BAITULMAKDIS: Tentera Israel berkata pada 5 Mei bahawa langkah memperluaskan operasinya di Gaza yang diluluskan oleh pemerintah, bakal menyaksikan pemindahan “kebanyakan” penduduk di wilayah Palestin, dengan ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan terhadap rancangan itu.
Kabinet keselamatan Israel telah meluluskan rancangan itu, yang menurut seorang pegawai Israel akan melibatkan “penaklukan Jaluran Gaza dan penguasaan wilayah itu”.
Keputusan itu dibuat ketika PBB dan pertubuhan bantuan telah berulang kali memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan dengan kelaparan sekali lagi mencengkam rakyat Palestin selepas lebih dua bulan Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
Jurucakap PBB berkata Setiausaha Agungnya, Encik Antonio Guterres prihatin terhadap rancangan Israel yang “sudah pasti akan membawa kepada pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan selanjutnya di Gaza”.
“Gaza adalah, dan mesti kekal, sebagai sebahagian daripada negara Palestin masa depan,” kata jurucakap, Encik Farhan Haq.
Menyifatkan rancangan Israel itu akan membawa kepada kematian lebih ramai orang awam dan kemusnahan yang lebih dahsyat di Gaza, beliau berkata: “Apa yang paling penting sekarang ialah menamatkan keganasan, bukan menambah kematian dan kehancuran.”
Seorang lagi pegawai kanan keselamatan Israel berkata bahawa “komponen utama rancangan itu ialah pemindahan berskala besar seluruh penduduk Gaza dari zon pertempuran... ke kawasan di selatan Gaza”.
Jurucakap tentera Israel, Encik Effie Defrin berkata operasi itu akan termasuk “menggerakkan sebahagian besar penduduk Gaza untuk melindungi mereka”.
Hampir kesemua 2.4 juta penduduk Jaluran Gaza telah kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali semasa perang, yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Israel telah mendesak agar rakyat Palestin meninggalkan Gaza, dengan pegawai kanan keselamatan berkata bahawa “program pemindahan sukarela... akan menjadi sebahagian daripada matlamat operasi”.
Bagi rakyat Palestin, sebarang pemindahan paksa akan membangkitkan kembali kenangan tentang ‘Nakba’ yang bermaksud malapetaka di mana perpindahan besar-besaran telah berlaku yang membawa kepada penciptaan Israel pada 1948.
Kesatuan Eropah yang menyuarakan kebimbangan dan menggesa Isreal agar menahan diri, berkata rancangan itu “akan mengakibatkan lebih banyak korban dan penderitaan bagi rakyat Palestin”.
Israel meneruskan operasi besar-besaran di seluruh Gaza pada 18 Mac di tengah-tengah kebuntuan mengenai cara meneruskan gencatan senjata selama dua bulan yang sebahagian besarnya telah menghentikan perang dengan Hamas.
Pada 5 Mei, penyelamat di Gaza berkata serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 19 orang.
Pegawai Israel berkata bahawa pertempuran yang diperbaharui itu bertujuan mengalahkan Hamas dan memastikan pemulangan tebusan yang ditahan oleh militan sejak serangan 2023, walaupun pengkritik menuduh bahawa ia meletakkan tawanan dalam bahaya maut.
Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir mengumumkan, operasi yang lebih intensif bermatlamat menghapuskan infrastruktur Hamas, termasuk terowong bawah tanah.
Strategi itu beralih daripada serangan sementara kepada penaklukan dan pengekalan wilayah sehingga Hamas dikalahkan atau bersetuju melucutkan senjata dan berundur dari Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg