Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Palestin saling menuduh susulan letupan di hospital Gaza

Ratusan terkorban dalam letupan di hospital Al-Ahli
Oct 18, 2023 | 2:00 PM
TUNJUK PERASAAN MENINGKAT: Rakyat Palestin menyertai bantahan di bandar Nablus di Tebing Barat susulan serangan udara ke atas hospital di Gaza sedang kededua pihak Palestin dan Israel saling menyalahkan antara sama lain ke atas pengeboman ke atas hospital awam.
TUNJUK PERASAAN MENINGKAT: Rakyat Palestin menyertai bantahan di bandar Nablus di Tebing Barat susulan serangan udara ke atas hospital di Gaza sedang kededua pihak Palestin dan Israel saling menyalahkan antara sama lain ke atas pengeboman ke atas hospital awam. - Foto REUTERS

GAZA: Beratus-ratus orang terbunuh dalam satu letupan besar di hospital Bandar Gaza pada Selasa, dengan pegawai Israel dan Palestin saling menyalahkan satu sama lain.

Terdapat tuntutan berasingan dan penafian daripada pegawai Israel dan Palestin mengenai siapa yang bertanggungjawab.

Ekorannya, protes tercetus di Tebing Barat dan sekitar Timur Tengah atas kejadian yang dikatakan telah meragut sekitar 500 nyawa.

Pihak berkuasa kesihatan di Semenanjung Gaza yang diperintah Hamas berkata bahawa serangan udara Israel menyebabkan letupan di hospital Al-Ahli, manakala tentera Israel mengaitkannya dengan pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan militan Palestin.

Tentera Israel menafikan bertanggungjawab atas serangan udara itu dan berkata, ia berpunca daripada bedilan roket yang tersasar oleh kumpulan bersenjata Palestin.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang menyalahkan militan Palestin atas letupan itu, berkata: “Seluruh dunia harus tahu pengganas biadab di Gaza yang menyerang hospital di Gaza, dan bukan IDF (Pasukan Pertahanan Israel).”

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata bahawa Israel mempunyai risikan yang membuktikan dakwaannya bahawa militan Gaza bertanggungjawab ke atas kejadian itu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Ashraf Al-Qudra, berkata pada Rabu bahawa ratusan terbunuh, dan pekerja penyelamat masih mengeluarkan mayat dari puing-puing bangunan hospital yang runtuh.

Dalam beberapa jam pertama selepas letupan itu, seorang ketua pertahanan awam Gaza berkata bahawa 300 orang terbunuh, manakala sumber kementerian kesihatan menyatakan angka itu mencecah 500 orang.

Kesemuanya bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel yang menyebabkan 1,300 orang terbunuh dan kira-kira 200 dibawa ke Gaza sebagai tebusan.

Gaza, sebuah kawasan pendudukan sepanjang 45 kilometer yang menempatkan 2.3 juta orang, telah diperintah Hamas sejak 2006.

Letupan terbaru itu berlaku pada malam sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, ke Israel untuk menunjukkan sokongan kepada negara itu di samping mendengar bagaimana Israel merancang mengurangkan jumlah orang awam yang terkorban.

Encik Biden dijadual bertemu dengan Encik Netanyahu pada Rabu.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan Palestin melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di bandar Ramallah, Tebing Barat.

Bantahan di Tebing Barat menyerlahkan kemarahan rakyat Palestin yang sekian lama dipendam terhadap pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dengan pasukannya telah lama berdepan kritikan kerana berurusan dengan Israel mengenai keselamatan di wilayah itu.

Encik Abbas berkata menyasarkan hospital itu adalah “pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan”, sambil menambah bahawa “Israel telah melintasi semua garis merah”.

Letupan itu turut menarik kecaman di seluruh dunia Arab, dan protes diadakan di kedutaan Israel di Turkey, Jordan dan berhampiran kedutaan Amerika di Lebanon, di bandar Taz di barat daya Yaman, serta di ibu kota Maghribi dan Iraq.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan serangan ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sebelum ini, Russia dan Amiriah Arab Bersatu bersama-sama menggesa sidang tergempar Majlis Keselamatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg