Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia gesa gencatan senjata, bantuan kemanusiaan segera di Gaza

Oct 17, 2023 | 1:16 PM
NYATA KETEGASAN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), berkongsi gambar beliau pada 2020 bersama Ketua Biro Politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh (kiri), di Facebook rasmi beliau pada Selasa.
NYATA KETEGASAN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), berkongsi gambar beliau pada 2020 bersama Ketua Biro Politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh (kiri), di Facebook rasmi beliau pada Selasa. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin termasuk gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri pada Selasa, selepas berhubung dengan Ketua Biro Politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, melalui perbualan telefon pada Isnin.

“Saya berhubung melalui telefon bersama Ketua Biro Politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh semalam (Isnin) untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

“Mengambil kira situasi yang teruk di Gaza, saya sangat menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

“Selain itu, penting juga bagi Israel untuk mengenepikan sikap mereka terhadap politik perampasan, selain (memastikan) gencatan senjata serta-merta dengan Hamas dan benar-benar berusaha ke arah resolusi keamanan untuk menamatkan konflik yang berterusan,” katanya melalui Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Anwar melalui hantaran sama berkata adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas disebabkan krisis yang berlaku ini.

“Dalam semangat ini, kami komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri akan ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis bagi menghadiri Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (Asean-GCC), dengan perbincangan khusus akan diadakan mengenai tindakan segera yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berlepas ke Jeddah pada Ahad malam atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang itu.

Pada Isnin Datuk Anwar berkata Malaysia tidak bersetuju dengan tekanan Barat dan Eropah supaya Malaysia mengutuk kumpulan Hamas.

“Setiap persoalan dalam pertemuan dan perbincangan, yang mereka mahu tahu dari kita ialah Malaysia harus mengecam Hamas. Saya beritahu bahawa kita dari segi dasar memang ada hubungan dengan Hamas, dari dulu dan akan diteruskan.

“Oleh yang demikian kita tidak bersetuju dengan sikap mereka untuk menekan kerana Hamas juga menang di Gaza melalui pilihan raya bebas dan rakyat Gaza memilih mereka untuk memimpin,” katanya ketika memberi penerangan berkenaan perkembangan terkini krisis Palestin-Israel di Dewan Rakyat, Parlimen, pada Isnin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg