Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa lumpuhkan pentadbiran Hamas di utara Gaza

Jan 8, 2024 | 1:45 PM
SEMAKIN MUSNAH: Seorang lelaki Palestin mengayuh basikal sambil melihat kereta-kereta dan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di bandar Al-Balah, selatan Gaza, pada 7 Januari.
SEMAKIN MUSNAH: Seorang lelaki Palestin mengayuh basikal sambil melihat kereta-kereta dan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di bandar Al-Balah, selatan Gaza, pada 7 Januari. - Foto EPA-EFE

GAZA: Sedang diplomat terkemuka melawat Jaluran Gaza untuk cuba menghentikan konflik daripada merebak, Israel berkata ia telah melumpuhkan struktur pemerintahan Hamas di utara Gaza dan memberi isyarat bahawa ia tetap bertekad memusnahkan kumpulan itu.

“Perang yang masuk bulan ketiga ini tidak boleh dihentikan sehingga kita mencapai semua matlamatnya – menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan dan memastikan Gaza tidak akan menjadi ancaman kepada Israel lagi,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam mesyuarat Kabinet mingguannya.

Kebimbangan terhadap perang yang lebih meluas telah menyemarakkan keperluan untuk lawatan ke rantau itu oleh setiausaha negara Amerika, Encik Antony J. Blinken, dan diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Encik Josep Borrell Fontelles.

Meskipun mereka berusaha untuk menghentikan pertempuran daripada meluas, lonjakan keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel menyebabkan kira-kira sedozen orang terkorban, antaranya sembilan rakyat Palestin, kata para pegawai.

Pertempuran rentas sempadan antara Israel dengan Hezbollah yang disokong Iran di Lebanon, juga telah menjadi titik kebimbangan yang semakin meningkat.

“Ini adalah detik ketegangan yang mendalam di rantau ini,” kata Encik Blinken dalam sidang akhbar pada 7 Januari di Doha, Qatar, yang berada di negara itu selepas melawat Jordan.

“Ini adalah konflik yang boleh merebak dengan mudah, menyebabkan lebih banyak rasa tidak selamat dan lebih banyak penderitaan.

“Kami memberi tumpuan sepenuhnya untuk mencegah konflik ini daripada merebak,” kata Encik Blinken kepada pemberita pada 6 Januari, sehari sebelum bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah II.

Raja Abdullah berkata beliau telah memberi amaran kepada setiausaha negara Amerika itu tentang “berlakunya malapetaka” jika perang berterusan.

Kebimbangan yang semakin meningkat melibatkan pertempuran dengan Hezbollah di sepanjang sempadan utara dengan Lebanon dan serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke atas kapal-kapal Israel oleh kumpulan Houthi di Laut Merah.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Amerika telah melakukan serangan ke atas militan di Iraq dan Israel yang dianggap telah melakukan pembunuhan yang disasarkan di Syria dan Lebanon.

Israel berada di bawah tekanan hebat daripada sekutunya, jiran dan pemimpin dunia lain untuk menghentikan pertempuran di Gaza yang telah mengorbankan lebih 22,000 rakyat Palestin sejak 7 Oktober, apabila Hamas menyerang selatan Israel dan membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahas 240 tebusan.

Dalam tiga bulan sejak “serangan 7 Oktober yang mengerikan, Gaza telah menjadi tempat kematian dan putus harapan,” kata Encik Blinken.

Pentadbiran Presiden Joe Biden telah mendesak Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza untuk mengatasi krisis kemanusiaan khususnya kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Untuk mengukuhkan mesejnya itu, beliau telah melawat sebuah gudang yang menyimpan bekalan makanan dalam tin untuk penduduk Gaza pada 7 Januari.

Peruntukan makanan itu sedang dibawa masuk ke kawasan Palestin dengan trak di bawah Program Makanan Dunia PBB.

Cik Sheri Ritsema-Anderson, penyelaras PBB, berkata sejak 15 tahun bekerja di Timur Tengah, beliau tidak pernah melihat krisis kemanusiaan yang begitu buruk di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg