WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menghalang rancangan Israel untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap tapak nuklear Iran.
Ia memilih pendekatan rundingan bagi mencapai perjanjian baru bagi mengehadkan program nuklear negara itu.
Laporan tersebut didedahkan oleh, The New York Times, yang memetik pegawai pentadbiran dan sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Menurut laporan itu, Israel telah bersedia menyerang tapak berkenaan seawal Mei, dengan tujuan melambatkan keupayaan Iran membangunkan senjata nuklear selama setahun atau lebih.
Namun, serangan itu memerlukan bantuan Amerika, bukan sahaja untuk mempertahankan Israel daripada tindak balas Iran, malah bagi memastikan serangan tersebut berjaya.
Selepas berbulan-bulan perbahasan dalaman, Encik Trump akhirnya memutuskan membuka rundingan dengan Teheran.
Dalam kenyataan bersama, Amerika dan Iran menyifatkan rundingan pertama yang berlangsung di Oman pada 12 April sebagai “positif” dan “membina”.
Pusingan kedua dijangka diadakan pada 19 April di Rome.
Keputusan Encik Trump itu menandakan peralihan ketara daripada penggal pertamanya, ketika beliau menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran yang dimeterai semasa era mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama.
Kini, pada penggal kedua, beliau dilihat berusaha mengelak penglibatan dalam konflik baru di Timur Tengah.
Encik Trump secara peribadi memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ketika lawatan rasmi pemimpin tersebut ke Rumah Putih pada 7 April.
Dalam sidang media selepas pertemuan itu, Encik Netanyahu menegaskan sebarang perjanjian dengan Iran hanya akan berkesan jika ia membenarkan pemusnahan dan pelucutan semua peralatan nuklear Iran di bawah penyeliaan dan pelaksanaan Amerika.
Menurut sumber, Israel telah membentangkan pelbagai pilihan kepada Amerika, termasuk serangan udara berskala besar serta operasi komando ke atas kemudahan nuklear bawah tanah.
Namun, beberapa pegawai tinggi Amerika, termasuk Ketua Perisikan Negara, Cik Tulsi Gabbard, dan Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth, menyuarakan kebimbangan bahawa pengumpulan senjata dan peralatan ketenteraan Amerika di rantau tersebut boleh mencetuskan konflik lebih luas.
Malah, Penasihat Keselamatan Negara, Encik Michael Waltz, yang sering dianggap sebagai bersuara lantang terhadap Iran, turut meragui keberkesanan pelan Israel tanpa sokongan penuh Amerika.
Pegawai lain, termasuk Ketua Staf Rumah Putih, Cik Susie Wiles, dan Naib Presiden, Encik JD Vance, turut menolak rancangan serangan ketenteraan tersebut.
Namun Encik Trump tidak sepenuhnya menutup pintu terhadap tindakan ketenteraan.
“Jika diperlukan tindakan ketenteraan, maka kami akan lakukan. Israel pastinya akan memimpin,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan bersama Encik Netanyahu.
Sebagai langkah susulan, Encik Trump menghantar Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe, ke Baitulmakdis untuk berbincang lanjut bersama Encik Netanyahu dan Ketua Mossad, Encik David Barnea.
Perbincangan tersebut merangkumi pelbagai pilihan termasuk operasi sulit bersama serta penguatkuasaan sekatan ekonomi yang lebih agresif.
Pihak tentera Israel turut mempertimbangkan kempen pengeboman selama seminggu bermula Mei, selepas mereka menangguhkan rancangan operasi komando yang memerlukan masa lebih lama untuk disiapkan.
Israel sebelum ini telah memusnahkan sistem pertahanan udara S-300, buatan Russia milik Iran dalam serangan pada 2024.
Bagaimanapun, menurut penganalisis ketenteraan, sebarang serangan ke atas tapak nuklear Iran pasti mengundang tindak balas peluru berpandu dari Teheran – sesuatu yang memerlukan campur tangan Amerika.
Ketua Angkatan Bersenjata Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Bagheri, dalam ucapan pada 6 April, menegaskan bahawa Teheran tidak mahu perang, sebaliknya mahu menyelesaikan ketegangan melalui saluran diplomasi.
Namun beliau memberi amaran: “Tindak balas kami terhadap sebarang serangan ke atas kedaulatan Republik Islam akan bersifat tegas dan membawa akibat besar.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg