Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dan Syria setuju gencatan senjata, akses tentera Syria ke Sweida dihad

Jul 19, 2025 | 5:50 PM
sweida, syria, badwi
Wilayah Sweida di Syria telah dilanda keganasan hampir seminggu, dicetuskan oleh pertempuran antara anggota bersenjata Badwi dengan kaum minoriti Druze. - Foto REUTERS

BEIRUT/BAITULMAKDIS: Israel dan Syria telah bersetuju mencapai gencatan senjata, kata duta Amerika Syarikat ke Turkey pada 18 Julai, selepas beberapa hari pertumpahan darah di kawasan majoriti Druze yang telah mengorbankan lebih 300 orang.

Pada 16 Julai, Israel melancarkan serangan udara di Damsyik dan menyerang tentera pemerintah di selatan, menuntut mereka berundur dan menegaskan tindakannya itu bertujuan melindungi masyarakat Druze di Syria.

“Kami menyeru masyarakat Druze, Badwi dan Sunni agar meletakkan senjata dan bersama-sama masyarakat minoriti lain membina identiti Syria yang baru dan bersatu,” kata duta Amerika ke Turkey, Encik Tom Barrack, dalam kenyataannya di laman media sosial X.

Menurutnya, Israel dan Syria bersetuju dengan gencatan senjata yang disokong oleh Turkey, Jordan dan negara-negara jirannya.

Wilayah Sweida di Syria telah dilanda keganasan hampir seminggu, dicetuskan oleh pertempuran antara anggota bersenjata Badwi dengan etnik Druze.

Terdahulu pada 18 Julai, seorang pegawai pemerintah Israel berkata pihaknya bersetuju membenarkan tentera Syria memasuki kawasan Sweida di selatan Syria bagi dua hari akan datang, dengan akses yang terhad.

Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, berkata pada 18 Julai bahawa pihak berkuasa akan mengerahkan pasukan tentera di bahagian selatan untuk menamatkan pertempuran serta sekali gus memulihkan kestabilan dan mencegah kembalinya keganasan.

Damsyik awal minggu ini menghantar tentera untuk menamatkan pertempuran, tetapi mereka dituduh melakukan pencabulan yang meluas terhadap etnik Druze.

Tetapi mereka berundur di bawah perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada 16 Julai.

Israel telah berulang kali berkata ia tidak akan membenarkan tentera Syria ditempatkan di selatan negara itu, tetapi pada 18 Julai mereka berkata bahawa mereka akan memberi tentera Syria tempoh singkat untuk menamatkan pertempuran di sana.

Amerika mengambil langkah campur tangan di Syria untuk membantu menjamin gencatan senjata awal antara tentera pemerintah dengan anggota Druze, dan Rumah Putih berkata pada 17 Julai bahawa ia nampaknya akan bertahan.

Encik Sharaa, yang telah berusaha menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan Amerika, menuduh Israel cuba memecahbelahkan Syria dan berjanji melindungi minoriti Druze di negaranya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg