BAITULMAKDIS: Israel pada 15 Oktober berkata barangan komersial yang biasanya dihantar ke Gaza oleh peniaga swasta tidak memasuki wilayah yang terkepung itu selama beberapa hari kerana ugutan Hamas dan skim percukaian.

Hamas menolak tuduhan itu.

Walaupun gencatan senjata yang rapuh dipatuhi sejak Oktober 2025, Semenanjung Gaza masih dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.

Dakwaan pertikaian antara Hamas dengan peniaga mengancam untuk memutuskan lagi bekalan ke wilayah itu.

Gaza, sebuah wilayah kecil yang dikelilingi Israel, Mesir dan Laut Mediterranean, berada di bawah sekatan sejak sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 mencetuskan perang terbaharu.

Namun, Cogat, agensi kementerian pertahanan Israel yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal awam di wilayah Palestin, berkata ia memberitahu pegawai kanan antarabangsa bahawa peniaga telah menggantung penyelarasan kemasukan barangan ke Gaza “sehingga diberitahu kelak”. 

Ini berpunca daripada apa yang disifatkannya sebagai paksaan Hamas.

Dalam surat kepada wakil antarabangsa yang terlibat dalam melaksanakan gencatan senjata, Cogat berkata peniaga melaporkan bahawa Hamas menuntut sekitar 10,000 shekel ($4,132) bagi setiap trak yang memasuki Gaza, dan pedagang menjual kira-kira 30 peratus barangan secara tunai dan bukan melalui pindahan bank.

Agensi itu turut memetik laporan bahawa anggota keselamatan Hamas menahan anak seorang peniaga yang enggan mematuhi tuntutan itu.

Ini menyebabkan pedagang menggantung operasi kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Hamas menolak dakwaan itu dalam surat yang dialamatkan kepada pengantara termasuk Mesir, Qatar dan Turkey.

Ia menafikan mengenakan cukai atau bayaran pemerintah ke atas trak komersial. 

Hamas berkata ia tidak memungut cukai atau bayaran ke atas kegiatan komersial dalam tempoh tiga tahun perang kerana keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza.

Menurut Hamas, angka 10,000 shekel itu merujuk kepada ‘inisiatif masyarakat sukarela’ ahli perniagaan Gaza untuk menyumbang wang kepada ‘dana nasional’ bagi projek bantuan.

Syarat urus niaga tunai pula bertujuan memasukkan ‘kecairan tunai’ ke dalam wilayah itu.

Cogat berkata sektor swasta menyumbang kira-kira separuh daripada semua trak yang memasuki Gaza setiap minggu, dan memberi amaran bahawa penggantungan itu boleh menjejas perjanjian gencatan senjata.

Menurut Cogat, bukan Israel yang memulakan penggantungan penyelarasan, tetapi peniaga.

Wakil Gaza bagi Lembaga Keamanan yang disokong Amerika, Encik Nickolay Mladenov, yang ditugaskan melaksanakan gencatan senjata, berkata beliau menerima surat Cogat dan mengecam “ugutan dan paksaan” yang dilaporkan terhadap peniaga.

“Amalan sedemikian tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta,” tulis Encik Mladenov di X.

Beliau menambah bahawa campur tangan dalam rantaian bekalan menambah penderitaan orang awam di Gaza.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) minggu lalu menggesa Israel melonggarkan “kekangan” ke atas kemasukan bekalan penting ke Gaza. – AFP