Israel robohkan bangunan UNRWA di Baitulmakdis Timur
BAITULMAKDIS: Israel telah merobohkan struktur di dalam kompleks agensi Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baitulmakdis Timur pada 20 Januari selepas merampas tapak tersebut pada 2025.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengutuk tindakan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Dikepung oleh tentera Israel, jentolak merobohkan beberapa bangunan besar dan struktur kecil lain di dalam kompleks UNRWA, tempat berpuluh-puluh kakitangan agensi pernah bekerja.
UNRWA, yang telah dituduh berat sebelah oleh Israel, tidak menggunakan bangunan ibu pejabatnya itu sejak awal 2025 selepas Israel mengarahkannya supaya mengosongkan semua premisnya dan menghentikan operasi.
Jurucakap UNRWA, Encik Jonathan Fowler, berkata pasukan tentera Israel telah memasuki kompleks itu sekitar 7 pagi, memaksa pengawal keselamatan kompleks itu keluar dan kemudian membawa jentolak untuk mula merobohkan bangunan di dalamnya.
“Ini merupakan serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap UNRWA dan premisnya, dan ia juga merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta keistimewaan dan kekebalan PBB,” kata Encik Fowler.
Beberapa bekas kakitangan UNRWA berkata struktur yang dirobohkan pada 20 Januari itu digunakan untuk menyimpan bantuan kemanusiaan bagi Tebing Barat dan Gaza.
Anggota Parlimen dan pegawai pemerintah Israel turut berada di tapak tersebut, menurut ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, yang berkata tindakan itu berlaku “selepas langkah-langkah lain yang diambil oleh pihak berkuasa Israel untuk memadamkan identiti Pelarian Palestin”.
Parlimen Israel meluluskan undang-undang pada Oktober 2024 yang melarang agensi itu daripada beroperasi di wilayah itu dan melarang pegawai daripada berhubung dengan agensi itu.
Israel telah mendakwa bahawa beberapa kakitangan UNRWA adalah anggota kumpulan Hamas yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel – punca pencetus perang Israel ke atas Hamas.
Pihak berkuasa Gaza menyatakan lebih daripada 71,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam perang lebih dua tahun itu.
UNRWA telah memecat beberapa kakitangan tetapi berkata Israel tidak memberikan bukti ke atas semua dakwaan terhadap kakitangannya.
Penguasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah juga mengutuk tindakan Israel itu dengan menyatakan bahawa ia “memberi amaran tentang keseriusan peningkatan yang disengajakan terhadap UNRWA, yang berada dalam kerangka sasaran sistematik terhadap peranan dan mandat PBB-nya.
“Ia juga merupakan percubaan untuk melemahkan sistem perlindungan antarabangsa untuk pelarian Palestin,” tambah penguasa itu. – Reuters, AFP.

