TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, buat kali pertama mengakui secara terbuka pembabitannya dalam pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Iran pada Julai 2024.
Kenyataan beliau dalam acara di kementerian pertahanan itu menandakan pengakuan awam pertama mengenai peranan Israel dalam kes pembunuhan Encik Haniyeh.
Encik Katz turut menambah bahawa Israel akan merosakkan prasarana strategik musuh mereka.
“Kami akan memenggal kepala pemimpin mereka – seperti yang telah kami lakukan terhadap Haniyeh, Sinwar dan Nasrallah di Teheran, Gaza dan Lebanon – perkara yang sama akan kami lakukan di Hodeidah dan Sana’a.
“Dalam keadaan sekarang, ketika organisasi pengganas Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah Israel, saya ingin menyampaikan mesej yang jelas: Kami telah mengalahkan Hamas, Hezbollah, mematahkan sistem pertahanan Iran, merosakkan sistem produksi mereka, menumbangkan rejim Assad di Syria dan menghancurkan paksi kejahatan.
“Kami juga akan memberikan tamparan hebat kepada organisasi Houthi di Yaman,” kata Encik Katz dalam satu majlis penghargaan kepada kakitangan kementerian pertahanan.
Encik Katz dalam kenyataan, turut memberi amaran akan memotong tangan pihak yang menentang Israel serta tenteranya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Kumpulan Houthi, yang disokong Iran, telah menyerang kapal komersial di Laut Merah selama lebih setahun sebagai usaha melaksanakan sekatan laut terhadap Israel.
Mereka mendakwa tindakan itu adalah satu bentuk perpaduan dengan rakyat Palestin dalam konflik yang berterusan lebih setahun di Gaza.
Sebelum ini, Iran telah menyalahkan Israel dalam pembunuhan Encik Haniyeh.
Namun, ketika itu, Israel tidak membuat sebarang pengakuan rasmi mengenai pembunuhan tersebut.
Encik Haniyeh dibunuh di rumah tamu dekat Teheran pada 31 Julai 2024, dikatakan dengan menggunakan alat peledak yang diletakkan ejen Israel, beberapa minggu sebelum kejadian.
Sehari sebelum itu, Encik Haniyeh menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian.
Pada 27 September, Israel membunuh Encik Hassan Nasrallah dalam serangan bom di Beirut, Lebanon, diikuti pembunuhan pengganti Encik Haniyeh, Encik Yahya Sinwar, di Gaza, pada 16 Oktober.
Pegawai Israel berkata Encik Sinwar adalah dalang serangan Hamas ke atas Israel, pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang di Gaza. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg