Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel kuasai semula sempadan Gaza

Sekitar 1,500 mayat militan Hamas ditemui di Israel 
Oct 10, 2023 | 6:10 PM
KUASAI SEMULA: Tentera Israel bersama kelengkapan ketenteraan berhampiran sempadan Gaza menguasai semula pagar sempadan Gaza dan tiada penyusupan sejak Isnin
KUASAI SEMULA: Tentera Israel bersama kelengkapan ketenteraan berhampiran sempadan Gaza menguasai semula pagar sempadan Gaza dan tiada penyusupan sejak Isnin - Foto AFP

GAZA: Israel melancarkan siri serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza pada waktu malam, setelah mengepung sepenuhnya kawasan itu, memusnahkan sebahagian besar kejiranan Al-Rimal di Bandar Gaza, termasuk rumah dan bangunan serta menyebabkan Internet dan komunikasi terputus.

Dengan bekalan air ke Gaza diputuskan, Israel terus mengebom sasaran di kawasan Palestin itu sebagai balasan terhadap serangan mengejut Hamas, yang disamakan dengan serangan 11 September di New York, hingga membolehkannya menguasai semula pagar sempadan Gaza yang dilanggar militan Hamas Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan Radio Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata tiada penyusupan baru dari Gaza sejak Isnin.

“Sejak malam tadi tiada siapa masuk... tetapi penyusupan masih boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 1,500 mayat militan Hamas ditemui dalam wilayah Israel, sedang tenteranya terus menyerang kawasan Palestin dari udara, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Richard Hecht, kepada wartawan pada Selasa.

Beliau berkata tentera Israel “hampir menyelesaikan” pemindahan semua penduduk yang mendiami sekitar sempadan dan mengerahkan 35 batalion ke sempadan.

Serangan maut oleh militan Hamas yang melanggar pagar sempadan di bawah serangan roket pada pagi Sabtu lalu membunuh lebih 900 orang di dalam kawasan Israel.

Sebagai balasan, Israel melakukan pengeboman udara dan artileri besar-besaran ke atas sasaran Hamas di Semenanjung Gaza, yang setakat ini membunuh ramai orang di kawasan pinggir pantai.

Sebelum subuh Selasa, tentera Israel menyerang lokasi yang dikatakan sebagai sasaran Hamas di Gaza, terutama di kawasan kejiranan Rimal dan di bandar selatan Khan Yunis. Tentera Israel berkata ia menyasari lebih 140 “tapak tentera” Hamas, termasuk pekarangan tentera dan tapak pembuatan senjata api bagi pergerakan itu.

Bebola api berulang kali menerangi kegelapan kota Gaza pada malam Isnin, sedang letupan berbunyi dan siren berkumandang kuat.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengancam bahawa Hamas berdepan “keadaan sukar dan dahsyat” dan mendakwa bahawa tindakan rejim itu bakal mengubah Asia Barat.

“Ini hanya permulaan. Kami akan mengalahkan mereka dengan kekerasan, kekuatan yang sangat besar,” katanya, merujuk kepada kira-kira 150 roket yang dilepaskan ke wilayah Israel.

Ancaman itu dibuat selepas Israel mengenakan kepungan penuh di Semenanjung Gaza dan memutuskan bekalan air, yang mencetuskan kebimbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi kemanusiaan yang semakin teruk.

Lebih 123,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan rumah mereka di Semenanjung Gaza sedang konflik Palestin-Israel itu semakin memuncak, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha).

Sementara itu, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, mengatakan dalam satu kenyataan bahawa setiap serangan ke atas rakyat Palestin tanpa amaran akan dibalas dengan hukuman mati ke atas salah seorang tebusannya.

Hamas dilaporkan menawan 150 tebusan dalam serangan mengejutnya di selatan Israel itu.

Kumpulan itu, yang mendakwa menghantar kira-kira 1,000 militan ke bandar-bandar Israel Sabtu lalu, mendakwa pada Isnin bahawa serangan udara Israel turut membunuh empat tebusannya.

Ketegangan juga meningkat di utara Israel di sempadan dengan Lebanon, di mana kumpulan Hezbullah dan tentera Israel berbalas tembakan untuk hari kedua.

Angka kematian meningkat kepada 800 pada pihak Israel, sementara jumlah kematian di wilayah yang dikuasai Hamas meningkat kepada 687 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg