TEBING BARAT: Pilihan raya Parlimen Palestin yang dijadualkan pada 28 November dijangka ditangguhkan sehingga 2027 berikutan pertikaian antara kumpulan politik Palestin serta kesukaran mengadakan pengundian di Jaluran Gaza dan Baitulmakdis Timur.

Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mengumumkan penangguhan itu.

Demikian menurut laporan stesen televisyen Qatar, Al-Araby, pada 8 Oktober.

Pengumuman tersebut mungkin dibuat dalam beberapa hari akan datang, ketika pemimpin Palestin berusaha mencapai persetujuan mengenai tarikh baharu pilihan raya itu dan syarat penyertaan kumpulan politik yang selama ini berpecah.

Bagaimanapun, keputusan rasmi belum diumumkan dan tarikh pengundian baharu juga belum ditetapkan.

Penangguhan itu, sekiranya disahkan, bermakna rakyat Palestin sekali lagi terpaksa menunggu untuk memilih wakil Parlimen mereka selepas hampir dua dekad tanpa pilihan raya perundangan.

Pilihan raya terakhir diadakan pada 2006, apabila Hamas menewaskan Fatah, sekali gus mencetuskan persaingan politik yang akhirnya membawa kepada perpecahan pentadbiran antara Gaza dengan Tebing Barat.

Usaha mengatasi kebuntuan terkini itu kini tertumpu kepada rundingan di Kahirah, Mesir, yang membabitkan kumpulan Fatah, Hamas, Jihad Islam Palestin dan Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP).

Rundingan dengan pengantaraan Mesir itu bertujuan mencapai persetujuan mengenai pembaharuan sistem politik Palestin, selain menentukan bagaimana semua kumpulan boleh menyertai pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Fatah, Encik Jibril Rajoub, berkata kumpulan terbabit bersetuju mengadakan dialog nasional yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pilihan raya dilaksanakan.

Menurutnya, perbincangan itu perlu menghasilkan persefahaman mengenai masa depan politik Palestin, termasuk usaha membentuk sebuah negara Palestin yang berdaulat sepenuhnya berdasarkan wilayah yang diduduki Israel sejak 1967.

“Minggu depan, dialog akan diadakan.

“Ia akan diteruskan dan berkembang menjadi dialog nasional menyeluruh bagi mencapai persamaan pendirian mengenai isu politik berkaitan sebuah negara Palestin yang berdaulat sepenuhnya di wilayah yang diduduki pada 1967,” katanya kepada agensi berita, AFP.

Menurut sumber yang menyertai pertemuan itu, empat kumpulan berkenaan bersetuju mengemukakan cadangan kepada Encik Abbas dan Jawatankuasa Eksekutif, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) supaya pilihan raya tersebut ditangguhkan.

Langkah itu bertujuan memberi ruang kepada rundingan lanjut dan membolehkan persetujuan politik dicapai sebelum pengundian diadakan.

Timbalan Setiausaha Agung Jihad Islam Palestin, Encik Mohammed al-Hindi, turut mengesahkan kepada Associated Press (AP) bahawa kumpulan terbabit telah mencapai persefahaman untuk menghidupkan semula dialog nasional dan menangguhkan pilihan raya itu.

Hamas pula menyatakan kesediaannya menyertai pilihan raya, malah dilaporkan sedang mempertimbangkan pembentukan senarai calon bersama tokoh bebas dan golongan profesional.

Anggota biro politik Hamas, Encik Basem Naim, menyifatkan keputusan menetapkan tarikh pilihan raya sebelum mencapai persefahaman antara kumpulan politik sebagai terlalu awal.

Bagaimanapun, penyertaan Hamas dan Jihad Islam masih menjadi isu utama kerana kedua-duanya perlu menerima PLO sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin serta program politiknya, termasuk pengiktirafan terhadap Israel.

Encik Rajoub sebelum ini turut menegaskan bahawa pembaharuan politik perlu berasaskan prinsip satu pihak berkuasa, satu undang-undang dan satu angkatan bersenjata yang sah.

Selain pertikaian politik, keadaan di Gaza menjadi halangan besar kepada pelaksanaan pilihan raya.

Kemerosotan prasarana akibat peperangan, kemusnahan pusat pengundian dan perpindahan penduduk secara besar-besaran menyukarkan persediaan pilihan raya.

Banyak sekolah dan bangunan awam yang sebelum ini boleh digunakan sebagai pusat mengundi kini rosak atau dijadikan tempat perlindungan penduduk yang kehilangan rumah.

Di Baitulmakdis Timur pula, penganjuran pilihan raya memerlukan penyelarasan dengan Israel, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penduduk Palestin di kawasan itu dapat mengundi tanpa sekatan.

PA turut mendakwa Israel tidak membenarkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin memasuki Gaza dan Baitulmakdis Timur bagi membuat persediaan.

Kemungkinan penangguhan itu juga dijangka menimbulkan persoalan mengenai reaksi negara penderma antarabangsa yang selama ini mendesak PA melaksanakan pembaharuan demokrasi.

Kesatuan Eropah sebelum ini menyatakan kesediaan menghantar pemerhati pilihan raya, sambil menegaskan kepentingan pengundian yang bebas, telus dan menyeluruh bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi Palestin.

Bagi Encik Abbas, yang terus memegang jawatan selepas tempoh penggal presidennya berakhir pada 2009, penangguhan terkini berisiko menambahkan kritikan terhadap kepimpinannya.

Beliau pernah menangguhkan pilihan raya yang dijadualkan pada 2021, dengan alasan kesukaran memastikan penduduk Palestin di Baitulmakdis Timur dapat mengambil bahagian.

Sejak kemenangan Hamas pada 2006 dan perpecahan politik yang menyusul, Majlis Perundangan Palestin tidak lagi berfungsi seperti sebuah Parlimen biasa.

Majlis itu akhirnya dibubarkan secara rasmi pada 2018, manakala Encik Abbas terus mentadbir melalui dekri presiden.

Tinjauan Pusat Media dan Komunikasi Baitulmakdis pada Ogos lalu mendapati hanya 29 peratus rakyat Palestin menjangkakan pilihan raya November akan berlangsung mengikut jadual.

Keadaan itu mencerminkan keyakinan yang semakin lemah terhadap kemampuan pemimpin Palestin mengatasi perpecahan politik mereka.

Sekiranya pilihan raya November ditangguhkan, cabaran utama kepimpinan Palestin bukan sekadar menetapkan tarikh baru, tetapi memastikan rundingan antara Fatah, Hamas dengan kumpulan lain benar-benar menghasilkan persetujuan yang membolehkan rakyat kembali memilih wakil mereka selepas hampir 20 tahun. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti