Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertempuran sengit masuk hari keempat di Shejaia, Gaza

PBB anggar ‘60,000 hingga 80,000’ rakyat Palestin diusir
Jul 1, 2024 | 11:56 AM
Ribuan rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan Shejaia di  Bandar Gaza, di tengah-tengah pertempuran sengit antara tentera Israel dan kumpulan Hamas yang kini masuk hari keempat.
Ribuan rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan Shejaia di Bandar Gaza, di tengah-tengah pertempuran sengit antara tentera Israel dan kumpulan Hamas yang kini masuk hari keempat. - Foto AFP

JALURAN GAZA: Pertempuran sengit dan pengeboman berat melanda daerah Shejaia di Bandar Gaza bagi hari keempat pada 30 Jun – beberapa bulan selepas tentera Israel mengisytiharkan struktur Hamas telah dimusnahkan di kawasan utara itu.

Puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan kejiranan yang musnah akibat apa yang tentera Israel katakan sebagai operasi memerangi Hamas dan Jihad Islam di darat dan dalam terowong.

Tentera Israel berkata ia telah “menghapuskan beberapa pejuang Hamas dan melakukan serbuan tersasar di kawasan pertempuran’ dalam tempoh 24 jam lalu manakala tentera udara telah “menyerang berpuluh-puluh” tapak infrastruktur Hamas.

Ia juga melaporkan pertempuran di tengah Gaza dan kawasan selatan Rafah, seminggu selepas Perdana Menteri Benjamin Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengisytiharkan bahawa “fasa sengit” perang yang meletus sejak 7 Oktober hampir berakhir.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa “60,000 hingga 80,000 orang telah terusir” dari Shejaia sejak pertempuran baru tercetus di sana pada 27 Jun dan tentera mengeluarkan arahan penduduk berpindah ke tempat lebih selamat.

Sementara itu, rundingan berterusan selama berbulan-bulan bagi perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan mencapai sedikit kemajuan apabila Hamas berkata pada 29 Jun bahawa tidak ada “perkara baru” dalam rancangan yang disemak semula oleh pengantara Amerika Syarikat.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, lewat Mei menggariskan apa yang disebutnya rancangan Israel bagi gencatan senjata selama enam minggu dan pertukaran beberapa tebusan bagi tahanan Palestin yang di penjara Israel.

Washington minggu lalu membentangkan cadangan baru untuk perjanjian tersebut, menurut laman berita Amerika Axios.

Seorang pegawai Hamas di Lebanon, Encik Osama Hamdan, mengesahkan pihaknya telah menerima cadangan terbaru itu tetapi berkata ia menunjukkan “tiada kemajuan sebenar dalam rundingan untuk menghentikan pencerobohan”.

Encik Hamdan menyifatkan cadangan itu sebagai “membuang masa” yang bertujuan memberi “masa tambahan kepada Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai”.

Peperangan bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan sekitar 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 37,877 orang, menurut data Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

PBB dan agensi bantuan lain telah menyuarakan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan teruk dan ancaman kebuluran akibat perang dan pengepungan Israel terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.

“Ia benar-benar tidak lagi dapat ditanggung,” kata Cik Louise Wateridge daripada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) selepas kembali daripada lawatan ke bandar Khan Younis.

“Semuanya tinggal runtuhan tetapi ramai penduduk masih tinggal di bangunan-bangunan yang telah musnah. Malangnya, tiada bekalan air, tiada sanitasi dan tiada makanan,’’ tambahnya.

Konflik Gaza juga telah menyebabkan ketegangan memuncak di sempadan utara Israel dengan Lebanon, yang menyaksikan tentera Israel dan kumpulan Hezbollah berbalas bedilan di tengah-tengah usaha pihak antarabangsa, termasuk Amerika, untuk meredakan ketegangan daripada memuncak hingga mencetuskan peperangan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg