Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reaksi dunia Arab berbelah bagi terhadap pembunuhan Nasrallah

Sep 30, 2024 | 11:19 AM
Dunia Arab memberi reaksi berbelah bagi terhadap pembunuhan ketua Hezbollah di Lebanon, Sayyed Hassan Nasrallah.
Dunia Arab memberi reaksi berbelah bagi terhadap pembunuhan ketua Hezbollah di Lebanon, Sayyed Hassan Nasrallah. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Pembunuhan Israel terhadap ketua Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah, disambut sepi oleh banyak negara pimpinan pihak Sunni di seluruh rantau itu.

Ia satu petanda wujudnya perpecahan antara penduduk yang marah terhadap Israel dengan pihak berkuasa yang menormalkan hubungan dengan Israel atau menentang Hezbollah.

Encik Nasrallah, yang mengetuai kumpulan bersenjata Syiah yang kuat selama 32 tahun, menjadi musuh serantau di luar Israel dan Barat.

Malah, negara Teluk dan Liga Arab yang lebih luas menggelar kumpulan itu sebagai ‘organisasi pengganas’ pada 2016, walaupun liga itu menarik balik gelaran tersebut pada awal 2024.

Arab Saudi yang diperintah Sunni berkata dalam satu kenyataan lewat 29 September bahawa ia mengikuti perkembangan di Lebanon dengan “penuh kebimbangan”, dan menggesa pemeliharaan kedaulatan dan keselamatan serantau Lebanon.

Namun ia tidak menyebut tentang Encik Nasrallah.

Negara yang dikuasai pihak Sunni seperti Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain telah berdiam diri mengenai pembunuhan Encik Nasrallah.

UAE dan Bahrain memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020, dan Bahrain membatalkan pemberontakan prodemokrasi yang besar oleh komuniti Syiah di negara itu pada 2011.

Bagaimanapun, stesen televisyen pro-Iran Bahrain, LuaLua, menyiarkan video mengenai perarakan berskala sederhana yang dikatakan sebagai berkabung untuk Encik Nasrallah.

Menurut stesen itu, kerajaan Bahrain “menyerang” penunjuk perasaan dan menahan sebahagian daripada mereka.

Laman web pembangkang Bahrain, Bahrain Mirror, melaporkan pemerintah negara itu telah menahan seorang ulama Syiah kerana mengucapkan takziah kepada Encik Nasrallah.

Agensi berita Reuters tidak dapat mengesahkan laporan media Bahrain.

Menurut kenyataan pejabat presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, telah bercakap dengan Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, melalui telefon dan berkata Kahirah menolak sebarang pencabulan kedaulatan Lebanon, tanpa menyebut Encik Nasrallah.

Mesir telah mengkritik Iran dan proksinya pada masa lalu, walaupun ia telah mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Iran dan menteri luar Mesir telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pegawai Iran sepanjang 2023.

Negara lain seperti Syria dan Iraq telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg