KHAN YOUNIS: Tentera Israel berkata pada 8 Jun bahawa ia telah membawa keluar mayat ketua tentera Hamas, Encik Mohammed Sinwar, daripada dalam terowong di bawah sebuah hospital di selatan Gaza, berikutan satu operasi yang disasarkan bulan lalu.
Seorang lagi pemimpin kanan Hamas, Encik Mohammad Shabana, komander Briged Rafah, turut ditemui mati di tempat kejadian bersama beberapa pejuang lain, kata jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Brigedier Jeneral (Brig-Jen) Effie Defrin.
Tentera Israel telah membawa sekumpulan kecil wartawan asing melawat terowong yang telah ditemui di bawah Hospital Eropah di Khan Younis, yang menurut Brig-Jen Defrin adalah pusat arahan dan kawalan utama Hamas.
“Ini adalah satu lagi contoh penggunaan sinis oleh Hamas, menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, menggunakan prasarana awam iaitu hospital.
“Kami dapati di bawah hospital, betul-betul di bawah bilik kecemasan, satu perkarangan yang mempunyai beberapa bilik. Di salah satu daripadanya kami temui Mohammed Sinwar yang telah kami bunuh,” tambahnya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengumumkan kematian Encik Sinwar pada Mei.
Brig-Jen Defrin berkata DNA yang diperoleh mengesahkan mayat berkenaan adalah pemimpin Hamas itu. Hamas tidak mengulas laporan mengenai kematian sama ada Encik Sinwar atau Encik Shabana.
Encik Mohammed Sinwar ialah adik kepada Encik Yahya Sinwar, ketua kumpulan Palestin yang terbunuh dan dalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang membunuh telah 1,200 orang dan sekali gus mencetuskan perang.
Encik Shabana salah seorang komander Hamas paling kanan dan tegar dalam pertempuran di selatan Gaza. Beliau memainkan peranan penting dalam membina rangkaian terowong di bawah bandar Rafah, yang digunakan untuk serangan hendap dan serbuan rentas sempadan.
Tentera Israel telah mengebom banyak hospital semasa perang, dengan mendakwa Hamas menggunakannya untuk menyembunyikan pejuang dan mengatur operasi – tuduhan yang telah Hamas berulang kali nafikan.
Meskipun Israel telah mengemukakan bukti dalam kes-kes tertentu, beberapa dakwaannya masih tidak dapat disahkan.
Brig-Jen Defrin berkata tentera telah merancang dengan teliti serangan di sekitar Hospital Eropah agar tidak merosakkannya.
“Kami akan terus membongkar Hamas kerana kami tidak boleh tinggal bersama kumpulan ini di halaman belakang kami,” kata Brig-Jen Defrin.
Lebih 54,000 rakyat Gaza telah terkorban akibat serangan berterusan Israel yang turut memusnahkan sebahagian besar wilayah itu dan menyebabkan 2.3 juta penduduknya menghadapi risiko kebuluran. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg