Topic followed successfully
Go to BHkuDatuk bandar NY gesa kerabat Diraja Britain pulangkan berlian bersejarah kepada India
Datuk bandar NY gesa kerabat Diraja Britain pulangkan berlian bersejarah kepada India
Zohran Mamdani tetap sambut Raja Charles di tugu peringatan Pusat Dagangan Dunia walau tidak adakan pertemuan peribadi
Datuk bandar NY gesa kerabat Diraja Britain pulangkan berlian bersejarah kepada India
NEW YORK: Lawatan Raja Charles III ke New York pada 29 April mencetuskan perhatian bukan sahaja kerana upacara penghormatan kepada mangsa serangan 11 September, tetapi juga kerana sikap dingin Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, terhadap raja Britain itu.
Sehari sebelum tiba di New York, Raja Charles menerima sambutan hangat di Washington D.C..
Beliau dipuji Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, disambut baik anggota Kongres dan menyampaikan ucapan yang dilihat membantu memulihkan hubungan Britain dengan Amerika Syarikat.
Namun, suasana di New York jauh berbeza.
Encik Mamdani, seorang demokrat sosialis yang menang atas janji mengekang kuasa golongan elit, sejak awal memberi isyarat bahawa beliau tidak berminat mengadakan pertemuan peribadi dengan Raja Charles.
“Datuk Bandar tidak akan bertemu secara peribadi dengan Raja Charles. Tetapi Datuk Bandar akan hadir pada upacara meletakkan kalungan bunga hari ini (29 April),” kata Setiausaha Akhbar Datuk Bandar, Encik Joe Calvello, dalam satu kenyataan ringkas pada pagi 29 April.
Kenyataan itu dilihat sebagai layanan dingin terhadap seorang raja yang sehari sebelumnya diraikan di Washington.
Namun, keadaan menjadi lebih menarik apabila Encik Mamdani ditanya apa yang akan beliau katakan sekiranya berpeluang bercakap secara peribadi dengan Raja Charles.
“Jika saya bercakap dengan Raja secara berasingan daripada upacara itu, saya mungkin akan menggalakkan beliau memulangkan berlian Koh-i-Noor,” kata Encik Mamdani.
Berlian Koh-i-Noor seberat 106 karat itu kini berada pada mahkota yang pernah dipakai Ratu Elizabeth dan menjadi sebahagian daripada koleksi permata diraja Britain di Menara London.
Berlian itu menjadi pertikaian sejak ia jatuh ke tangan Ratu Victoria pada 1849.
Pengkritik berkata berlian sebesar telur ayam itu diambil secara tidak bermoral daripada Duleep Singh, seorang maharaja berusia 10 tahun, selepas kerajaannya dirampas British.
India sejak sekian lama menuntut agar berlian itu dipulangkan.
Istana Buckingham enggan mengulas sama ada berlian tersebut akan dikembalikan.
Isu itu amat dekat dengan latar politik Encik Mamdani.
Beliau dilahirkan di Uganda, yang pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Britain, kepada ibu bapa berketurunan India.
Bapanya, Encik Mahmood Mamdani, ialah sarjana terkemuka dalam kajian antikolonialisme, manakala ibunya, Cik Mira Nair, ialah pengarah filem terkenal yang banyak menghasilkan karya mengenai pengalaman kolonial.
Encik Mamdani juga bukan asing dalam menyuarakan pandangan tegas mengenai isu antarabangsa.
Beliau lantang menentang perang Israel di Gaza dan menyokong hak rakyat Palestin.
Sebelum menjadi datuk bandar, beliau pernah berkata akan meminta polis New York menangkap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, jika pemimpin itu datang ke bandar tersebut.
Sebagai datuk bandar Muslim pertama New York, Encik Mamdani turut mencetuskan kemarahan sebahagian masyarakat Hindu India-Amerika apabila mengkritik Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, yang pernah beliau gelar sebagai “penjenayah perang” berhubung layanan terhadap minoriti Muslim di India.
Walaupun enggan bertemu secara peribadi, Encik Mamdani tetap menyambut Raja Charles di tugu peringatan Pusat Dagangan Dunia.
Mereka bertukar kata-kata ringkas, berjabat tangan dan tersenyum ketika pertemuan pendek itu.
Raja Charles dan Permaisuri Camilla meletakkan sejambak bunga bagi memperingati mangsa serangan 11 September.
Namun, ketika melawat kolam peringatan di tapak itu, pasangan diraja tersebut diiringi mantan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, bukan Encik Mamdani.
Encik Bloomberg, seorang ahli perniagaan bilionair dan pengerusi muzium berkenaan, dilihat meletakkan bunga bersama Raja Charles, sementara Encik Mamdani dan beberapa pegawai lain memerhati.
“Mike Bloomberg mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap monarki dan melihat dirinya sebagai duta bagi bandar ini,” kata Encik Chris Coffey, pakar strategi politik dan bekas penasihat Encik Bloomberg.
“Politik Datuk Bandar Mamdani sedikit berbeza daripada itu, dan beliau melihat dirinya lebih sebagai seorang populis,” katanya.
Walaupun pasukan Encik Mamdani sejak minggu lalu menjelaskan bahawa tiada pertemuan peribadi dirancang dengan Raja Charles, kekeliruan tetap berlaku.
Dalam satu dokumen perancangan bagi lawatan Raja Charles ke Harlem Grown, sebuah pertubuhan pertanian bandar di Harlem, nama “Datuk Bandar Mamdani” disenaraikan sebagai peserta lawatan. Namun, beliau tidak hadir pada acara itu.
Lawatan Raja Charles turut berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat, susulan insiden tembakan di majlis makan malam wartawan Rumah Putih pada 25 April.
Di kawasan selatan Manhattan, sekurang-kurangnya sebuah stesen kereta api bawah tanah ditutup dan akses ke bangunan dikawal rapi.
Akses media juga sangat terhad.
Ini bermakna Raja Charles tidak berdepan soalan mengenai kontroversi membabitkan adiknya, Andrew Mountbatten-Windsor, dan hubungannya dengan pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein.
Kontroversi itu terus membayangi lawatan diraja tersebut. Raja Charles sebelum ini dikritik kerana enggan bertemu mangsa Epstein ketika berada di Amerika.
Namun, beliau tidak menyebut isu itu ketika meninggalkan upacara 11 September.
Selepas acara di Pusat Dagangan Dunia, Raja Charles menuju ke projek pertanian bandar selepas sekolah di Harlem.
Permaisuri Camilla pula ke Perpustakaan Awam New York, di mana beliau dijadualkan menghadiahkan patung kanggaru kepada koleksi permainan lembut Winnie-the-Pooh perpustakaan itu.
Bagi ramai warga New York, lawatan diraja itu tidak banyak menimbulkan keterujaan.
Sebaliknya, sebahagian mereka lebih terganggu dengan kawalan keselamatan dan gangguan perjalanan.
“Ia seperti operasi CIA di bawah sana,” kata Danica Parry selepas keluar dari stesen kereta api bawah tanah berhampiran tapak 11 September.
“Saya berjalan bersama orang ramai, dan semua orang menunjukkan kad pengenalan di pintu keluar berbeza.
Ada seorang wanita bertanya: ‘Awak tahu apa yang berlaku?’ Saya jawab: ‘Saya tidak tahu apa yang berlaku, tetapi saya rasa kita patut ikut pintu keluar ini,’” katanya.
Cik Parry berkata beliau tidak terlalu marah kerana gangguan seperti itu “berlaku hampir setiap minggu” di New York.
Namun, beliau tidak begitu teruja dengan lawatan keluarga diraja.
“Saya agak neutral tentang mereka. Mereka tidak memberi kesan kepada hidup saya. Mereka buat hal mereka sendiri,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Amerika patut diperintah oleh raja turun-temurun, beliau menjawab dengan tegas:
“Tidak, saya langsung tidak berminat dengan monarki. Sama ada di luar negara atau dalam negara.” - Agensi berita.
