Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa telah musnahkan separuh senjata Hezbollah

Oct 2, 2024 | 1:41 PM
Asap berkepul-kepul dapat dilihat dari daerah Sin El Fil, di Lebanon ekoran serangan udara Israel di Beirut pada 2 Oktober.
Asap berkepul-kepul dapat dilihat dari daerah Sin El Fil, di Lebanon ekoran serangan udara Israel di Beirut pada 2 Oktober. - Foto REUTERS

WASHINGTON/BAITULMAKDIS: Serangan udara Israel baru-baru ini di Lebanon telah berhasil memusnahkan sekitar separuh daripada peluru berpandu dan roket yang dikumpulkan Hezbollah sejak lebih tiga dekad.

ia sekali gus memberi tamparan kepada keupayaan kumpulan itu, ujar pegawai kanan Israel dan Amerika Syarikat.

Tetapi, senjata yang dimiliki kumpulan itu kekal menggerunkan, dengan puluhan ribu peluru berpandu di seluruh negara dan serangan besar boleh mengatasi sistem pertahanan antiprojektil ‘Kubah Besi’ (Iron Dome) Israel, kata para pegawai.

Hezbollah menempatkan senjatanya di seluruh Lebanon dan telah menggunakannya sejak Oktober lalu untuk membedil utara Israel, kata seorang pegawai Israel.

Israel telah melancarkan serangan di selatan Lebanon, memaksa puluhan ribu rakyat negara itu melarikan diri.

Bahkan, pemimpin Israel telah memutuskan pada 17 September untuk memusnahkan sebanyak mungkin senjata Hezbollah, supaya lebih 60,000 warga Israel yang telah melarikan diri dari utara Israel boleh kembali ke rumah mereka, kata dua pegawai Israel.

Sejak pembunuhan pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, pada 27 September, pegawai Lebanon telah mengikut tuntutan Israel supaya tidak membenarkan pesawat Iran yang cuba terbang ke Beirut.

Ia sekali gus merumitkan usaha Hezbollah mendapatkan senjata tambahan dengan cepat, kata pegawai Amerika.

Pada 1 Oktober, tentera Israel berkata ia telah membunuh komander Hezbollah, Encik Muhammad Jaafar Qasir, yang bertanggungjawab bagi pemindahan senjata dari Iran ke Lebanon, dalam serangan udara di Beirut.

Pegawai Amerika berkata serangan Hezbollah ke atas utara Israel, yang bermula sehari selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, adalah sebagai tindak balas terhadap perang Israel di Gaza.

Mereka berkata Hezbollah mungkin akan berhenti berperang jika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, bersetuju mencapai gencatan senjata.

Tetapi, Amerika, Qatar dan Mesir gagal mencapai perjanjian gencatan senjata Gaza selepas beberapa pusingan diplomasi pada 2024.

Pada 30 September, Israel memulakan operasi darat di Lebanon dengan tujuan memusnahkan kemudahan dan kenderaan peluncur peluru berpandu Hezbollah.

Kedua-dua pegawai Israel berkata mereka berhasrat untuk terus menyasarkan senjata Hezbollah dan membunuh komander kumpulan itu sementara rentak masih ada.

Pegawai Rumah Putih berkata mereka berharap pencerobohan darat itu adalah terhad dan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, turut menggesa gencatan senjata segera melibatkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, beratus-ratus orang awam Lebanon telah terbunuh dalam serangan Israel dan sejuta penduduk telah kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg