Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel dakwa temui terowong Hamas di Hospital Al-Shifa

Nov 17, 2023 | 03:40 PM



GAZA: Tentera Israel mendakwa telah menemui terowong yang digunakan oleh kumpulan Hamas di Hospital Al-Shifa di Gaza, katanya sambil menunjukkan video sebagai bukti.


Video yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan lubang di dalam tanah yang kelihatan dikelilingi oleh runtuhan konkrit dan kayu serta pasir.

Tentera Israel turut mendakwa pihaknya turut menemui sebuah kenderaan di hospital yang mengandungi sejumlah besar senjata.

Sedang tentera Israel meneruskan usaha menjejaki kumpulan Hamas di kompleks hospital terbesar di Gaza itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan bantuan yang dihantar kepada rakyat Palestin pada Jumaat melalui lintasan Rafah di sempadan dengan Mesir.

Dalam satu kenyataan lewat Khamis, Hamas berkata bahawa dakwaan Pentagon dan Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa kumpulan itu menggunakan Hospital Al-Shifa bagi tujuan ketenteraan “adalah pengulangan naratif yang terang-terangan palsu, memaparkan aksi lemah dan tidak masuk akal oleh tentera Israel”.

Amerika yakin dengan penilaian daripada agensi perisikannya sendiri mengenai kegiatan Hamas di Hospital Al-Shifa dan tidak akan berkongsi atau menghuraikannya, kata jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby, pada Khamis.

Kedua-dua syarikat telekomunikasi di Gaza berkata semua sumber tenaga yang membekalkan rangkaian itu telah kehabisan dan oleh itu semua perkhidmatan di wilayah tersebut terputus.

Israel menolak import bahan api ke Gaza dengan alasan Hamas boleh menggunakannya untuk tujuan ketenteraan.

Dengan komunikasi terputus dan ketiadaan bahan api,  Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi pelarian Palestin, berkata adalah mustahil untuk menyelaraskan konvoi trak bantuan kemanusiaan.

“Jika bahan api tidak masuk, orang akan mula mati kerana kekurangan bahan itu. Saya tidak tahu bila akan berlaku. Tetapi ia akan menjadi lebih awal daripada yang dijangkakan,” kata Pesuruhjaya Agung UNRWA, Encik Philippe Lazzarini.

Sehingga lewat malam Khamis, tiada maklumat lanjut daripada syarikat telekomunikasi – Paltel dan Jawwal – bila rangkaian Internet dan telefon bimbit akan kembali pulih.

Penduduk Palestin di Gaza telah menanggung beban kempen ketenteraan Israel sejak ia menyerang balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel yang membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam.

Sejak itu, Israel melancarkan serangan berterusan – udara dan darat – dengan tujuan memusnahkan kumpulan Hamas yang menguasai Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 11,500 orang telah disahkan terbunuh dalam pengeboman dan pencerobohan darat Israel – lebih 4,700 daripadanya kanak-kanak.

Ketua kakitangan tentera Israel berkata Israel hampir memusnahkan sistem ketenteraan Hamas di utara Jaluran Gaza.

Terdapat juga tanda-tanda tentera sedang bergerak ke bahagian lain di wilayah dengan 2.3 juta penduduk itu.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) berkata hospital mempunyai perlindungan khas di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Encik Josep Borrell, dalam lawatan ke Israel, menyeru Israel supaya meningkatkan usaha dengan melindungi orang awam di Gaza. – Agensi berita​.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >