Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael bidas usul Mamdani tahan Netanyahu di New York
Israel bidas usul Mamdani tahan Netanyahu di New York
Netanyahu akan tetap sampaikan ucapan di Perhimpunan Agung PBB bagi pertahan hak Israel
Israel bidas usul Mamdani tahan Netanyahu di New York
TEL AVIV: Pemerintah Israel mengecam kenyataan Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, yang berkata beliau sedang meneliti kemungkinan mengarahkan polis bandar raya itu agar menahan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sekiranya pemimpin berkenaan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September ini.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan di platform X menyifatkan kenyataan Encik Mamdani sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada isu pentadbirannya sendiri.
“Mamdani sepatutnya menumpukan perhatian kepada kerosakan yang berpunca daripada dasar-dasarnya di New York.
“Seperti Karim Khan (Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengetuai permohonan waran tangkap terhadap Netanyahu sebelum digantung susulan dakwaan salah laku seksual), Mamdani dilihat cuba mengalih perhatian awam daripada kelemahannya dengan menyerang pemimpin negara Yahudi dan satu-satunya demokrasi di Asia Barat,” ujar kenyataan itu.
Encik Mamdani, dalam wawancara bersama The New York Times, yang disiarkan 18 Julai lalu, berkata beliau sedang mendapatkan pandangan Jabatan Undang-Undang Bandar Raya New York bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kuasa untuk mengarahkan Jabatan Polis Bandar Raya New York (NYPD) menahan seorang pemimpin asing.
“Saya percaya Perdana Menteri Netanyahu sepatutnya berada di The Hague. Beliau ialah penjenayah perang yang telah didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.
Beliau menegaskan pentadbirannya akan bertindak mengikut had kuasa yang dibenarkan undang-undang.
“Apa sahaja yang dibenarkan undang-undang di New York, itulah yang akan kami lakukan. Kami tidak akan mencipta undang-undang baharu,” katanya.
Ini bukan kali pertama Encik Mamdani mengemukakan pendirian sedemikian.
Ketika berkempen untuk jawatan datuk bandar pada 2025, beliau turut berjanji akan menguatkuasakan waran tangkap ICC terhadap Encik Netanyahu serta Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, sekiranya mereka berada di New York.
Perhimpunan Agung PBB dijadual berlangsung pada September di ibu pejabat PBB di New York dan lazimnya menghimpunkan pemimpin dari seluruh dunia.
Pejabat Netanyahu turut mengulangi pendirian Israel bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa terhadap Israel mahupun Amerika Syarikat.
“ICC ialah mahkamah palsu yang tidak mempunyai bidang kuasa terhadap rakyat Amerika atau Israel.
“Waran tangkap terhadap Perdana Menteri Netanyahu dikeluarkan oleh bekas Pendakwa Raya ICC yang telah tercemar reputasinya, Karim Khan,” tambah kenyataan itu.
Pejabat itu turut mendakwa waran tangkap berkenaan dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum tuduhan salah laku seksual terhadap Khan didedahkan kepada umum, sambil menyifatkannya sebagai cubaan mengalih perhatian daripada siasatan terhadap beliau.
Pada November 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu selepas mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai beliau bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan operasi ketenteraan Israel di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Bagaimanapun, beberapa pakar undang-undang antarabangsa mempersoalkan sama ada Datuk Bandar New York mempunyai kuasa sah untuk mengarahkan penahanan seorang ketua kerajaan asing.
Profesor Undang-undang Antarabangsa Universiti Yale, Encik Harold Hongju Koh, berkata keadaan itu boleh menjadi “permainan siapa mengalah dahulu” antara Encik Mamdani dengan pentadbiran Presiden Donald Trump serta Encik Netanyahu.
Menurut beliau, Encik Netanyahu akan menikmati kekebalan sebagai ketua pemerintah ketika berada di kawasan ibu pejabat PBB, namun secara teori boleh terdedah kepada tindakan undang-undang ketika berada di luar kawasan itu.
“Persoalan sebenar ialah sama ada Netanyahu sanggup berdepan keadaan sedemikian. Begitu juga Mamdani,” katanya.
Amerika bukan negara anggota ICC dan tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu.
Pentadbiran Presiden Trump sebelum ini turut mengumumkan usaha untuk melemahkan peranan ICC.
Encik Netanyahu pula menolak ancaman Encik Mamdani dan berkata beliau tidak bimbang dengan kenyataan tersebut.
Dalam wawancara bersama stesen radio Amerika, beliau menuduh Encik Mamdani menyokong Hamas serta gagal mempertahankan Israel.
“Saya fikir beliau perlu melihat siapa yang dikutuk dan siapa yang dipujinya. Beliau mengutuk Israel, satu-satunya demokrasi yang berdiri bersama nilai Amerika.
“Siapa yang beliau sokong? Hamas, yang secara terbuka menyeru pembunuhan setiap orang Yahudi di dunia dan melakukan pembunuhan beramai-ramai paling buruk terhadap orang Yahudi sejak Holocaust,” kata Encik Netanyahu.
Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata Encik Netanyahu tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung PBB dan menyampaikan ucapan bagi mempertahankan hak Israel untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman keselamatan. – Agensi berita.

