Topik diikuti
Pergi ke BHku6 negara Barat kenakan sekatan terhadap pendatang haram Israel di Tebing Barat
6 negara Barat kenakan sekatan terhadap pendatang haram Israel di Tebing Barat
6 negara Barat kenakan sekatan terhadap pendatang haram Israel di Tebing Barat
LONDON: Britain, Australia, Canada, Perancis, New Zealand dan Norway mengenakan sekatan secara bersama terhadap rangkaian yang didakwa terbabit dalam membiayai, menyokong dan melaksanakan keganasan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Langkah yang diumumkan pada 9 Jun itu dibuat susulan peningkatan pembinaan penempatan haram Israel dan keganasan pendatang haram yang kian memuncak di Tebing Barat.
Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, berkata keenam-enam negara tersebut mengambil tindakan bersama terhadap pihak yang bertanggungjawab meningkatkan penjajahan dan keganasan di wilayah Palestin.
“Bersama rakan kami dari Britain, Canada, Australia, New Zealand dan Norway, kami hari ini (9 Jun) mengenakan sekatan baharu terhadap mereka yang bertanggungjawab memperhebat penjajahan dan keganasan di Tebing Barat,” katanya menerusi media sosial.
Selepas mengumumkan sekatan itu, keenam-enam negara Barat tersebut turut memberi amaran mereka bersedia mengambil tindakan tambahan sekiranya pemerintah Israel gagal menangani keadaan di lapangan dengan sewajarnya.
Encik Barrot turut memaklumkan bahawa Perancis melarang Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, memasuki negara itu bersama tiga pemimpin kumpulan pendatang haram dan 21 pendatang haram Israel lain berhubung keganasan di Tebing Barat.
Kementerian Luar Israel bagaimanapun mengecam sekatan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan memalukan terhadap rakyat serta pemerintah Israel.
Jurucakap kementerian itu, Encik Oren Marmorstein, berkata tindakan negara Barat itu sebenarnya bertujuan mengenakan pendirian politik terhadap hak orang Yahudi menetap di “Tanah Israel”.
“Israel menolak sekeras-kerasnya langkah memalukan yang diambil pemerintah asing terhadap rakyat Israel, organisasi dan seorang menteri pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendakwa sekatan itu cuba disamarkan sebagai langkah menentang keganasan sedangkan ia berkait dengan konflik Israel-Palestin dan isu penempatan Yahudi.
Pemerintah Britain pula menggesa syarikat dan rakyat negara itu supaya tidak menjalankan kegiatan kewangan atau ekonomi di penempatan Israel di Tebing Barat yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Setiausaha Luar Britain, Encik Yvette Cooper, berkata garis panduan risiko perniagaan telah diperkukuhkan supaya lebih jelas kepada syarikat Britain.
“Jika anda rakyat atau syarikat Britain, anda tidak sepatutnya menjalankan sebarang kegiatan ekonomi dan kewangan di penempatan haram Israel,” katanya di Parlimen Britain.
Menurut Encik Cooper, kumpulan penduduk haram yang ganas tidak seharusnya memperoleh keuntungan daripada tanah yang dirampas daripada rakyat Palestin.
Katanya, pemerintah Israel memang mengutuk beberapa keganasan pendatang haram tetapi tindakan itu dianggap tidak bermakna kerana kurangnya kebertanggungjawaban terhadap pihak yang terlibat.
Pemerintah Britain turut menggesa Israel menghentikan peluasan penempatan haram, mengambil tindakan tegas terhadap keganasan pendatang haram, mendakwa pihak bertanggungjawab serta menarik balik sekatan terhadap ekonomi Palestin.
Pertubuhan Amnesti Antarabangsa bagaimanapun berkata sekatan tersebut masih belum mencukupi.
Pengurus tindak balas krisis Amnesti Antarabangsa UK, Encik Kristyan Benedict, berkata sekiranya pemerintah benar-benar serius mengambil tindakan terhadap pihak yang menyokong keganasan penduduk haram, mereka perlu menyedari penempatan haram dan keganasan pendatang haram adalah sebahagian daripada dasar pemerintah Israel.
“Menyasarkan rangkaian pembiayaan penduduk haram tanpa mengambil tindakan terhadap menteri yang mengetuai kempen ini bukanlah kebertanggungjawaban sebenar,” katanya.
Beliau turut menggesa Britain mengenakan sekatan terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, serta beberapa menteri kanan Israel termasuk Encik Israel Katz, dan bekas Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant.
Encik Benedict turut mendesak Britain mengharamkan semua perdagangan dengan penempatan Israel dan menghentikan kerjasama pelaburan yang dianggap menyokong pendudukan haram dan aparteid.
Nada sama disuarakan badan amal Britain, Christian Aid, yang menyifatkan tindakan kerajaan Britain sekadar “menasihati” syarikat agar menjauhi penempatan Israel sebagai tidak mencukupi.
Ketua Pengaruh UK Christian Aid, Cik Jennifer Larbie, berkata Britain perlu mengharamkan sepenuhnya perdagangan dan pelaburan dengan penempatan Israel sebelum Palestin “dipadamkan sepenuhnya”.
Israel bagaimanapun menolak dakwaan bahawa tenteranya melindungi penduduk haram ketika serangan terhadap rakyat Palestin berlaku di Tebing Barat.
Pemerintah Israel menegaskan tindakan tersebut adalah kejadian terpencil yang melanggar protokol tentera dan akan disiasat.
Namun, siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati pihak berkuasa Israel terlibat secara langsung dalam serangan penduduk haram yang menyebabkan rakyat Palestin terbunuh, cedera dan kehilangan tempat tinggal di Tebing Barat, selain tentera Israel didakwa memberi perlindungan kepada penduduk haram.
Di bawah pimpinan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Britain sebelum ini menggantung rundingan perdagangan bebas dengan Israel dan menangguhkan beberapa lesen eksport senjata.
Seperti Perancis, Britain turut mengenakan sekatan terhadap dua menteri kanan Israel berhaluan kanan iaitu Encik Smotrich dan Encik Itamar Ben-Gvir.
Pada 2025, Britain turut menyertai Perancis dan Canada dalam mengiktiraf negara Palestin. – Agensi berita.
