Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel lancar serangan besar-besaran ke atas Damsyik

Syria umum tarik balik pasukan tentera di Sweida
Jul 17, 2025 | 1:16 PM
Bangunan Kementerian Pertahanan Syria yang rosak, yang menempatkan Ibu Pejabat Staf Am Tentera, selepas serangan udara oleh Israel di Damsyik, Syria, pada 16 Julai 2025. Pasukan Pertahanan Israel mengesahkan serangan ke atas bangunan tersebut pada tarikh yang sama susulan penempatan tentera Syria di wilayah majoriti Druze, Suweida, selepas pertempuran antara pejuang Druze dan suku Badwi mengakibatkan kematian puluhan orang. Menteri Pertahanan Syria telah mengumumkan gencatan senjata pada 15 Julai di bandar As Suweida, yang dimasuki tentera Syria pada pagi hari yang sama, namun kawasan tersebut masih menyaksikan pertempuran ganas antara pasukan kerajaan dan militan Druze.
Bangunan Kementerian Pertahanan Syria yang rosak, yang menempatkan Ibu Pejabat Staf Am Tentera, selepas serangan udara oleh Israel di Damsyik, Syria, pada 16 Julai 2025. Pasukan Pertahanan Israel mengesahkan serangan ke atas bangunan tersebut pada tarikh yang sama susulan penempatan tentera Syria di wilayah majoriti Druze, Suweida, selepas pertempuran antara pejuang Druze dan suku Badwi mengakibatkan kematian puluhan orang. Menteri Pertahanan Syria telah mengumumkan gencatan senjata pada 15 Julai di bandar As Suweida, yang dimasuki tentera Syria pada pagi hari yang sama, namun kawasan tersebut masih menyaksikan pertempuran ganas antara pasukan kerajaan dan militan Druze. - Foto EPA

DAMSYIK: Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu negara Syria, Damsyik, pada 16 Julai, menyasarkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan dan kawasan berhampiran Istana Presiden.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan pasukan pemerintah Syria ke atas komuniti Druze di selatan negara itu.

Serangan tersebut menandakan peningkatan serius oleh Israel terhadap pentadbiran sementara Presiden Ahmed al-Sharaa, yang diketuai oleh kelompok Islamis.

Ini berlaku meskipun hubungan antara pentadbiran Sharaa dan Amerika Syarikat dilihat semakin membaik, termasuk komunikasi keselamatan yang semakin terbuka antara Syria dan Israel.

“Kami tidak akan membenarkan selatan Syria menjadi kubu pengganas,” tegas Ketua Turus Tentera Israel, Jeneral Eyal Zamir, sambil menyatakan bahawa pasukan Syria bukan sahaja gagal melindungi komuniti Druze, malah menjadi sebahagian daripada ancaman.

Menurut sumber tentera Israel, pintu masuk ibu pejabat tentera di Damsyik telah menjadi sasaran utama, begitu juga dengan sasaran ketenteraan berhampiran Istana Presiden.

Wartawan Reuters melaporkan bunyi letupan kuat dan asap tebal menjulang dari kawasan serangan. Sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan musnah dan runtuhan berselerak di tanah.

Kementerian Kesihatan Syria memaklumkan bahawa lima anggota keselamatan terbunuh dalam serangan tersebut, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera. Di wilayah Sweida, serangan tambahan Israel telah meragut nyawa tiga pegawai kanan tentera Syria dan mencederakan orang awam.

Presiden Ahmed al-Sharaa, dalam kenyataan televisyen pertamanya selepas serangan, berkata: “Melindungi warga Druze dan hak mereka adalah keutamaan kami. Kami menolak sebarang cubaan untuk menyeret komuniti ini ke tangan kuasa luar.”

Beliau menegaskan bahawa Syria bersedia berdepan cabaran, namun akan mengutamakan kestabilan rakyat berbanding kehancuran.

Pada hari yang sama, tentera Syria mula berundur dari Sweida berikutan gesaan daripada Amerika Syarikat dan gelombang serangan Israel.

Kementerian Pertahanan Syria menyatakan bahawa pengunduran dilakukan “selaras dengan perjanjian yang telah dipersetujui.”

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, pada 16 Julai berkata di media sosial: “Kami telah berunding dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik di Syria. Kami telah bersetuju dengan langkah-langkah khusus untuk menamatkan situasi yang membimbangkan dan mengerikan ini malam ini.”

Sebelum ini, Syria mengumumkan gencatan senjata di Sweida selepas pertempuran selama empat hari yang menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) telah meragut lebih 350 nyawa, termasuk tentera pemerintah, pejuang tempatan, dan 27 orang awam Druze yang dibunuh secara “hukuman mati tanpa perbicaraan”.

Namun, saksi mendakwa bahawa gencatan senjata tersebut gagal dipatuhi. Beberapa penduduk Sweida melaporkan bahawa pasukan pemerintah bekerjasama dengan puak Badwi menyerang pejuang dan orang awam Druze.

“Kami dikepung, dan bunyi tembakan kedengaran di luar. Kami cuba menenangkan anak-anak agar tidak didengari,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.

Rangkaian Syria untuk Hak Asasi Manusia melaporkan bahawa 169 orang terbunuh sejak keganasan tercetus pada 13 Julai, manakala sumber keselamatan menganggarkan angka korban melebihi 300 orang. Reuters tidak dapat mengesahkan angka itu secara bebas.
Serangan Israel turut mengundang kecaman antarabangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan kedaulatan Syria yang mengancam keselamatan serantau. Beliau menyeru Israel agar segera menghentikan semua pelanggaran dan mengelakkan tindakan unilateral yang boleh memburukkan lagi konflik.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai oleh Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman, turut mengecam serangan Israel dalam kenyataan bersama.

“Serangan ini merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Syria, pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan satu ancaman serius terhadap kestabilan rantau,” kata Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi.

Di Israel, ketegangan meningkat apabila sekumpulan Druze Israel merempuh pagar sempadan untuk menyertai saudara mereka di Syria.

Tentera Israel kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang “menghalang penyusupan dari wilayah Syria dan memastikan keselamatan orang awam yang telah menyeberang.”

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut memberi amaran kepada komuniti Druze agar tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut dan menyifatkan keadaan di Sweida sebagai “amat serius”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg