Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel rampas sempadan Gaza dengan Mesir, gempur Rafah

May 30, 2024 | 4:51 PM
Para penduduk Palestin melarikan diri dan membawa bersama barangan keperluan dengan menggunakan kereta sorong yang ditarik keldai ketika perang membahang di Rafah, selatan Gaza.
Para penduduk Palestin melarikan diri dan membawa bersama barangan keperluan dengan menggunakan kereta sorong yang ditarik keldai ketika perang membahang di Rafah, selatan Gaza. - Foto AFP

KAHIRAH: Tentera Israel telah menguasai zon penampan di sepanjang sempadan antara Jaluran Gaza dengan Mesir, kata tentera negara itu pada 29 Mei.

Tindakan Israel memberinya kuasa penuh ke atas seluruh sempadan darat wilayah Palestin tersebut.

Israel juga meneruskan serbuan maut ke atas Rafah di selatan Gaza meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkannya menamatkan serangan ke atas bandar itu, yang menjadi tempat separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung.

Dalam taklimat televisyen, ketua jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata tenteranya telah menguasai kawalan ‘operasi’ ke atas ‘Koridor Philadelphia’, kod tentera Israel untuk koridor sepanjang 14 kilometer di sepanjang sempadan Jaluran Gaza dengan Mesir.

“Koridor Philadelphia berfungsi sebagai saluran oksigen untuk Hamas, yang selalu digunakan untuk menyeludup senjata ke kawasan Gaza,” kata Laksamana Hagari.

Hamas mentadbir wilayah yang dikepung Israel itu.

Sempadan darat di sepanjang pinggir selatan Gaza itu tidak dikawal secara langsung oleh Israel sebelum ini.

Dalam pada itu, kereta-kereta kebal Israel telah menggempur tengah Rafah buat kali pertama pada 28 Mei di sebalik perintah mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan serta-merta serangan ke atas bandar itu.

Mahkamah Dunia berkata Israel tidak menjelaskan bagaimana ia akan memastikan para penduduk Palestin yang dipindahkan dari Rafah berada dalam keadaan selamat dan cukup bekalan makanan, air dan ubat-ubatan.

Keputusan ICJ itu juga menggesa Hamas supaya segera dan tanpa syarat membebaskan tebusan Israel yang ditahan dalam serangan pada 7 Oktober.

Penduduk Rafah berkata kereta kebal Israel mara ke Tel Al-Sultan di barat dan Yibna dan berhampiran Shaboura di tengah Rafah sebelum berundur ke arah zon penampan di sempadan dengan Mesir.

Pegawai kesihatan Palestin berkata 19 orang awam terbunuh dalam serangan udara dan bedilan tentera Israel di seluruh Gaza. Israel menuduh militan Hamas bersembunyi di kalangan orang awam, sesuatu yang dinafikan kumpulan pejuang yang memerintah Gaza itu.

Menteri Kesihatan Penguasa Palestin, Encik Majed Abu Ramadan, menggesa Washington supaya menekan Israel agar membuka lintasan Rafah yang kini di bawah kawalan Israel.

Penasihat Keselamatan Negara Israel, Encik Tzachi Hanegbi, berkata bahawa perang dijangka berlarutan sepanjang 2024 dan tiada tanda-tanda Israel bersedia menamatkan perang seperti yang dituntut Hamas sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.

“Pertempuran di Rafah bukanlah perang sia-sia,” kata Encik Hanegbi, sambil mengulangi bahawa Israel berhasrat menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza dan menghalangnya serta sekutunya daripada menyerang Israel.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata Israel perlu merangka rancangan pascaperang untuk Gaza atau berisiko melanggar undang-undang, meletusnya huru-hara dan kembalinya Hamas di wilayah itu.

Amerika, sekutu terdekat Israel, mengulangi bantahannya terhadap serangan darat Israel di Rafah pada 28 Mei sambil berkata ia tidak percaya bahawa operasi sedemikian sedang dijalankan di kawasan itu.

Lebih 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, kata Kementerian Kesihatan kawasan itu.

Israel melancarkan perang selepas Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg