BAITULMAKDIS: Israel sudah menyediakan rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin keluar dari Jaluran Gaza dan hanya menunggu Amerika Syarikat menentukan negara yang bersedia menerima mereka, kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz.

Encik Katz berkata rancangan itu membolehkan penduduk Gaza dibawa keluar melalui laut, udara atau kaedah lain, sambil mendakwa penghijrahan penduduk merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang bagi wilayah Palestin itu.

“Pada akhirnya, tiada penyelesaian sebenar bagi Gaza tanpa penghijrahan ini,” katanya pada satu persidangan anjuran laman berita Israel, Ynet, dan akhbar Yedioth Ahronoth pada 2 September.

Menurutnya, pemerintahan Israel “sudah tersusun dan bersedia untuk membawa mereka keluar – melalui laut, udara dan dengan apa juga cara yang boleh”.

Pemindahan secara paksa orang awam dari wilayah yang diduduki dilarang di bawah Konvensyen Geneva dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Kenyataan Encik Katz menghidupkan semula kontroversi mengenai masa depan lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza, yang sebahagian besarnya sudah beberapa kali kehilangan tempat tinggal sejak perang meletus pada Oktober 2023.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini mencetuskan kecaman antarabangsa apabila mencadangkan supaya penduduk Palestin meninggalkan Gaza dan wilayah di pesisir Mediterranean itu dibangunkan semula.

Beliau ketika itu membayangkan Gaza yang musnah akibat perang boleh dibangunkan sebagai destinasi peranginan mewah.

Cadangan itu bagaimanapun menerima tentangan kuat, termasuk daripada Mesir, yang berkongsi sempadan dengan Gaza selain Israel.

Penduduk Palestin turut menolak sebarang rancangan yang boleh menyebabkan mereka meninggalkan tanah air secara kekal.

Bagi rakyat Palestin, isu itu amat sensitif kerana dikaitkan dengan “Nakba”, atau malapetaka, apabila ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal ketika penubuhan Israel pada 1948.

Apabila mengumumkan rancangan gencatan senjata bagi Gaza pada Oktober lalu, Encik Trump mengemukakan pelan 20 perkara yang antara lain menetapkan bahawa tiada penduduk Gaza akan dipaksa meninggalkan wilayah itu.

Namun, Encik Katz mendakwa idea untuk memindahkan penduduk Gaza sebenarnya tidak dibatalkan.

Menurutnya, Encik Trump hanya “membekukan” rancangan tersebut sementara Amerika mencari negara yang sanggup menerima penduduk Palestin kerana Mesir tidak dianggap sebagai pilihan.

“Rancangan itu tidak dibatalkan. Ia dibincangkan sepanjang masa, termasuk sekarang, dan saya fikir tiada penyelesaian lain yang lebih baik untuk semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, Encik Katz mengakui Israel memerlukan sokongan Washington sebelum rancangan itu boleh dilaksanakan.

“Untuk ia berlaku, kita memerlukan Amerika Syarikat. Bilakah kita akan mendapat persetujuan mereka? Apabila jelas bahawa Hamas tidak memenuhi kewajipannya” di bawah perjanjian gencatan senjata, katanya.

Encik Katz turut mendakwa kira-kira 80 peratus penduduk Gaza mahu meninggalkan wilayah itu tetapi dihalang Hamas.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sumber bagi angka tersebut.

Kedutaan Amerika yang diminta mengulas kenyataan itu merujuk pertanyaan tersebut kepada Jabatan Negara di Washington.

Sebahagian besar penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran dan serangan Israel sejak Oktober 2023, dengan banyak kawasan kediaman serta prasarana awam mengalami kemusnahan besar.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan konflik Gaza.

Israel menolak tuduhan terhadap pemimpinnya.

Kenyataan Encik Katz muncul ketika Encik Trump sekali lagi menegaskan komitmen Amerika terhadap keselamatan Israel, kali ini di tengah-tengah ketegangan baharu dengan Iran.

Encik Trump berkata Washington berdepan Iran bukan sahaja untuk melindungi Israel, malah bagi mempertahankan kepentingan Amerika, Timur Tengah dan negara Barat.

“Kami melakukannya untuk membantu Timur Tengah. Kami melakukannya untuk membantu Israel. Kami melakukannya untuk membantu diri kami sendiri,” katanya pada 2 September.

Beliau turut memberi jaminan secara langsung kepada rakyat Israel bahawa Washington akan terus melindungi negara itu.

“Israel tidak perlu bimbang. Anda tahu kenapa? Kerana saya Presiden dan saya akan menjaga Israel,” katanya kepada penyiar Israel, KAN.

Kenyataan itu dibuat selepas ketegangan Amerika-Iran kembali meningkat menyusuli tempoh kira-kira sebulan tanpa pertempuran besar.

Amerika melancarkan serangan ke atas pelancar roket di Pulau Larak, Iran, pada hujung minggu lalu, sebelum Tehran membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Jordan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Encik Trump sejak beberapa bulan lalu berulang kali menggambarkan sokongan Washington terhadap Israel sebagai jaminan peribadinya, malah pernah mendakwa bahawa “tanpa saya, Israel tidak akan wujud”.