Serangan Israel gegar Beirut selepas Hezbollah lancar roket balas kematian pemimpin Iran
Serangan Israel gegar Beirut selepas Hezbollah lancar roket balas kematian pemimpin Iran
BEIRUT: Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran di Lebanon termasuk ibu negara Beirut pada awal pagi 2 Mac selepas kumpulan Hezbollah melancarkan roket dan dron ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran.
Agensi berita, AFP melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di Beirut pada awal pagi ketika tentera Israel mengumumkan ia “memulakan serangan terhadap sasaran organisasi Hezbollah di seluruh Lebanon”.
Serangan itu berlaku selepas Hezbollah melancarkan roket dan dron ke wilayah Israel, serangan pertama kumpulan itu sejak perjanjian gencatan senjata November 2024 yang menamatkan lebih setahun konflik antara kedua-dua pihak.
Hezbollah sebelum ini terlibat dalam perang bagi menyokong Hamas selepas serangan kumpulan Palestin itu ke atas Israel pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.
Tentera Israel berkata pihaknya melakukan serangan tepat terhadap anggota kanan Hezbollah di kawasan Beirut serta satu lagi sasaran di selatan negara itu.
Agensi Berita Kebangsaan Lebanon (NNA) melaporkan serangan berlaku di pelbagai lokasi termasuk pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hezbollah.
Israel kemudian mengeluarkan amaran kepada penduduk kira-kira 50 bandar dan kampung di selatan serta timur Lebanon supaya berpindah segera.
“Tindakan Hezbollah memaksa tentera bertindak balas.
“Demi keselamatan, kosongkan rumah anda dan bergerak sekurang-kurangnya satu kilometer dari kawasan kediaman ke kawasan terbuka,” kata jurucakap tentera, Cik Ella Waweya, dalam kenyataan di wadah X.
Hezbollah mengaku bertanggungjawab melancarkan roket dan dron ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan gabungan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Teheran hujung minggu lalu.
Kumpulan itu berkata serangan tersebut juga dilakukan “bagi mempertahankan Lebanon dan rakyatnya serta sebagai reaksi terhadap serangan berulang Israel”.
Seorang pegawai Hezbollah sebelum ini memberi amaran pembunuhan Khamenei merupakan “garisan merah” dengan kumpulan itu tidak akan campur tangan jika serangan terhadap Iran bersifat terhad.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, menyifatkan pelancaran roket itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini membahayakan keselamatan Lebanon dan memberi alasan kepada Israel untuk meneruskan serangan,” katanya.
Tanpa menamakan Hezbollah secara langsung, beliau berjanji pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap pihak terlibat dan melindungi rakyat.
Pejabatnya memaklumkan satu mesyuarat kecemasan akan diadakan bagi membincangkan perkembangan terkini serta langkah keselamatan.
Tentera Israel berkata beberapa peluru yang dilancarkan dari Lebanon jatuh di kawasan terbuka dan tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan.
Ketua Tentera Israel Eyal Zamir, menyalahkan Hezbollah atas peningkatan ketegangan.
“Hezbollah memulakan kempen terhadap Israel malam tadi (1 Mac) dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang peningkatan konflik,” katanya.
NNA melaporkan perpindahan besar-besaran penduduk dari pinggir selatan Beirut dan kawasan selatan negara itu.
Rakaman media tempatan menunjukkan jalan raya dipenuhi kenderaan ketika orang ramai meninggalkan kawasan berisiko.
Pemerintah Lebanon sebelum ini berulang kali menyatakan tidak mahu negara itu terheret ke dalam konflik serantau yang tercetus selepas serangan besar Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Serangan itu mencetuskan gelombang serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Israel serta negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.
Namun, perkembangan terkini menunjukkan ketegangan kini semakin merebak ke Lebanon, meningkatkan kebimbangan tercetusnya perang lebih luas di Asia Barat.
Pegawai keselamatan memberi amaran keadaan boleh berubah dengan pantas bergantung kepada tindak balas seterusnya kedua-dua pihak. – Agensi berita.

