GAZA: Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk dari Amerika Syarikat, untuk melakukan lebih banyak usaha bagi melindungi orang awam di Gaza.
Ini menyusuli angka kematian yang meningkat dan pertempuran dipergiat antara tentera Israel dengan militan Hamas berhampiran dan di sekitar hospital.
Amerika Syarikat pada Jumaat melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan angka kematian warga Palestin di Gaza.
Para pegawai kesihatan berkata bilangan yang terbunuh dalam pengeboman Israel selama lima minggu telah melebihi 11,000 orang.
Dalam komennya mengenai nasib orang awam yang terperangkap dalam serangan di Gaza, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata kepada pemberita dalam lawatannya ke India: “Terlalu ramai rakyat Palestin yang terbunuh; terlalu ramai yang menderita dalam minggu-minggu kebelakangan ini.”
Encik Blinken mengesahkan sokongan Amerika kepada kempen Israel bagi memastikan Gaza tidak lagi boleh digunakan sebagai “wadah bagi melancarkan pengganasan”.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dalam satu temuramah dengan BBC yang disiarkan lewat pada Jumaat, berkata Israel mesti menghentikan pengeboman Gaza dan membunuh orang awam.
Perancis, katanya, “mengutuk dengan jelas” tindakan “pengganas” pihak Hamas, namun, meskipun ia akur hak Israel untuk melindungi dirinya, “kami menggesa mereka agar hentikan pengeboman ini” di Gaza.
Israel telah menghadapi gesaan yang kian meningkat bagi mengekang tindakan dalam perang itu yang berlangsung selama sebulan.
Sebagai respons, Israel menyatakan bahawa militan Hamas, yang menahan sehingga seramai 240 tebusan daripada pelbagai kewarganegaraan menyusuli serangan pada 7 Oktober, akan mengeksploitasi gencatan senjata untuk berkumpul semula.
Sementara itu, perang terus memuncak pada Jumaat malam dekat hospital yang sesak di Bandar Gaza.
“Israel kini melancarkan perang ke atas hospital-hospital bandar Gaza,” kata Encik Mohammad Abu Selmeyah, Pengarah Hospital Al Shifa.
Beliau berkata bahawa sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sekolah Al-Buraq di bandar Gaza, di mana ramai orang berlindung.
Pegawai Gaza berkata peluru berpandu mengebom kawasan Al Shifa yang menempatkan hospital terbesar pada awal pagi, merosakkan hospital Indonesia dan dilaporkan membakar hospital kanser pediatrik Nasser Rantissi.
Tentera Israel berkata roket tersasar yang dilancarkan militan Palestin di Gaza telah mengena Al Shifa.
Hospital-hospital tersebut, yang sesak dengan penduduk yang berpindah serta pesakit dan kakitangan perubatan, terletak di utara Gaza, di mana Israel berkata militan Hamas berkumpul.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik Eylon Levy, berkata ibu pejabat Hamas berada di besmen hospital, dakwaan yang dinafikan Hamas.
Ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, kumpulan pekerja kesihatan telah dipaksa meninggalkan hopital tersebut dalam usaha mencari perlindungan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg