BAITULMAKDIS: Parlimen Israel pada 28 Oktober meluluskan rang undang-undang yang melarang agensi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Jaluran Gaza yang musnah akibat perang.
Pemerintah Israel berkata larangan itu dibuat kerana ia sedang mempertimbangkan cadangan rundingan dengan Hamas mengenai perjanjian pembebasan tebusannya.
Di sebalik bantahan daripada Amerika Syarikat dan Majlis Keselamatan PBB, penggubal undang-undang Israel meluluskan rang undang-undang yang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di Israel dan Baitulmakdis timur yang diduduki Israel.
“Terdapat hubungan mendalam antara pertubuhan pengganas (Hamas) dengan UNRWA dan Israel tidak dapat memberi kelonggaran,” kata Encik Yuli Edelstein, anggota parlimen Parti Likud dan salah seorang penaja rang undang-undang itu ketika membentangkan cadangan tersebut di Parlimen.
Hamas, yang terlibat dalam konflik dengan Israel di Gaza, menyifatkan rang undang-undang itu sebagai tindakan “pencerobohan Zionis” terhadap rakyat Palestin, manakala sekutunya Jihad Islam menyifatkan larangan itu sebagai “peningkatan dalam pembunuhan beramai-ramai”.
Bahkan, beberapa sekutu Barat Israel turut menyuarakan kebimbangan terhadap larangan itu, dengan Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata Britain “sangat prihatin” dengan undang-undang tersebut.
Jerman juga memberi amaran bahawa ia akan “secara berkesan menjadikan mustahil bagi UNRWA menjalankan kerja-kerjanya di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang penting untuk berjuta-juta orang”.
Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, menyifatkan larangan itu sebahagian daripada “kempen berterusan untuk memburukkan agensi itu”.
Jurucakap agensi itu, Cik Juliette Touma, berkata agensi tersebut adalah penyedia utama “tempat perlindungan, makanan dan penjagaan kesihatan utama” di Gaza dan jika larangan itu dilaksanakan, ia akan mencetuskan “bencana”.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata menerusi media sosial X bahawa Israel “bersedia” untuk terus memberikan bantuan kepada Gaza selepas larangan itu dikuat kuasa.
Pihaknya akan bekerjasama dengan rakan antarabangsa “menerusi cara yang tidak mengancam keselamatan Israel,” tambahnya.
Larangan terhadap UNRWA dibuat ketika tentera Israel meneruskan serangan udara dan darat lebih tiga minggu terhadap Hamas di utara Gaza yang menyebabkan kawasan itu tanpa bekalan makanan dan air, kata agensi pertahanan awam di sana.
Pengarah UNRWA, Encik Scott Peterson, berkata Israel telah membenarkan 12 trak bantuan masuk ke utara Gaza pada 30 September tetapi tiada satu pun dibenarkan masuk selepas itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg