KAHIRAH: Kereta kebal Israel melancarkan serbuan hari kedua merentasi Rafah pada 29 Mei, selepas Washington mengatakan bahawa serangan itu bukan merupakan pencerobohan darat besar-besaran ke atas bandar selatan Gaza itu seperti yang telah diberitahu pegawai Amerika Syarikat kepada Israel agar mengelakkannya.
Kereta kebal Israel mara ke tengah Rafah buat kali pertama pada 28 Mei selepas malam pengeboman hebat, mengendahkan rayuan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan serangan ke atas bandar itu yang merupakan salah satu tempat perlindungan terakhir di Gaza.
Amerika, sekutu terdekat Israel, mengulangi penentangannya terhadap serangan darat besar Israel di Rafah tetapi berkata pada 28 Mei bahawa mereka tidak percaya operasi sedemikian sedang dijalankan.
Tidak seperti taktik yang digunakan dalam serangan darat Israel di seluruh wilayah itu, penduduk Rafah berkata kereta kebal Israel melancarkan serangan ke atas Tel Al-Sultan di barat Rafah dan Yibna, serta berhampiran tengah Shaboura sebelum berundur ke zon penampan berhampiran sempadan dengan Mesir.
Tentera Israel mengawal tiga perempat daripada zon penampan dan bertujuan untuk mengawal keseluruhannya untuk menghalang Hamas daripada menyeludup masuk senjata, kata penasihat keselamatan negara kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Encik Tzachi Hanegbi.
Beliau menjangkakan pertempuran di Gaza akan berterusan sekurang-kuragnya sepanjang 2024, menandakan Israel tidak bersedia untuk mendengar seruan antarabangsa untuk bersetuju dengan gencatan senjata dengan militan Hamas yang menguruskan Gaza dan menukar tebusan yang mereka tahan dengan tahanan Palestin.
Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata mereka telah berhadapan dengan pasukan penceroboh menggunakan roket anti-kereta kebal dan bom mortar, serta meledakkan alat letupan yang telah dipasang sebelumnya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg