Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Israel lulus pelan penempatan di Tebing Barat, dipercayai gagalkan negara Palestin

Aug 14, 2025 | 5:22 PM
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich (depan paling kiri) berinteraksi dengan seorang lelaki pada hari sidang akhbar mengenai peluasan penempatan bagi projek E1 yang lama dibekukan, yang akan memisahkan Baitulmakdis Timur daripada Tebing Barat yang diduduki, berhampiran penempatan haram Israel Maale Adumim di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 14 Ogos 2025.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich (depan paling kiri) berinteraksi dengan seorang lelaki pada hari sidang akhbar mengenai peluasan penempatan bagi projek E1 yang lama dibekukan, yang akan memisahkan Baitulmakdis Timur daripada Tebing Barat yang diduduki, berhampiran penempatan haram Israel Maale Adumim di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 14 Ogos 2025. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, meluluskan pelan pembinaan penempatan baru di kawasan strategik E1 yang menghubungkan Baitulmakdis Timur dengan penempatan haram Maale Adumim di Tebing Barat, langkah yang dikatakan pejabatnya akan “menguburkan idea pembentukan negara Palestin.”

Tidak jelas sama ada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyokong pelan ini, yang telah dibekukan sejak 2012 akibat bantahan Amerika Syarikat, sekutu Eropah, dan kuasa dunia lain yang melihat projek tersebut sebagai ancaman besar kepada sebarang perjanjian damai masa depan.

Dalam kenyataan bertajuk “Menguburkan idea negara Palestin”, Encik Smotrich mengumumkan kelulusan tender bagi membina 3,401 unit rumah untuk penduduk Israel di kawasan E1.

“Kelulusan pelan pembinaan di E1 mematikan idea negara Palestin dan meneruskan langkah-langkah yang kami ambil di lapangan sebagai sebahagian daripada pelan kedaulatan de facto yang dimulakan dengan pembentukan pemerintah ini,” katanya.

Kumpulan keamanan Peace Now sebelum ini menyifatkan projek E1 sebagai “tamparan maut” kepada penyelesaian dua negara kerana ia akan membelah Tebing Barat kepada dua bahagian, menghalang kesinambungan wilayah Palestin yang menghubungkan Ramallah, Baitulmakdis Timur dan Baitulaham.

Encik Smotrich, yang turut memegang jawatan di Kementerian Pertahanan dengan kuasa luas meluluskan penempatan di Tebing Barat, memuji projek itu sebagai “Zionisme pada tahap terbaik.”

“Selepas berdekad-dekad tekanan antarabangsa dan pembekuan pembinaan, kami memecahkan kebuntuan ini dan menghubungkan Maale Adumim ke Baitulmakdis,” katanya.

Encik Yisrael Gantz, pengerusi Majlis Serantau Binyamin dan Ketua Majlis Yesha - badan induk penempatan haram di Tebing Barat menyifatkan pelan itu sebagai “pencapaian bersejarah untuk pergerakan penempatan.”

Datuk Bandar Maale Adumim, Encik Guy Yifrach, berkata penempatan baru ini akan “menghubungkan Maale Adumim ke Baitulmaqkis dan menjadi respons Zionis terhadap usaha Palestin membina secara haram untuk mengepung kawasan ini.”

Penganalisis menjangka lokasi ini akan memisahkan Tebing Barat yang diduduki kepada wilayah utara dan selatan, bertujuan memperluas kawalan Israel di Tebing Barat sekali gus menghalang pembentukan negara Palestin yang berterusan dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.

Projek E1 ditangguhkan pada 2022 susulan tekanan Amerika, namun dalam beberapa bulan kebelakangan ini pemerintahan Netanyahu meluluskan projek pelebaran jalan di kawasan tersebut dan mula mengehadkan akses penduduk Palestin.

Peace Now pada 13 Ogos mendedahkan bahawa sebanyak 4,030 unit rumah baru diluluskan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk 3,300 unit di Maale Adumim - peningkatan sekitar 33 peratus kapasiti perumahan di penempatan itu.

“Kami bimbang perkembangan besar ini menimbulkan persoalan serius tentang keperluan pelan E1,” kata Peace Now.

Encik Smotrich menegaskan projek itu akan diteruskan walaupun belum mendapat kelulusan rasmi kabinet. “Pelan ini menghubungkan Maale Adumim ke Baitulmaqdis dan memutuskan kesinambungan Arab antara Ramallah dan Baitulaham. Ia adalah paku terakhir di keranda idea negara Palestin,” katanya, sambil menambah 3,515 unit rumah lagi akan dibina di kawasan berdekatan Tzippor Midbar.

Langkah ini dilihat sebagai mesej jelas kepada negara-negara yang baru-baru ini mengiktiraf atau menyatakan sokongan kepada negara Palestin. Encik Smotrich sebelum ini pernah meluluskan penempatan baharu sebagai tindak balas terhadap tindakan diplomatik Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Bagi blok nasionalis agama di Israel, terdapat jangkaan bahawa desakan pembentukan negara Palestin akan semakin kuat selepas perang di Gaza berakhir. Sidang media Encik Smotrich yang diadakan di kawasan E1 dilihat sebagai petanda niat sebenar pemerintah sekaligus mengukuhkan agenda berhaluan kanan dalam pemerintahan Encik Netanyahu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg