Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel nafi serang kem di Rafah yang bunuh 21 orang

Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi iktiraf negara Palestin, jadikan jumlah keseluruhan 145 daripada 193 negara anggota PBB
May 29, 2024 | 2:17 PM
Palestin
Kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) musnah selepas serangan tentera Israel dekat khemah penginapan pelarian Palestin di Rafah pada 28 Mei. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Tentera Israel menafikan menyerang khemah di barat Rafah pada 28 Mei, selepas pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata serangan kereta kebal Israel membunuh sekurang-kurangnya 21 orang di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon pemindahan orang awam.

Terdahulu, dalam tindakan tidak menghiraukan rayuan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kereta kebal Israel mara ke bahagian tengah Rafah buat kali pertama selepas melakukan pengeboman hebat pada malamnya.

Dalam pada itu, Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf sebuah negara Palestin, satu langkah yang meluaskan pengasingan antarabangsa terhadap Israel.

Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, mengulangi bantahannya terhadap serangan darat Israel di Rafah, tetapi pada masa yang sama mengatakan ia tidak percaya operasi sedemikian sedang dijalankan.

Menggambarkan pandangan Amerika mengenai apa yang merupakan satu serangan besar di Rafah, jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby, memberitahu pemberita ia adalah tindakan melibatkan “bilangan besar askar dalam jajaran dan formasi dalam beberapa gerakan terselaras terhadap pelbagai sasaran di darat”.

“Itulah satu operasi darat yang besar,” kata Encik Kirby. “Kami belum melihatnya.”

Dua hari selepas serangan udara Israel di kem lain menimbulkan kecaman sejagat, perkhidmatan kecemasan Gaza berkata empat peluru kereta kebal pada 28 Mei mengenai sekumpulan khemah di Al-Mawasi.

Perkhemahan di kawasan pantai itu ditetapkan oleh Israel sebagai zon kemanusiaan yang diperluaskan, dan ia menasihati orang awam di Rafah supaya pergi ke kawasan itu demi keselamatan mereka.

Sekurang-kurangnya 12 daripada orang yang maut pada 28 Mei adalah wanita, menurut pegawai perubatan di kawasan Palestin yang dikendalikan kumpulan Hamas.

Tetapi tentera Israel kemudiannya berkata dalam satu kenyataan: “Tidak seperti yang dikatakan dalam laporan beberapa jam lalu, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) tidak menyerang di Kawasan Kemanusiaan di Al-Mawasi.”

Israel memberitahu kira-kira sejuta orang awam Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang hampir lapan bulan supaya pindah ke Al-Mawasi apabila ia melancarkan pencerobohannya di Rafah pada awal Mei.

Ramai yang melarikan diri dari Rafah sejak itu, lapor agensi Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada 28 Mei.

Di tengah Rafah, kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel yang dipasang dengan mesingan dikesan berhampiran Masjid Al-Awda, sebuah mercu tanda bandar Rafah, kata saksi kepada Reuters pada 28 Mei.

Tentera Israel berkata askarnya terus beroperasi di kawasan Rafah, tanpa mengulas mengenai gerakan memasuki pusat bandar seperti yang dilaporkan.

Kegelisahan antarabangsa terhadap serangan ke atas Rafah sejak tiga minggu itu telah bertukar menjadi kemarahan, selepas satu serangan pada 26 Mei, yang mengakibatkan kebakaran di sebuah khemah di daerah barat bandar itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang.

Israel berkata ia telah menyasarkan dua pemimpin kanan Hamas dan tidak berniat untuk menyebabkan kematian orang awam.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata kemudaratan kepada orang awam berlaku apabila “sesuatu kesilapan berlaku secara tragik”.

Pemimpin dunia menyuarakan kengerian terhadap kebakaran di zon kemanusiaan yang ditetapkan di Rafah – tempat keluarga yang dipindahkan akibat pertempuran di tempat lain mencari perlindungan – dan mereka menggesa pelaksanaan perintah ICJ minggu lalu untuk menghentikan serangan Israel.

Selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Mei mengenai perkembangan terkini di Rafah, Duta Besar Algeria di PBB, Encik Amar Bendjama, berkata negaranya akan mencadangkan draf resolusi majlis untuk “menghentikan pembunuhan di Rafah”.

Sementara itu, Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei dalam satu keputusan terselaras yang dikutuk Israel sebagai “ganjaran” untuk Hamas.

Ketiga-tiga negara Eropah itu percaya inisiatif mereka mempunyai kesan simbolik kuat yang mungkin menggalak negara lain mengikutinya.

Selepas pemerintah Ireland secara rasmi meluluskan langkah itu, Perdana Menteri Simon Harris, berkata matlamatnya adalah memastikan harapan keamanan Timur Tengah terus hidup.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, berkata pengiktirafan itu “penting” demi keamanan, dengan menegaskan langkah itu “bukan bagi menentang sesiapa, terutamanya Israel” dan satu-satunya cara untuk mewujudkan masa depan dua negara yang hidup bersebelahan “dengan aman dan selamat”.

Langkah tiga negara itu bermakna 145 daripada 193 negara anggota PBB sekarang mengiktiraf kenegaraan Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg