DOHA: Qatar menggesa siasatan antarabangsa terhadap serbuan Israel ke atas kemudahan perubatan di Jaluran Gaza dengan menyifatkan operasi terbaru Israel di dalam pekarangan hospital Al-Shifa yang menyasarkan Hamas sebagai jenayah perang.
Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan menggesa “penyiasatan antarabangsa segera” termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk “meneliti sasaran terhadap hospital oleh tentera Israel”.
Tentera Israel menyerbu Hospital Al-Shifa, sebelum berundur dan berkumpul semula di sekitar kawasan pinggirannya, kata seorang wartawan yang terperangkap di dalam kemudahan itu memberitahu AFP.
Israel menuduh Hamas menggunakan kompleks hospital itu bagi tujuan ketenteraan. Hamas pula menafikan dakwaan Israel itu.
Doha menganggap serbuan Israel itu “satu jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan”.
Negara Teluk itu, yang mengetuai usaha pengantaraan ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan, menyeru “masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah pantas dan tegas untuk meletakkan Israel bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukannya, bertindak sebagai penghalang terhadap jenayah selanjutnya yang menyasarkan orang awam”.
Al-Shifa ialah hospital terbesar di Gaza dengan lebih 500 katil, unit rawatan rapi dan perkhidmatan rawatan lain seperti dialisis.
Sejak perang meletus antara Israel dengan Hamas beberapa minggu lalu, hospital itu telah menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu penduduk yang melarikan diri daripada rumah mereka sedang konflik semakin memuncak.
Banyak rumah dan bangunan di Gaza telah dibom tentera Israel.
Beratus-ratus orang – termasuk pekerja perubatan, bayi pramatang dan pesakit lain – terperangkap di dalam hospital tersebut dengan bekalan semakin berkurangan, selain tiada bekalan elektrik serta laluan keluar yang tidak pasti.
Usaha pengantaraan Qatar setakat ini membawa kepada pembebasan empat daripada kira-kira 240 tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan mereka di selatan Israel pada 7 Oktober.
Kira-kira 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam serangan Hamas itu, kata pegawai Israel.
Sebagai tindak balas Israel melancarkan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Gaza, membunuh 11,500 orang, juga kebanyakannya orang awam, menurut pihak berkuasa Hamas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg