TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 4 Mei berikrar bertindak balas terhadap Houthi Yaman dan penyokongnya, Iran.
Ini berlaku selepas kumpulan pemberontak itu menyerang lapangan terbang utama Israel, mencederakan enam orang dan menyebabkan penggantungan penerbangan.
Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum tentera Israel mengesahkan kerahan “puluhan ribu” askar simpanan untuk memperluas perang 19 bulan di Gaza menentang Hamas di Palestin.
Tentera Israel mengesahkan serangan itu, yang menyebabkan kawah besar di sekitar Lapangan Terbang Ben Gurion Tel Aviv, dilancarkan dari Yaman dan diteruskan di sebalik “beberapa percubaan untuk memintas peluru berpandu itu”.
Dalam video yang diterbitkan di Telegram, Encik Netanyahu berkata Israel telah “bertindak menentang” pemberontak yang disokong Iran pada masa lalu dan “akan bertindak pada masa hadapan”.
“Ia tidak akan berlaku dalam satu letupan, tetapi akan ada banyak letupan,” tambahnya, tanpa menjelaskan lanjut.
Menerusi wadah X kemudian, Encik Netanyahu berkata Israel juga akan bertindak balas terhadap Iran pada “masa dan tempat yang kami pilih”.
Sebuah video polis menunjukkan pegawai berdiri di pinggir kawah dengan menara kawalan kelihatan di belakang mereka.
Tiada kerosakan dilaporkan berlaku pada prasarana lapangan terbang.
Polis melaporkan “kesan peluru berpandu” di pintu masuk lapangan terbang antarabangsa utama Israel.
Seorang jurugambar agensi berita, AFP berkata, peluru berpandu itu melanda berhampiran tempat letak kereta Terminal 3, yang terbesar di lapangan terbang itu.
Kawah itu hanya beberapa ratus meter dari landasan.
“Ini adalah kali pertama” peluru berpandu disasar secara langsung di dalam perimeter lapangan terbang, kata jurucakap tentera Israel.
Siasatan awal oleh Tentera Udara Israel kemudian mendapati “isu teknikal” berlaku pada sistem pemintas yang menyasarkan peluru berpandu, dan bukannya kerosakan dalam sistem pengesanannya.
Iran memperlihatkan peluru berpandu balistik bahan api pepejal baru dengan jarak jangkauan sejauh 1,200 kilometer (km), lapor televisyen negara itu.
Menurut stesen penyiar itu, peluru berpandu balistik, Ghassem Basir, yang menggunakan bahan api pepejal mempunyai jarak sekurang-kurangnya 1,200km dan merupakan pencapaian pertahanan terbaru Iran.
Peluru berpandu baru itu ditunjukkan selepas Iran dan Amerika mengadakan tiga pusingan rundingan mengenai program nuklear Iran yang menyaksikan Oman sebagai perantara, pada tiga Sabtu berturut-turut bermula 12 April.
Houthi, yang menyatakan mereka bertindak bagi menyokong rakyat Palestin di Gaza, mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebnut .
Pemberontak berkata pasukan mereka “menjalankan operasi ketenteraan yang menyasarkan lapangan terbang Ben Gurion” dengan “peluru berpandu balistik hipersonik”.
Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, mengancam tindak balas yang tegas, dengan berkata: “Sesiapa yang membedal kami, kami akan membedal mereka tujuh kali lebih kuat.”
Kumpulan militan Palestin, Hamas dan Jihad Islam, kemudian memuji serangan ke atas lapangan terbang Israel itu.
Perkhidmatan kecemasan Israel berkata ia telah merawat sekurang-kurangnya enam orang yang mengalami cedera ringan hingga sederhana. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg