GAZA: Pasukan tentera Israel telah memasuki hospital terbesar di Gaza, Hospital Al Shifa, pada Rabu dan melakukan pemeriksaan di bilik-bilik dan ruang bawah tanahnya, menurut saksi yang berada di tempat kejadian.
Tindakan ini merupakan kemuncak daripada pengepungan yang telah menimbulkan kebimbangan global selepas apa yang dikatakan oleh Israel sebagai pertempuran maut di pintu gerbang hospital tersebut.
Hospital Al Shifa di Bandar Gaza kini telah menjadi sasaran utama operasi darat oleh pasukan Israel. Ini menyusul insiden yang menimbulkan banyak kemarahan dan kecaman dari masyarakat antarabangsa.
Menurut saksi-saksi, pasukan Israel telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di setiap sudut hospital, termasuk ruang bawah tanah yang biasanya digunakan untuk penyimpanan peralatan perubatan dan bahan kecemasan.
Sebelum ini Israel menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah Hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Hamas menafikannya.
Israel menggesa semua anggota kumpulan militan di hospital itu supaya menyerah diri.
“Sebelum memasuki hospital, pasukan kami berhadapan dengan letupan dan skuad pengganas, pertempuran berlaku... militan terbunuh,” kata tentera Israel, tanpa menyatakan dengan tepat tempat pertempuran itu berlaku.
Radio Tentera Israel berkata lima miltan terbunuh dan terdapat penemuan senjata di dalam kawasan hospital.
Serbuan pada Rabu itu dilakukan ketika beribu-ribu pelarian orang awam Palestin berlindung di hospital terbesar di Bandar Gaza itu.
Dr Munir Al-Bursh, ketua pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, memberitahu media bahawa tentera Israel telah menyerbu bahagian barat kompleks perubatan itu.
“Terdapat letupan besar dan debu memasuki kawasan tempat kami berada. Kami percaya letupan berlaku di dalam hospital,” kata Dr Al-Bursh.
Beberapa jam kemudian, jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Ashraf Al-Qidra, dipetik sebagai berkata: “Tentera Israel kini berada dan menggeledah di ruang bawah tanah. Mereka berada di dalam kompleks, menembak dan melakukan pengeboman.”
Nasib yang menimpa Hospital Al-Shifa itu telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana keadaan yang semakin buruk di hospital tersebut.
Hamas berkata 650 pesakit dan 5,000 hingga 7,000 orang awam terperangkap di dalam kawasan hospital, di tengah-tengah tembakan berterusan daripada penembak tepat dan dron Israel.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF sedang menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Al-Shifa.”
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner, menyatakan bahawa hospital dan sekitarnya merupakan “hab pusat operasi Hamas, mungkin juga jantung yang berdegup dan mungkin juga pusat graviti”.
Amerika Syarikat berkata pada Selasa bahawa perisikannya sendiri menyokong kesimpulan Israel itu.
Hamas berkata ia menganggap Israel dan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi itu.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih dalam satu kenyataan pula berkata: “Kami tidak menyokong serangan hospital dari udara, dan kami tidak mahu melihat pertempuran di hospital di mana orang yang tidak bersalah, orang tidak berupaya dan orang sakit yang cuba mendapatkan rawatan perubatan terperangkap dalam pertempuran. Hospital dan pesakit mesti dilindungi.”
Israel telah berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan kumpulan itu di selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh 1,400 orang dan menahan lebih 240 tebusan. Operasi ketenteraan Israel sejauh ini telah mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg