THE HAGUE (Belanda): Amerika Syarikat tampil mempertahankan Israel dalam prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tanggungjawab undang-undang Israel terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta kerjasama dengan agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam hujahan rasmi pada hari ketiga perbicaraan yang bermula 28 April, pegawai kanan Biro Penasihat Undang-Undang Jabatan Negara Amerika, Encik Joshua Simmons, menyatakan Israel tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk membenarkan operasi mana-mana organisasi yang boleh menggugat keselamatannya.
“UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin) bukan satu-satunya saluran bantuan kemanusiaan di Gaza,” kata Encik Simmons.
“Tambahan pula, terdapat kebimbangan serius dan boleh dipercayai bahawa kemudahan dan bantuan UNRWA telah disalahgunakan oleh Hamas,” tambah beliau.
Encik Simmons mendakwa sebilangan kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Menurut beliau, hal itu mencetuskan keputusan Parlimen Israel, Knesset, untuk mengharamkan sepenuhnya operasi UNRWA di wilayah Israel selepas sekurang-kurangnya sembilan kakitangannya dikaitkan dengan kekejaman Hamas, manakala ratusan lagi mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.
Namun pada hari keempat prosiding, pendirian Amerika disanggah secara terbuka oleh wakil Britain.
Wakil undang-undang Britain, Cik Sally Langrish, berhujah bahawa Israel tetap terikat kepada Konvensyen Geneva dan tidak boleh menolak kerjasama dengan UNRWA semata-mata kerana tindakan Hamas.
“Terdapat laporan yang boleh dipercayai dan berulang tentang layanan buruk terhadap tahanan Palestin dalam tahanan Israel selepas serangan 7 Oktober,” katanya.
Cik Langrish menegaskan kegagalan Hamas memberi akses kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) untuk melawat tebusan Israel tidak boleh digunakan sebagai alasan oleh Israel untuk menafikan hak tahanan Palestin mendapat layanan sewajarnya.
Beliau turut menolak dakwaan UNRWA tidak lagi bersifat neutral.
“Kerajaan Britain menganggap UNRWA sebagai sebuah organisasi kemanusiaan yang bebas dan tidak berpihak.
“Oleh itu, Israel berkewajipan memudahkan sepenuhnya bantuan makanan, air, elektrik dan penjagaan kesihatan kepada penduduk Gaza, tanpa halangan, mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Menurut Cik Langrish, kewajipan Israel sebagai kuasa pendudukan adalah bersifat mutlak di bawah Artikel 59 Konvensyen Geneva Keempat.
Justeru, tindakannya menolak atau enggan bekerjasama dengan agensi seperti UNRWA boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menegaskan tanggungjawab tersebut termasuk memastikan keselamatan agensi pelaksana, menyediakan kemudahan penyimpanan, pengangkutan dan pengagihan barang bantuan.
Sejak 2 Mac, Israel menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan ke Gaza, menyebabkan lebih dua juta penduduk wilayah itu berdepan krisis makanan dan perubatan.
Menurut beberapa kumpulan kemanusiaan, Gaza kini berada di ambang bencana besar dengan harga barang keperluan melonjak tinggi.
Lebih 40 negara dan pertubuhan, termasuk PBB, kini memberikan keterangan di ICJ dalam perbicaraan itu.
Prosiding tersebut adalah mengenai kewajipan Israel berhubung dengan kehadiran dan kegiatan PBB, badan antarabangsa lain, serta negara ketiga berhubung dengan wilayah Palestin yang diduduki.
Mahkamah dijangka mengeluarkan pendapat nasihat berhubung tanggungjawab Israel untuk memudahkan bantuan di wilayah yang didudukinya.
Dalam penutup hujahnya, Cik Langrish menyampaikan mesej jelas:
“Kewajipan ini tidak bersyarat. Israel tidak boleh memilih dan menolak sesuka hati agensi yang ingin menyalurkan bantuan.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa menghendaki kerjasama sepenuhnya, bukan berdasarkan pilihan politik,” tegas beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg