BAITULMAKDIS: Tentera Israel mengeluarkan perintah pemindahan baru pada 1 Julai kepada para penduduk di Khan Younis dan Rafah di selatan Gaza, dengan saksi melaporkan ramai yang segera melarikan diri.
Ratusan ribu telah meninggalkan Rafah lebih awal dan semasa serangan darat yang dilancarkan tentera Israel di bandar paling selatan itu sejak awal Mei.
Amaran kepada penduduk di kawasan Al-Qarara, Bani Suhaila dan bandar-bandar lain di dua wilayah itu dibuat di media sosial dan dalam satu kenyataan rasmi, beberapa jam selepas Israel mendakwa 20 peluncur atau bedilan disasarkan ke Israel dari Khan Younis.
Sayap bersenjata kumpulan Hamas, Jihad Islam, mengaku melakukan serangan tersebut.
Menyusuli perkembangan itu, tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Rafah pada 1 Julai.
“Ketakutan dan kebimbangan melampau mencengkam orang ramai selepas arahan pemindahan dikeluarkan oleh tentera Israel,” kata Encik Ahmad Najjar, penduduk di Bani Suhaila.
Menurutnya, ramai penduduk segera melarikan diri menyusuli arahan tersebut.
Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, Encik Stephane Dujarric, berkata:
“Ia menunjukkan sekali lagi bahawa tiada tempat yang selamat di Gaza dan lebih banyak usaha perlu dilakukan demi melindungi orang awam.
“Ia merupakan satu lagi lingkaran pergerakan maut yang terpaksa dilalui para penduduk di Gaza secara tetap,” tambahnya.
Sejak melancarkan serangan daratnya di Gaza pada 27 Oktober, tentera Israel secara progresif bergerak ke selatan wilayah Palestin, berusaha untuk memusnahkan batalion Hamas, walaupun pertempuran telah dimulakan semula di utara.
Peperangan bermula menyusuli serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel, yang mengakibatkan kematian lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam.
Hamas dikatakan turut menahan sekitar 240 orang sebagai tebusan, 116 daripadanya masih berada di Gaza termasuk 42 yang dikatakan tentera telah mati.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 37,900 orang, kebanyakan orang awam, berdasarkan perangkaan daripada kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.
Perang juga menyebabkan para penduduk Gaza terus dicengkam masalah kekurangan makanan di wilayah yang terkepung itu.
Di Rafah, mereka yang melarikan diri itu adalah antara beberapa kumpulan yang masih tinggal di bandar yang pernah dipenuhi dengan penduduk Palestin yang mencari perlindungan di sana.
PBB menganggarkan 1.3 juta orang telah melarikan diri dari Rafah – lebih separuh daripada keseluruhan penduduk Gaza – dan hanya 65,000 masih bertahan di wilayah yang terus menjadi sasaran tentera Israel.
Sementara itu, rundingan berterusan selama berbulan-bulan bagi perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan mencapai sedikit kemajuan apabila Hamas berkata pada 29 Jun bahawa tiada “perkara baru” dalam rancangan yang disemak semula oleh pengantara Amerika Syarikat. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg