburuk di Gaza. Operasi kemanusiaan kini menjadi mustahil,” tambahnya.
“Tanggungjawab untuk melindungi pekerja bantuan dan bekalan terletak pada Israel sebagai kuasa pendudukan. Mereka mesti memastikan aliran bantuan memasuki Gaza dengan selamat,” katanya.
PBB dalam kenyataannya pada 31 Disember mengakui Gaza kini berada dalam keadaan huru-hara.
Selain kelaparan yang memuncak, kawasan perlindungan menyaksikan peningkatan kejadian rompakan akibat runtuhnya peraturan awam.
Menurut Kementerian Pertahanan Israel, hanya 7 peratus bantuan yang masuk ke Gaza sepanjang November diselaraskan oleh UNRWA.
“Terdapat puluhan organisasi kemanusiaan lain yang beroperasi di Gaza dan memainkan peranan yang semakin besar dalam menghantar bantuan,” jelas agensi itu.
Namun, UNRWA dan badan bantuan lain menyatakan bahawa laluan melalui Kerem Shalom kekal kritikal.
Ketua misi Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Cik Claire Nicolet, menyifatkan pengumuman UNRWA sebagai “titik kritikal yang melumpuhkan” kerana agensi itu menjadi tulang belakang dalam penghantaran makanan dan bekalan penting.
Encik Lazzarini turut menyeru Israel agar menghentikan serangan terhadap pekerja kemanusiaan, susulan serangan udara pada 1 Disember yang meragut nyawa tiga kontraktor badan kebajikan World Central Kitchen.
“Serangan terhadap pekerja kemanusiaan mesti dihentikan, dan bantuan perlu dihantar tanpa gangguan,” tegasnya.
Pandangan beliau turut disokong Encik Alexandra Saieh, Ketua Dasar dan Advokasi Kemanusiaan ‘Save the Children’.
“Keadaan di kawasan selatan dan tengah Gaza semakin buruk. Risiko kebuluran semakin meningkat, ditambah dengan ancaman musim sejuk yang akan membawa penyakit,” katanya.
Sehingga kini, PBB melaporkan seramai 333 pekerja bantuan telah terkorban sejak konflik bermula, termasuk 243 kakitangan UNRWA.
Sidang puncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) turut menyeru gencatan senjata serta penghantaran bantuan kemanusiaan yang berterusan.
Timbalan Menteri Luar Jerman, Encik Tobias Linder, pula menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai alasan untuk menyekat penghantaran bantuan.
“Jika bantuan tidak dapat masuk melalui Kerem Shalom, keadaan akan terus menjadi bencana bagi rakyat Gaza,” ujarnya.
Sebuah konvoi PBB yang membawa 109 trak berisi bekalan makanan “dirompak dengan ganas” pada 16 November selepas memasuki Gaza, dengan 97 trak dilarikan dan pemandu diancam dengan senjata untuk memunggah bantuan, menurut UNRWA.
Pada 18 November, Hamas mengumumkan 20 individu terbunuh dalam operasi keselamatan di timur Rafah, selatan Gaza.
Operasi itu menyasarkan kumpulan dipercayai perompak trak bantuan yang memasuki Gaza. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg