BAITULMAKDIS: Tindakan Israel meluluskan pelan pembinaan lebih 3,000 unit petempatan haram di Tebing Barat yang diduduki mencetuskan kecaman hebat masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turkey, Sepanyol, Jordan, Qatar, Britain dan Kesatuan Eropah (EU).
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, pada 14 Ogos menegaskan bantahan keras terhadap rancangan itu yang disifatkan bakal memecah Tebing Barat kepada dua bahagian terpisah, sekali gus mengancam kesinambungan wilayah Palestin.
“Pendudukan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur, serta rejim yang berkaitan dengannya telah diwujudkan dan dikekalkan secara bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan pejabat jurucakapnya.
Kenyataan itu turut memberi amaran bahawa langkah sedemikian akan “mengukuhkan lagi pendudukan, mencetuskan ketegangan dan secara sistematik melemahkan kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara”.
Media Israel melaporkan, Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, telah meluluskan pembinaan 3,401 unit di Ma’ale Adumim, timur Baitulmakdis, serta 3,515 lagi di kawasan sekitar.
Encik Smotrich secara terbuka mengakui rancangan ini bertujuan menghalang penubuhan negara Palestin.
Ketua Dasar Luar EU, Cik Kaja Kallas, menggesa Israel menghentikan segera pembinaan petempatan tersebut.
“Keputusan ini melanggar undang-undang antarabangsa dan jika dilaksanakan, akan memutuskan kesinambungan geografi antara Baitulmakdis Timur yang diduduki dan Tebing Barat,” katanya.
Beliau menambah, tindakan unilateral yang digabungkan dengan keganasan pendatang haram dan operasi ketenteraan hanya meningkatkan ketegangan serta melemahkan peluang keamanan.
EU, katanya, sedang mempertimbangkan langkah untuk melindungi kelangsungan penyelesaian dua negara.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, dalam satu kenyataan di platform X berkata, “Situasi di Gaza amat membimbangkan dan tindakan pemerintah Israel ini semakin menjejas penyelesaian dua negara.”
Beliau turut memaklumkan telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Canada dan Perancis mengenai keperluan gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan, penghantaran bantuan berskala besar dan pelan damai berkekalan.
Menteri Luar Sepanyol, Encik Jose Manuel Albares, turut mengecam langkah itu sebagai “pelanggaran baru terhadap undang-undang antarabangsa” yang menjejas satu-satunya laluan ke arah perdamaian.
“Kami mengutuk peluasan petempatan dan keganasan pendatang,” tegasnya.
Kementerian Luar Turkey menyifatkan keputusan Israel itu sebagai tindakan yang mengabaikan undang-undang antarabangsa serta ketetapan PBB, selain menjejaskan integriti wilayah Palestin.
Ankara sekali lagi menegaskan sokongannya terhadap penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.
Kementerian Luar Jordan pula mengutuk “dengan sekeras-kerasnya” rancangan peluasan petempatan dan kenyataan Encik Smotrich yang disifatkan sebagai “ekstremis dan bersifat perkauman”.
Ia menegaskan langkah itu adalah serangan terhadap hak mutlak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka dan berdaulat mengikut sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmakdis sebagai ibu negara.
Qatar melalui kenyataan Kementerian Luar negerinya turut menggesa masyarakat antarabangsa memaksa Israel menghentikan rancangan tersebut.
Kementerian Luar Palestin mengecam pelan itu sebagai sebahagian daripada visi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mewujudkan “Israel Raya” yang bertujuan mengukuhkan pendudukan dan menamatkan kebolehlaksanaan negara Palestin.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin, Encik Rawhi Fattouh, berkata kepada agensi berita rasmi Wafa bahawa rancangan itu adalah sebahagian daripada “dasar pengambilalihan wilayah berperingkat” Israel.
Organisasi Israel, Peace Now, yang memantau peluasan petempatan, mendedahkan bahawa sebuah jawatankuasa kecil perancang telah menolak semua bantahan terhadap cadangan ini pada mesyuarat awal bulan Ogos ini, dengan perbicaraan kelulusan akhir dijadualkan minggu depan dalam tempoh yang disifatkan “luar biasa pantas”.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan pendapat penasihat bahawa pendudukan Israel adalah menyalahi undang-undang dan menyeru pemindahan semua petempatan di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg