Israel lancar serangan serentak di Teheran dan Beirut
TEL AVIV/BEIRUT: Tentera Israel mengesahkan ia melancarkan serangan udara serentak di Tehran dan Beirut pada 3 Mac, ketika konflik di Asia Barat terus melebar dan semakin sengit.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan bahawa Tentera Udara Israel telah memulakan serangan bersasar terhadap sasaran ketenteraan yang didakwa berkait dengan pentadbiran Iran di Tehran serta kedudukan milik kumpulan Hezbollah di ibu negara Lubnan.
“IDF kini melaksanakan serangan serentak di Teheran dan Beirut. Tentera Udara Israel telah memulakan serangan bersasar terhadap objektif ketenteraan rejim Iran dan organisasi pengganas Hezbollah,” menurut kenyataan itu.
Wartawan AFP melaporkan letupan kuat menggegarkan Teheran, dengan kepulan asap hitam kelihatan di beberapa bahagian ibu negara Iran. Letupan turut dilaporkan berlaku di bandar Karaj berhampiran Teheran serta di Isfahan.
Di Beirut, asap hitam dilihat naik ke udara susulan serangan yang menyasarkan pinggir selatan bandar itu, kubu kuat Hezbollah.
Kementerian Kesihatan Lebanon sebelum ini memaklumkan serangan Israel pada 1 Mac mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan 149 yang lain. Serangan dilaporkan berterusan sepanjang hari, menyasarkan bandar dan kampung di selatan Lebanon serta beberapa kawasan di Beirut.
Sebagai tindak balas, Hezbollah pada 3 Mac mendakwa ia menyasarkan tiga pangkalan tentera Israel. Dalam beberapa kenyataan di Telegram, kumpulan yang disokong Iran itu berkata ia melancarkan serangan dron ke atas pangkalan udara Ramat David dan Meron di utara Israel, serta menghujani pangkalan Nafah di Dataran Tinggi Golan dengan peluru berpandu.
“Sebagai respons terhadap pencerobohan jenayah Israel ke atas puluhan bandar dan kampung di Lebanon,” kata Hezbollah yang melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap sasaran ketenteraan Israel.
Tentera Israel setakat ini belum mengulas secara khusus mengenai dakwaan serangan tersebut.
Ketegangan semakin memuncak selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran sejak Sabtu lalu, yang dilaporkan mengorbankan beberapa pemimpin kanan Iran termasuk Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai tertinggi tenteranya.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera Amerika.
Dalam perkembangan berasingan, Reuters melaporkan lima anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh dalam serangan Amerika-Israel, memetik agensi berita ISNA.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan yang diterjemahkan daripada bahasa Ibrani, berkata beliau dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memberi kebenaran kepada IDF untuk “maju dan merampas kawasan strategik tambahan di Lebanon” bagi menghalang serangan ke atas komuniti sempadan Israel.
“IDF terus bertindak tegas terhadap sasaran Hezbollah di Lebanon. Organisasi pengganas itu sedang dan akan terus membayar harga yang mahal atas serangan mereka ke atas Israel,” katanya.
Beliau menegaskan Israel bertekad mempertahankan komuniti di kawasan Galilee. “Kami telah berjanji untuk memastikan keselamatan komuniti di Galilee, dan itulah yang akan kami tunaikan,” katanya.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam pada 1 Mac memaklumkan pemerintahnya telah mengharamkan aktiviti ketenteraan serta keselamatan Hezbollah dan mengehadkan peranan kumpulan itu kepada kerja-kerja politik sahaja, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau turut mengarahkan pihak tentera untuk menguatkuasakan pelan mengehadkan pemilikan senjata di bawah kawalan negara di utara Sungai Litani. “Negara menolak sebarang tindakan ketenteraan atau keselamatan yang dilancarkan dari wilayah Lebanon,” kata Encik Salam dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Istana Presiden, timur Beirut, yang dipengerusikan oleh Presiden Joseph Aoun.
Beliau berkata, Kabinet memutuskan untuk melarang sebarang operasi ketenteraan di luar “institusi negara yang sah.” “Keputusan mengenai peperangan dan keamanan terletak secara eksklusif di tangan negara,” tegas beliau.
Encik Salam berkata, langkah itu memerlukan pengehadan aktiviti Hezbollah dan mewajibkan kumpulan itu menyerahkan senjatanya, selain menyifatkan tindakan terbaharu kumpulan itu sebagai “pelanggaran terhadap keputusan Kabinet.”
Beliau mengarahkan pucuk pimpinan tentera Lebanon untuk melaksanakan pelan pemerintah itu dengan tegas, terutamanya peruntukan yang bertujuan menyekat pemilikan senjata di utara Sungai Litani. - Agensi berita

